NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kempen #BMF tingkatkan kutipan zakat


oleh:MOHD YAKOP IKRAM
Ipoh, Perak

TEPAT pada masanya kita terus menyokong dan memperkasakan Kempen Beli Produk Muslim atau Buy Muslim First (BMF) yang telah menunjukkan keberkesanannya.

Kempen BMF di media sosial telah memberi impak kesedaran kepada masyarakat Islam terhadap kepentingannya dan ia juga telah mendapat sokongan agamawan demi memperkasakan ekonomi ummah.

Ekonomi merupakan kuasa penting dan kekuatan sesebuah masyarakat. Jika kuatnya ekonomi Islam, maka kuatlah masyarakat Islam itu sendiri. Oleh itu, kita hendaklah berikhtiar membantu apa yang termampu dalam mencapai misi ini. Konsep tolong-menolong merupakan perkara asas dalam agama Islam termasuklah dalam jual beli.

Sokongan membeli dan mengutamakan produk dan berkongsi kepakaran sesama Muslim dalam bidang ekonomi akan menghasilkan banyak produk dan peningkatan perniagaan Muslim.

Ia sekali gus memberi manfaat kepada orang ramai termasuk bukan Islam yang turut sama dapat membeli barangan lebih murah selepas berlaku penurunan harga barang.

Melalui kempen BMF ini juga akan membantu peniaga-peniaga pembayar zakat melalui kempen Sokong Peniaga Pembayar Zakat (SPPZ). Secara tidak langsung lebih ramai pembayar zakat dapat melaksanakan kewajipan dan sekali gus meningkatkan jumlah kutipan zakat. Pembayaran zakat memberikan kesan positif kepada golongan asnaf bahkan kepada pembayar zakat itu sendiri dan masyarakat keseluruhannya.

Amalan berzakat akan mewujudkan perpaduan dalam kalangan umat Islam apabila sebahagian kecil kekayaan daripada golongan senang diagihkan kepada masyarakat kurang berkemampuan. Pastinya lapan golongan penerima zakat memperoleh manfaatnya dan hal ini mampu merapatkan jurang ekonomi dan silaturahim sesama umat Islam.

Kempen BMF ini telah banyak membuka mata dan kesedaran mengutamakan barangan keperluan Muslim yang selari dan bertepatan dengan ajaran Islam. Setiap Muslim sewajarnya berusaha mencari sumber makanan halal dan memastikan ia datang dengan pakej toyyiban iaitu makanan yang baik, bersih dan berkualiti. Marilah kita umat Islam di negara ini terus bersama-sama menjayakan agenda memperkasakan ekonomi umat Islam secara berterusan dan holistik.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo