NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Menjiwai perundangan jenayah syariah


PERKEMBANGAN perundangan jenayah syariah dari sudut undang-undangnya boleh dikatakan sudah banyak pencapaian dilakukan seperti mempunyai undang-undang khusus dan berasingan seperti Undang-Undang Pentadbiran, Undang-Undang Jenayah Syariah, Undang-Undang Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah, Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah yang bertujuan memberi fokus dan panduan lebih lengkap di dalam sesuatu prosiding jenayah syariah.

Undang-undang jenayah kini syariah bukanlah suatu undang-undang yang semberono ataupun suatu pemerintah oleh agamawan yang tidak dipandu oleh suatu sistem yang teratur.

Berbanding suatu ketika dahulu semua undang-undang sama ada jenayah ataupun mal semuanya diumpukkan di dalam satu undang-undang sahaja iaitu Undang-Undang Pentadbiran seperti Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Negeri Selangor) 1952.

Walaupun dari sudut ini pencapaiannya baik tetapi beberapa undang-undang lain mesti dibuat bagi menyesuaikannya dengan tuntutan semasa.

Namun begitu dari sudut hukuman pula perundangan jenayah syariah masih berada di takuk lama sejak tahun 1984 lagi.

Sejak tahun tersebut hukuman yang boleh dijatuhkan oleh mahkamah syariah hanyalah tiga bulan penjara lima ribu ringgit denda dan enam kali sebatan syariah.

Hal yang demikian adalah disebabkan Akta 355 menghalang Dewan-Dewan Undangan Negeri seluruh Malaysia menggubal undang-undang kesalahan jenayah syariah yang mana hukumannya melebihi kadar yang disebut tadi.

Malah Akta 355 yang hanya memberi kuasa membuat hukuman yang berbentuk tradisional (denda, penjara dan sebatan) sahaja menghalang bentuk-bentuk hukuman lain yang bersifat restoratif seperti kerja komuniti, khidmat masyarakat, hukuman berbentuk pengajaran dan banyak lagi.


Selagi Akta 355 ini tidak dipinda ia tidak memberi laluan kepada Dewan Undang Negeri lebih kreatif menyediakan bentuk hukuman yang lebih baik.

Di samping itu pula bagi memberi impak yang lebih berkesan di dalam perundangan jenayah syariah ini saya menggagaskan agar digarap mekanisme yang utuh bagi menyediakan latihan, penyelidikan dan juga sumber manusia di dalam menggalas tanggungjawab dalam perundangan jenayah syariah ini.

Dalam masa sama, saya perlu ditekankan semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam melestarikan perundangan jenayah syariah di Malaysia.

Isu tajassus (pengintipan) yang digembar-gemburkan dilakukan penguat kuasa agama sebenarnya jauh tersasar dari realiti.

Menurut Undang-Undang Tatacara Jenayah Syariah tajassus tidak diabsahkan penggunaannya. Siasatan hanya dilakukan setelah penguatkuasa agama mendapat laporan kemungkinan berlaku suatu kesalahan jenayah syariah di sesuatu tempat itu.

Tidak timbul isu penguatkuasa agama secara bermaharajalela memasuki mana-mana premis semata-mata ingin mengintip sama ada berlaku kesalahan jenayah syariah atau tidak.

Banyak isu berkaitan dengan perundangan jenayah syariah khususnya dan perundangan syariah amnya dibangkitkan sejak kebelakangan ini.

Natijahnya ada yang mencadangkan diwujudkan pelbagai SOP bagi melicinkan lagi pelaksanaan undang-undang ini.

Walaupun demikian dari sudut yang lain saya berpandangan apabila wujud terlalu banyak SOP ia akan menjadikan pelaksana perundangan syariah terlalu fokus kepada SOP sehingga boleh menjadikan mereka bersifat robotik sehingga hilang pertimbangan kemanusiaan.

Hal yang demikian akan menjadikan perundangan syariah tidak memiliki semangat syariah itu sendiri kerana perkhidmat awam akan lebih mementingkan SOP daripada hal lain.

Bukanlah saya katakan tidak perlu ada SOP tersebut tetapi terlalu banyak SOP akan hanya menyahkan nilai kemanusiaan dalam melaksanakan undang-undang tersebut.

Pada pandangan saya, perkara yang lebih perlu diutamakan ialah latihan yang betul kepada pelaksana perundangan ini sama ada penguatkuasa agama, pendakwa syarie, peguam syarie mahupun mahkamah syariah.

Latihan yang dimaksudkan bukanlah latihan yang biasa dilakukan tetapi latihan berimpak tinggi yang dapat menganjak minda, berinovasi serta mencari formula terbaik melaksanakan perundangan syariah supaya menjadi paksi kepada keadilan.

Walaupun saya ialah seorang peguam yang beramal di mahkamah syariah dan mahkamah sivil, saya tidak berpandangan prosiding perundangan perlu mengambil tempat pertama di dalam menangani sesuatu isu.

Seharusnya perundangan syariah diletakkan di tempat terakhir untuk diambil tindakan.

Hal ini adalah disebabkan aspek-aspek lain seperti pendidikan, faktor sosial, keluarga masyarakat dan agama perlu disemai di dalam diri orang Islam terlebih dahulu.

Namun sekiranya telah berlaku sesuatu kesalahan perundangan perlu mengambil tempat dan tidak boleh ditoleh balik faktor-faktor lain yang disebutkan di atas tadi.

Seterusnya penguat kuasa agama juga perlu diwujudkan suatu jabatan yang khusus untuk mereka.

Kalau di dalam perundangan sivil, pihak polis menjalankan siasatan dan penguatkuasaan, Pendakwaraya memulakan pertuduhan dan menjalankan perbicaraan dan mahkamah menjadi tempat mendapat pengadilan, dalam perundangan syariah kita sudah ada jabatan pendakwaan syariah dan mahkamah syariah tetapi 'polis syariah' atau penguatkuasa agama masih lagi diletakkan di bawah Jabatan Agama Islam negeri-negeri.

Sudah sampai masanya kita mempunyai 'polis syariah' atau Jabatan Penguatkuasa Agama yang khusus melaksanakan penguatkuasaan jenayah syariah.

Dalam masa yang sama perlu digarap metodologi bagaimana dari sudut pendidikannya umat Islam dapat menjiwai falsafah undang-undang jenayah Syariah, ia bukan hanya sekadar memastikan bentuk dan kadar hukuman sahaja tetapi menekankan aspek dakwah dan penghayatan.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo