NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Najib, Guan Eng dan Goldman


oleh: Abdul Muein

MINGGU ini Bloomberg melaporkan bahawa kerajaan kita sedang membincangkan penyelesaian bernilai AS$2 hingga AS$3 bilion dengan bank Amerika Syarikat, Goldman Sachs berhubung dakwaan peranannya dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Namun begitu, jumlah yang ditawarkan itu sebenarnya kurang daripada separuh jumlah yang sebelum ini dituntut oleh kerajaan kita.

Tahun lepas, kita memfailkan tuduhan jenayah terhadap Goldman Sachs berhubung peranan bank itu sebagai underwriter atau penaja jamin dan pengatur bagi tiga jualan bon untuk mendapatkan AS$6.5 bilion bagi pihak 1MDB.

Malah, pada Ogos 2019 tahun ini kita memfailkan tuduhan jenayah terhadap 17 orang pengarah Goldman (termasuklah beberapa orang bekas pengarah).

Sebenarnya memang sejak Januari lalu lagi, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ada menyatakan kesediaan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk berbincang bagi menggugurkan pertuduhan terhadap Goldman ini jika mereka bersetuju untuk membayar pampasan sebanyak AS$7.5 bilion, jauh berbanding Goldman yang tahun lepas dilaporkan telah meletakkan AS$1.8 bilion untuk menampung kemungkinan kerugian yang berkaitan dengan prosiding undang-undang 1MDB.

Sumber Bloomberg berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berminat untuk mencapai perjanjian dengan Goldman tahun ini memandangkan kerajaan sedang bergelut dengan beban hutang yang tinggi.

Untuk rekod, Guan Eng baru sahaja menyatakan bahawa kerajaan membelanjakan sebanyak RM13.9 bilion untuk melunaskan bayaran khidmat hutang 1MDB dan SRC sejak 2017. Namun begitu, kita berharap agar kerajaan tidak mudah tunduk dalam tuntutan dengan Goldman Sachs.

Apatah lagi alasan bahawa kita dibebani hutang 1MDB dan SRC juga sudah boleh ditebus dengan aset-aset 1MDB sendiri.

Benar, Guan Eng ada memperincikan bahawa kerajaan menerusi Kementerian Kewangan dan syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) telah membuat pembayaran balik hutang sebanyak RM8.8 bilion bagi pihak 1MDB dan SRC iaitu sebanyak RM6.7 bilion untuk 2017 dan pada 2018 (RM2.1 bilion).

Pada tahun 2019, sebanyak RM2.4 bilion perlu dibayar dan kes 1MDB sahaja melibatkan jumlah sebanyak RM51 bilion termasuk faedah yang hanya akan dilangsaikan sepenuhnya pada tahun 2039.

Namun hal ini telah dijawab oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri. Menurut beliau, jika diperhatikan angka yang diberi Menteri Kewangan, nilai pembayaran sebanyak RM6.7 bilion yang dibuat sejak 2017 itu adalah dalam termasuk AS$1 bilion (RM4.4 bilion) yang dihantar oleh International Petroleum Investment Company (IPIC) kepada 1MDB tanpa faedah pada tahun 2015. Maka, hal ini bermakna 1MDB memulangkan AS$1 bilion ini kepada IPIC pada tahun 2017 dan ia bukannya bayaran hutang.

Berkenaan isu 1MDB perlu membayar hutang dan faedah pula, Najib memberi jawapan balas dengan memperincikan apa yang kita dapat dengan pinjaman 1MDB itu:

1. Menyelesaikan masalah perjanjian penjana elektrik bebas (IPP) berat sebelah ketinggalan PM keempat yang menyumbang RM8 bilion hingga RM10 bilion kepada Petronas setiap tahun untuk tempoh 20 tahun yang akan datang. Dengan penyelesaian itu juga, harga saham TNB naik tiga kali ganda daripada RM5 hingga RM16 setelah keuntungan TNB berganda naik. Ini memberi manfaat kepada semua ahli tabung-tabung rakyat seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tabung Haji dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

2. 1MDB membina atau menaik taraf lapan pangkalan udara negara termasuk pangkalan udara Sendayan yang merupakan pangkalan paling besar dan paling moden negara.

3. Projek Bandar Malaysia dengan nilai pembangunan RM140 bilion di mana kerajaan PH telah menjual sebahagian daripada projek itu pada harga RM7.41 bilion pada bulan April tahun ini.

4. Projek TRX dengan nilai pembangunan RM40 bilion.

5. Perjanjian penyelesaian dengan IPIC di mana syarikat milik kerajaan Abu Dhabi itu berjanji untuk memulangkan segala dana yang disyaki hilang sebelum 30 Disember 2020.

Sebagai rakyat, kita tentulah berharap agar kebenaran tertegak. Semoga Najib terus dibenarkan untuk memberi jawapan balas. Jika Guan Eng yakin bahawa kita ada kes yang kuat dalam menentang Goldman Sachs pula, maka janganlah mudah kendur apa lagi berundur.

*Abdul Muein ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo