Belanjawan 2020 : Keciciran Royalti Kelantan Dek Masalah Teknikal?


oleh:Nazman Che Iberahim

13 Oktober 2019
YB Senator Datuk Husam Musa menulis dalam sebuah buku bertajuk “Royalti : Amanah Dikhianati” beberapa ketika lalu. Banyak fakta dan rekod rasmi yang merasionalkan tuntutan royalti Kelantan terhadap Petronas.

Banyak hujahan merujuk kepada Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan juga beberapa dokumen termasuklah Dokumen Perjanjian Petroleum Kerajaan Malaysia dan Petronas 1975, Dokumen Penyerahan Hak Petroleum Kerajaan Malaysia Kepada Petronas dan Dokumen Penyerahan Hak Petroleum Kerajaan Kelantan Kepada Petronas.

Amat menarik adalah dokumen ketiga iaitu satu perjanjian yang dibuat di Kota Bahru pada 9hb Mei 1975 dan ia ditandatangani oleh Dato’ Haji Mohamed bin Nasir, Menteri Besar Kelantan manakala Petronas diwakili oleh Tengku Razaleigh bin Tengku Mohd. Hamzah yang diamanahkan sebagai Pengerusi dan Ketua Eksekutif Petronas.

Tengku Razaleigh bagi pihak Petronas telah “menyetujuterima pemberian, pemindahanhakan dan peletakhakan” yang dibuat oleh Kelantan. Apa yang telah Kelantan serahkan?

YAB Dato’ Menteri Besar pada waktu itu telah “memberi untuk *selama-lamanya* dan memindahak dan meletakhakkan pada Petronas pemunyaan mengenai petroliam dan hak-hak, kuasa kuasa, kebebasan-kebebasan dan keistimewaan-keistimewaan eksklusif untuk mencari, mengeksploit, mendapatkan dan memperolehi petroliam yang berada samada *di pantai atau di luar pantai Malaysia*.”

Nah, lihat betapa berani serta tulusnya niat MB Kelantan pada waktu itu. Memberi segala hak, keistimewaan dan segalanya kepada Petronas bukan untuk setahun, 10 tahun ataupun 100 tahun. Namun ia untuk SELAMA-LAMANYA!

Dan disebut juga “Pemberian, pemindahanhakan dan peletakhakan yang dibuat di bawah ini TIDAK BOLEH DIBATALKAN dan hendaklah berjalan kuatkuasanya bagi faedah Petronas dan PENGGANTINYA”. Dokumen ini, iaitu Jadual (Seksyen 2 (2) – PEMBERIAN HAK-HAK, KUASA-KUASA, KEBEBASAN-KEBEBASAN DAN KEISTIMEWAAN-KEISTIMEWAAN BERKENAAN DENGAN PETROLIAM) jika dilihat secara hati yang tenang, akan kita dapati bahawa rakyat Kelantan telah sepenuh hati melalui persetujuan ketua kerajaan pada waktu itu menaruh sepenuh kepercayaan kepada Petronas dan juga Kerajaan Persekutuan. Tidak disangka akhirnya Petroleum dan Gas Kelantan telah digali dan diambil, namun royalti tidak diberi.

Jika dahulu tajuk buku ini ditulis “Amanah Dikhianati”. Mungkin merujuk kepada Kerajaan Persekutuan pimpinan BN. Benar, mereka tidak beri royalti namun pasca PRU14, Putrajaya telah bertukar tangan. Kini penulis buku ini mengatakan Kerajaan Pusat pimpinan PH tidak diskriminasi pula. Disebut mengenai “teknikal-teknikal” yang perlu diatasi oleh Kerajaan Negeri sebelum Lim Guan Eng boleh memberi royalti.

Persoalannya sekarang adalah apa masalah teknikal berkenaan? Melalui perjanjian antara Kelantan dan Petronas ada disebutkan beberapa hal antaranya;

“1. (1) PETRONAS hendaklah membayar wang tunai kepada KERAJAAN secara bayaran tahunan sebanyak yang setara dengan 5% dari nilai petroliam yang didapati dan diperolehi di Kelantan dan di jual oleh PETRONAS atau ejen-ejen atau kontraktor-kontraktor dalam tempoh yang diperuntukkan dalam Fasal 2.”

Jadi untuk item (1) ini apakah “masalah teknikal” yang terbabit? Masalah memahami nilai 5% dengan janji palsu PH untuk memberi sehingga 20% royalti sekiranya mereka menang dahulu? Janji 20% tidak pernah rakyat Kelantan termakan dan menelannya bulat bulat, kerana 5% pun sudah tidak tertunai. Apatah lagi janji 20% !

Perkara lain dalam perjanjian tersebut adalah ;

“2. Pembayaran wang tunai yang kena dibayar di bawah Perjanjian ini hendaklah dibayar pada tiap tiap setengah tahun. Pembayaran bagi petroliam yang didapati, diperolehi dan dijual dalam tempoh setengah tahun yang pertama hendaklah dibuat pada sebelum satu haribulan September dan pembayaran mengenai petroliam yang didapati, diperolehi dan dijual dalam tempoh setengah tahun yang kedua hendaklah dibuat pada atau sebelum satu haribulan Mac dalam tahun berikutnya.”

Untuk hal (2) ini apa pula “masalah teknikal” yang berkaitan? Apa yang menggangu Pusat daripada membayar Kelantan? Sepatutnya apabila PH telah menang pada Mei 2018, mereka melalui Petronas wajib memberi royalti pada bulan September 2018, kemudiannya Mac 2019 dan kali ketiga pada September 2019. Namun apa masalah “teknikal” Guan Eng?

Masalah sempadan perairan? Jarak tiga batu nautika-kah masalah teknikalnya sama seperti yang disebut pada zaman BN? YB Datuk Kasitah Gadam (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) pada 9hb April 1989 dalam Dewan Negara ada menyebut, “ Sekiranya minyak diperolehi di kawasan berhadapan dengan Negeri Kelantan, maka Kerajaan Negeri Kelantan akan menerima hasil royalti sebanyak 5% daripada minyak dan gas yang dikeluarkan sebagaimana yang diterima oleh Negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak”. Jawapan ini jelas menolak hujah “teknikal” 3 batu nautika.

Teknikal apa lagi? Kes saman Kelantan kepada Petronas? Ia sudak beberapa bulan ditarik balik.

Dan berterusanlah hujah hujah teknikal lainnya yang disebut dalam Buku “Royalti : Amanah Dikhianati” tulisan mantan Exco Kerajaan Negeri Kelantan berkenaan. Terlalu banyak fakta dan data yang menolak semua alasan alasan kerajaan pusat terdahulu dalam menunaikan janji royalti kepada Kelantan. Namun kini kenapa diungkit pula alasan “teknikal” sehingga Putrajaya tidak boleh membayar Kelantan? Bahkan disuruh pula Kelantan mencerminkan diri sendiri? Kelantan tidak boleh dibandingkan dengan Terengganu. Mereka sudah sekian lama dibayar royalti sebelum daripada ini manakala Kelantan tidak pernah mengecapinya lagi.

”Tuntut Royalti Hak Rakyat Kelantan”

*Nazman Che Iberahim ialah Naib Presiden R


#TuntutRoyalti
#Sebarkan

Sumber: https://www.facebook.com/nazman.cheiberahim.9/posts/1431540923669713
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget