NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penuntut Ilmu Perlu Berharaki


oleh: USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI BIN SAIMAN
Ulamak Pelapis PAS

▪️Pengenalan

Perkataan haraki atau harakah adalah tidak asing lagi pada zaman sekarang. Ia lebih merujuk kepada keterlibatan dalam kerja-kerja dakwah dan perjuangan Islam dalam mengembalikan khilafah Islam khasnya selepas kejatuhan khilafah.

Adalah amat malang apabila kefahaman istilah haraki ini dilihat sesuatu yang negatif dan seolah-olah jauh dari tuntutan dalam agama Islam itu sendiri. Malah ada pula yang menganggap haraki hanya bersifat dalam berpolitik yang akhirnya pemikiran dangkal sebegini menjauhkan umat dari terlibat dengan jemaah Islam yang berkecimpung dalam medan politik di era masa kini.

▪️ Definisi Haraki

Dari sudut bahasa, perkataan haraki dinisbahkan kepada kalimah harakah yang berasal dari kata dasar haruka, yahruku, harkan dan harakatan yang bermaksud ‘pergerakan’ dan antonim kepada sukun iaitu ‘kaku’ atau ‘tidak bergerak’. [1]

Harakah juga diertikan sebagai keadaan tubuh yang berubah kedudukannya secara berterusan. Perkataan harakah atau harakiyyah juga lebih sinonim dengan istilah dakwah. Apabila disebutkan harakah yang dimaksudkan dengannya adalah harakah dakwah. [2]

Ia merupakan istilah baru berkaitan politik dan gerakan, selain banyak digunakan bagi menghubungkan aktiviti dakwah Islamiyyah yang mengajak kepada pembaharuan (tajdid) dan pelaksanaan Islam (di atas muka bumi).[3]

Menurut Salah al-Khalidi, istilah haraki merupakan istilah baru yang dikaitkan dengan dakwah semasa dan dicetuskan pada peringkat permulaannya oleh Sayyid Qutb melalui beberapa penulisannya, terutamanya kitab Fi Zilal al-Quran. Walaupun begitu, konsep haraki itu sendiri secara mafhumnya telah wujud sejak dari zaman Rasulullah SAW dan para sahabat radiyallahu 'anhum lagi.[4]

▪️Tuntutan Haraki

Untuk memahami tuntutan haraki ini, perlu difahami asasnya ialah kepada :

1. Memperjuangkan Islam yang syumul.

Kerja-kerja yang melibatkan dakwah terbahagi kepada dua iaitu[5] :

i. Manhaj ibadah : penekanan ibadah khusus.
ii. Manhaj harakah : pengislahan pada sistem kehidupan selain ibadah seperti muamalat, kehakiman, politik dan sebagainya.

Ini kerana tuntutan maksud dari haraki ialah memperjuangkan Islam yang syumul. Tidak hanya sebahagian sahaja sebagaimana doktrin sekularisme yang mengasingkan antara politik dan agama.

2. Mengembalikan kedaulatan Islam serta menegakkan hukum Allah dalam seluruh aspek kehidupan manusia.

Pembentukan Harakah Islamiah adalah hasil kesedaran yang timbul natijah dari keruntuhan dan kerosakan apabila umat manusia jauh dari petunjuk Allah. Maka gerak kerja secara sistematik dibentuk untuk merealisasikan tugas besar ini.

Ini kerana tugas yang besar ini tidak mampu dilakukan secara sendirian. Malah sunnah Baginda SAW menunjukkan perjuangan adalah secara berjemaah.[6]

3. Menyambung perjuangan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Secara hakikat, harakah Islamiah telah bermula di zaman Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan dakwah sama ada di era Mekah mahupun Madinah. Maka kelangsungan ini digerakkan secara kesatuan umat Islam. Apatah lagi selepas kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah iaitu khilafah terakhir.[7]

4. Terlibat di medan amal Islami.

Menggalas tanggungjawab dakwah bagi maslahat umum, bukannya soal peribadi yang terhad. Ini kerana haraki membentuk jiwa yang sanggup berkorban demi kepentingan agama.

Muslim haraki ialah seorang muslim yang menyertai harakah Islamiyah, yang telah mengiklankan dengan cara terbuka dan meluas bahawa perjuangannya adalah membina masyarakat Islam, mendirikan negara Islam, melaksanakan syariat Islam, memgembalikan khilafah Islamiyah di dunia ini seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.[8]

▪️ Fiqh al-Awraq (ŁŁ‚Ł‡ Ų§Ł„Ų£ŁˆŲ±Ų§Ł‚) vs Fiqh al-Haraki (Ų§Ł„ŁŁ‚Ł‡ Ų§Ł„Ų­Ų±ŁƒŁŠ)

Perbezaan fiqh al-Haraki ialah ia bersifat fleksibeliti dalam memahami permasalahan semasa bagi mengemukakan solusi dan jalan penyelesaian. Ia tidak bersifat jumud yang hanya tepu pada zahir tekstual dan apa yang tercatat di dalam kitab sahaja.

Sebab itu, ijtihad siyasi jemaah Islam adalah berubah-ubah berdasarkan faktor dan sebab dapatan analisis info semasa.

Fiqh al-Haraki dinamakan bagi mencerminkan relevansi syariat Islam sepanjang zaman. Kefahaman ini akan menggambar bagaimana interaksi pendalilan dengan nas yang berstatus zhanni dilalah.

Berbeza dengan fiqh al-awraq yang tepu dan jumud berdasarkan kupasan tekstual tulisan semata-mata. Apa yang difahami adalah berdasarkan catatan-catatan di atas lembaran kertas sahaja tanpa mampu mengolah kefahaman dengan situasi dan realiti semasa.[9]

Secara tidak langsung istilah al-haraki menggambarkan betapa tuntutan kefahaman yang jelas dan tepat dalam satu-satu kupasan atau kajian semasa. Mereka yang terlibat di medan adalah ciri utama mendapatkan keilmuan fiqh al-haraki.

▪️Penutup

Berdasarkan kepada penjelasan berikut, maka istilah haraki menjelaskan tanggungjawab seorang muslim dalam kerja-kerja dakwah dan perjuangan Islam untuk turut serta di medan. Walaupun istilah tersebut dikatakan baru dikenali khususnya selepas kejatuhan khilafah namun maksud dan konsepnya adalah sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat dalam melaksanakan perjuangan Islam.

Justeru, kepada penuntut ilmu hendaklah terlibat dengan harakah Islamiyah supaya apa yang dipelajari tersebut memenuhi tuntutan dalam agama untuk melaksanakan kerja-kerja Islam.

Tafaqquh tidak memadai dengan hanya memahami hukum tanpa melaksanakan hukum tersebut. Nasihat kepada penuntut ilmu, binalah kefahaman berdasarkan ilmu bagi menjadi pejuang agama Allah. Hayatilah kata-kata Syeikh Mustafa Masyhur bahawa :

"Islam tidak akan tertegak dengan hanya kata-kata"

"Islam Memimpin Perpaduan"
"Ulamak Memimpin Jalan Penyelesaian"

*USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI BIN SAIMAN ialah Pengerusi Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP), Dewan Ulamak PAS Pusat

***************************
Nota hujung :
[1] `Abduh, Daud et al. t.th. Al-Mu`jam al-asasi al-Arabi.
[2] al-Khalidi, Salah. Al-manhaj al-haraki fi zilal al-Quran
[3] Makki, Hasan. Mafahim fi Fiqh al-Harakah.
[4] Qutb, Sayyid. Ma`alim fi al-tariq.
[5] Jumuah Amin. Al-Thawabit wa al-Mutaghaiyirat 'inda al-Imam al-Banna.
[6] Manhaj Usrah PAS peringkat takwin 2.
[7] Abdul Hadi Awang. Islam : Fikrah, Harakah & Daulah.
[8] Yahya Otman. Amal Jamaei : Pengertian & Tuntutannya
[9] Abu Muaz bin al-Tahir. Al-Fiqh al-Haraki al-Thawabit wa al-Mutaghaiyirat

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo