NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penunggang motosikal maut dirempuh kontena


PETALING JAYA - Seorang penunggang motosikal maut dalam satu kemalangan selepas tercampak dari motosikal yang ditunggangnya sebelum dirempuh sebuah lori kontena di Kilometer 23.0, Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 12.50 tengah hari itu, mangsa, Abdullah Atan@Yaakub, 51, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, kemalangan yang membabitkan tiga buah kenderaan tersebut berlaku ketika mangsa dari arah Sungai Buloh sedang menghala ke Tol Duta.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah motosikal jenis Honda CBR650 yang ditunggang seorang lelaki berusia 30 tahun secara tiba-tiba telah bergeser dengan motosikal mangsa jenis Yamaha 115z.

“Akibat pergeseran terbabit, mangsa telah terjatuh dan tercampak di atas jalan sebelum sebuah lori kontena yang dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun tidak sempat mengelak serta melanggar mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada kepala dan anggota badan.

“Mayat mangsa kemudian telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat sementara kedua-dua pemandu dan penunggang motosikal lain tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya.

Kes disiasat mengikut Sekyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara bahaya sehingga menyebabkan kematian.

Sumber: http://www.kosmo.com.my/negara/penunggang-motosikal-maut-dirempuh-kontena-1.980888


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo