NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

LTTE: Buktikan jika betul DAP tolak keganasan - iPeguam




Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 17 Safar 1441H, Rabu – Parti dominan dalam Kerajaan Malaysia, DAP, dicabar untuk berani menyatakan pendirian membantah keganasan dengan membuat kenyataan rasmi menolak perjuangan Kumpulan Pengganas Pemberontak Tamil Eelam (LTTE).

Pengerusi Ikatan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (iPeguam), Muhammad Luttfi Abdul Khalid berkata, secara kolektif ramai pemimpin parti rasis cauvinis, DAP mempertikaikan cara polis bertindak terhadap ahli mereka yang ditahan kerana dipercayai terbabit dengan perjuangan LTTE.

"Jika DAP benar-benar mendakwa menolak keganasan, kita mahu mereka membuat kenyataan rasmi menolak dan membantah perjuangan pengganas LTTE dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pimpinan atau ahli parti yang terlibat dalam pergerakan pengganas tersebut.

"Pemimpin-pemimpin DAP perlu meyakinkan seluruh rakyat Malaysia dan umat Islam bahawa mereka tidak akan membiarkan sebarang anasir keganasan LTTE ataupun mana-mana ahli yang menyokong ideologi LTTE bergerak bebas di dalam parti tersebut," katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Khamis lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang juga EXCO kerajaan negeri Melaka, antara tujuh individu ditahan pihak polis selepas dipercayai terbabit dalam majlis memperingati perjuangan LTTE.

Mereka ditahan kerana didakwa mempromosikan, menyokong dan memiliki bahan serta mengagihkan dana yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas itu.

Sabtu lalu, polis mengesahkan telah menahan dua lagi individu yang juga ahli DAP di Melaka di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA).

Kedua-dua individu itu ialah ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri Melaka dan ketua pegawai eksekutif (CEO) perbadanan anak syarikat kerajaan negeri.

Mereka ditahan kerana turut didakwa mempromosikan, menyokong, dan memiliki bahan serta mengagihkan dana yang mempunyai kaitan kumpulan pengganas itu.

LTTE yang diketuai V Prabhakaran mencetuskan pemberontakan pemisah untuk mewujudkan wilayah autonomi Tamil Eelam, utara Sri Lanka apabila golongan majoriti Sinhala menindas masyarakat Tamil iaitu kumpulan minoriti.

Kumpulan pemberontak itu yang dilaporkan tidak aktif lagi selepas Prabhakaran terbunuh dalam operasi ketenteraan Kerajaan Sri Lanka, pernah disenarai hitam sebagai kumpulan pengganas dan diharamkan lebih 30 negara, termasuk Malaysia.

Bagaimanapun, menurut satu berita yang disiarkan oleh Sinar Harian, pihak berkuasa Sri Lanka telah menemukan sejumlah besar alat letupan bersama senjata api di rumah anggota utama Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Ambalamkulam, Sri Lanka dalam satu serbuan pada 11 Oktober baru-baru ini.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2019/10/16/ltte-buktikan1-jika-betul-dap-tolak-keganasan/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo