NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bersedia tangani isu keselamatan 5G


KUALA LUMPUR 2 Okt. - Malaysia perlu bersedia menangani isu berkaitan keselamatan dalam penggunaan teknologi komunikasi generasi kelima (5G) apabila penggunaannya direalisasikan seawal-awalnya pada akhir 2021.

Ini kerana menurut Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Mohd. Abdul Wahab Yusof teknologi tersebut juga membawa persepsi kurang membina yang boleh mengelirukan, terutama tentang keselamatan dalam penggunaannya.

``Seperti mana teknologi serupa sebelum ini, seperti 4G, pihak berkuasa tetap bersiap siaga untuk menangani isu yang berkaitan dengan kepentingan awam menerusi beberapa aktiviti yang dirancang, ‘‘ ujarnya.

Beliau menyatakan demikian semasa berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Mengenai Sinaran Tidak Mengion (ICNIR) 2019 di ibu negara hari ini.

Beliau berkata, Agensi Nuklear Malaysia selaku agensi penyelidikan dan pembangunan bersama Kementerian Kesihatan berganding bahu dengan agensi perkhidmatan teknikal Sinaran Tidak Mengion (NIR) dalam mengaktifkan perhubungan dengan pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ini dilakukan menerusi penyertaan dalam Jawatankuasa Penasihat Antarabangsa Mengenai Sinaran Tidak Mengion di Geneva, Switzerland untuk memantapkan kefahaman dengan isu yang serupa yang dihadapi di negara negara lain.

Ia bertujuan membincangkan bagaimana isu relevan seperti itu ditangani berdasarkan penemuan saintifik terhadap impak teknologi terhadap kesihatan manusia,

Kata beliau , di peringkat kebangsaan pula, penubuhan Jawatankuasa Kerja Antara Agensi Berkaitan Kesan Kesihatan Terhadap Sinaran Tidak Mengion dipengerusikan oleh Kementerian Kesihatan dan dianggotai oleh pelbagai pihak seperti Agensi Nuklear Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan pelbagai organisasi lain, merupakan platform yang boleh digunakan di peringkat kebangsaan bagi membincangkan isu NIR dan penemuan terkini .

``Harapan kita supaya sebarang tindakan yang diambil dan penyelesaian isu yang ditangani dapat diselaraskan dan membantu kerajaan secara bersepadu supaya rakyat dapat menikmati penggunaan teknologi terkini ini dengan kesedaran yang jitu tentang keselamatannya.

Dalam masa sama, pihaknya turut menyumbang dalam pembinaan standard dan garis panduan dengan Jabatan Standard bersama Kementerian Kesihatan, SKMM dan universiti.

Kata beliau, berbekalkan pengalaman dan penyelidikan yang dijalankan selama ini, pihaknya bersedia untuk menyumbang kepada penambahbaikan standard atau garis panduan sedia ada untuk menangani isu keselamatan berkaitan penggunaan teknologi 5G ini.

Malaysia kata beliau lagi, berada pada landasan betul ke arah menjadikan negara ini sebagai yang pertama di rantau ASEAN membawa pengalaman teknologi 5G.

Teknologi 5G merupakan teknologi jaringan pantas yang mampu mencapai kelajuan 20Gbps. dan membolehkan inovasi yang canggih seperti robotik, kereta swapandu, rangkaian pintar, bandar pintar dan pelbagai inovasi lain direalisasikan.

Persidangan dua hari itu dihadiri kira kira 100 peserta termasuk dari luar negara.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo