NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kritikan Terpedas PKR Terhadap Tun Dr Mahathir


oleh:Dr Kamarul Yusof

UNTUK SIAPA MAHATHIR KERJA 18 JAM SEHARI?

(Dr Syed Husin Ali, Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR)

Ahli perniagaan kecil dan besar gelisah dan lelah menunggu peralihan kuasa. Mereka meletakkan harapan agar Anwar yang peka soal kemiskinan rakyat kecil akan membawa perubatan menjana pertumbuhan ekonomi dan membina semula negara.

Nilai ringgit semakin merudum, pengaliran dana di pasaran semakin perlahan dan kuasa membeli rakyat terus menguncup.

Hampir segenap lapisan rakyat kecewa dengan Tun Mahathir yang semakin jelas lidahnya bercabang tiga. Dalam satu hari beliau boleh berubah fikiran dua tiga kali.

Semua akui Kabinet sekarang yang paling lembab dan lemah dalam sejarah negara. Tatkala rakyat dihimpit kemiskinan dan pelbagai kesukaran hidup, Perdana Menteri dan Menterinya tanpa rasa malu berulang alik ke luar negara membazir wang rakyat sedangkan hasilnya sekadar untuk diviralkan rakaman perjumpaan yang tidak memanfaatkan rakyat dan negara.

Rakyat juga hairan mengapakah Tun Mahathir yang cuma memiliki 13 kerusi Parlimen dibiarkan bermaharajalela hingga mengenepikan suara rakyat yang memilih mereka.

Rakyat tidak bodoh untuk membaca niat Mahathir. Kehancuran negara ini bermula daripada beliau. Kerana beliaulah parti Melayu dan orang Melayu berpecah. Kerana beliaulah institusi polis, kehakiman dan pelbagai institusi kerajaan hancur dan terpalit dengan salah kuasa dan rasuah. Kerana beliaulah rasuah dan politik wang bermaharajalela dan kemuncaknya negara ini hampir digadai oleh kerajaan kleptokratik Najib.

Pejuang dan pemimpin yang dulunya berhempas pulas berjuang siang malam membela rakyat dan menyelamatkan negara kini sudah menjadi bisu. Suara yang membakar kebangkitan rakyat sudah bertukar menjadi suara yang memuji dan mengampu Perdana Menteri tua. Hidung mereka sudah dicucuk justeru mereka kelihatan membuntut Perdana Menteri ke mana saja sedangkan buntut mereka sendiri berpalit pelbagai kotoran.

Mahathir sudah melampau sehingga sanggup berbohong di pentas antarabangsa kononnya beliau bekerja 18 jam sehari!

Kerja apa 18 jam sehari sedangkan negara semakin hancur? Apakah manusia yang berusia 94 tahun tidak makan, tidak tidur, tidak mandi, tidak solat, tidak rehat sama sekali? Apakah PM7 ini bukan seorang manusia?

Terbukti Mahathir tidak ikhlas, tidak punyai maruah dan tidak pernah insaf. Kalau beliau pemimpin yang bermaruah dan sayangkan negaranya beliau sepatutnya segera bersara dan biarlah Anwar yang 22 tahun lebih muda daripada beliau menggalas tanggungjawab membina semula negara.

Sebenarnya Mahathir boleh diminta bersara sekarang oleh Majlis Presiden PH kerana Majlis ini adalah kuasa tertinggi untuk menentukan bilakah Mahathir perlu turun. Mahathir tidak ada kuasa untuk menentukan bila beliau mahu serahkan kuasa. Gesaan segelintir pelesit yang mahu Mahathir kekal hingga PRU15 membuktikan mereka juga sedar Majlis Presiden boleh melucutkan jawatan Mahathir pada bila bila masa, kerana beliau mewakili sebuah parti kecil.

Rakyat juga tertanya-tanya apakah Anwar, Muhyiddin, Mohamad Sabu dan Lim Kit Siang juga sudah dibonsaikan oleh Mahathir? Apakah mereka tidak sedar bahawa percaturan politik Mahathir hari ini menjurus ke arah memusnahkan konsensi kuasa yang dipersetujui sebelum PRU14?

Laungan Mahathir untuk selamatkan negara semasa kempen PRU14 jelas satu pembohongan. Beliau kini mahu selamatkan kuasanya dan amat taksub kononnya beliau sajalah yang boleh menyelamatkan negara ini.

Kenyataannya di New York yang mahu bersara sebelum PRU15 dan menganggap penggantinya tidak layak adalah satu pengkhianatan dan penghinaan kepada PH.

Apakah Mahathir yang terbukti sebagai pemimpin licik dan cekap memutarbelit akan terus dibiar menipu rakyat? Kita tujukan soalan ini kepada Majlis Presiden kerana seandainya berlaku anarki politik angkara Mahathir, merekalah yang akan dipertanggungjawabkan.

Sumber: https://www.facebook.com/kamarul.yusoff.7/posts/2714152518628789

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo