NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bajet 2020: Apa kata NGO, komuniti perniagaan?


Pelbagai NGO dan perniagaan telah memberikan pandangan terhadap Belanjawan 2020 susulan pembentangannya di Dewan Rakyat hari ini.

Ada yang gembira dengan langkah yang diperkenalkan untuk wanita dan pekerja manakala ada pula yang mengatakan belanjawan tidak cukup jauh untuk menangani masalah mereka.

Di bawah ini diperturunkan maklum balas berkenaan:

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)
MTUC berpendirian Belanjawan 2020 tidak menangani jurang pendapatan yang semakin meluas dan menekan golongan berpendapatan rendah, khususnya B40 dan M40.

Setiausaha Agungnya J. Solomon berkata walaupun kesatuan menyambut baik keputusan kerajaan menaikkan gaji minimum kepada RM1200 untuk bandar-bandar utama namun jumlah itu masih tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang melambung.

MTUC mengharapkan gaji minimum dinaikkan sekurang-kurangnya kepada RM1,800 dan berharap kerajaan akan menjalankan kajian setiap enam bulan untuk menimbang menaikkan kadar gaji minimum ini.

MTUC kesal kerana kerajaan tidak memperkenalkan elaun kos sara hidup (COLA ) RM500 untuk pekerja swasta sebagaimana yang disarankan oleh MTUC.

Merujuk kepada skim ganjaran yang ditawarkan di bawah #MalaysiaKerja, Solomon berkata skim itu memerlukan penglibatan ikhlas majikan serta perubahan sikap graduan menganggur untuk berjaya.

Persatuan nelayan
Pengerusi Nelayan Kawasan Pulau Pangkor Rasdi Ibrahim berkata kenaikan elaun sara hidup bagi nelayan kepada RM250 bukan sahaja menaikkan motivasi golongan itu, malah dapat membantu mengurangkan beban susulan kos menangkap ikan yang semakin meningkat.

Beliau berkata nelayan sememangnya berharap bantuan sedemikian lebih-lebih lagi apabila mereka tidak dapat turun ke laut kerana faktor tertentu seperti kesihatan.

Sementara itu, Persatuan Nelayan Bachok berterima kasih kepada kerajaan mengucapkan kerana menaikkan elaun sara hidup yang sedikit sebanyak meringankan beban nelayan.

Beliau mencadangkan kerajaan agar dapat menghapus duti import terhadap barang-barang keperluan itu jika tidak nelayan akan menghadapi masalah besar pada masa hadapan.

Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia
Keprihatinan kerajaan untuk mewujudkan 33,000 peluang pekerjaan setahun bagi wanita berumur 30 hingga 50 tahun dapat menggalakkan golongan itu untuk bekerja dan berniaga bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) Prof Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata jumlah pekerjaan diwujudkan untuk kumpulan wanita telah berhenti kerja setahun atau lebih itu dapat meringankan tanggungjawab domestik kepada keluarga mereka.

Mengulas lanjut, Sharifah Hapsah berkata, Skim Jaminan Pinjaman Perniagaan yang menyediakan kemudahan jaminan baharu RM500 juta untuk usahawan wanita juga membuktikan keprihatinan kerajaan tentang masalah dihadapi pekerja dan usahawan dalam kalangan golongan itu.

Katanya, keprihatinan kerajaan untuk memanjangkan manfaat Skim Caruman Insentif Suri (i-Suri) tahun hadapan, juga membantu golongan wanita, namun ia perlu diperhalusi dari segi pelaksanaan supaya hanya yang betul-betul layak diberikan bantuan.

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), V Sumitra berkata, pihaknya gembira beberapa insentif kepada wanita telah diperkenalkan bagi menggalak dan membolehkan golongan itu bekerja.

“Malaysia perlu meningkatkan penyertaan tenaga kerja wanita bagi meningkatkan ekonomi sekali gus memastikan hak wanita dalam ekonomi. Ketika ini, lebih 2,563,800 wanita di Malaysia tidak bekerja kerana tanggungjawab kepada rumah tangga dan keluarga,” katanya.

Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia
Peluasan Skim Peduli Kesihatan (PeKa B40) kepada individu berumur 40 tahun ke atas mulai tahun depan dapat dimanfaat sepenuhnya.

Kerajaan dalam Belanjawan 2020 mencadangkan PeKa B40 diperluas kepada individu yang berumur 40 tahun berbanding 50 tahun sebelum ini.

Ahli Majlis Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Dr Othman Warijo yakin peluasan PeKa B40 akan membolehkan lebih ramai masyarakat mengenalpasti masalah kesihatan mereka dari peringkat awal.

"Kita tahu golongan B40 memang agak rasa tersepit dengan keadaan ekonomi yang ada sekarang ini untuk dapatkan rawatan perubatan terbaik terutama sekali ada antara rawatan itu di luar skop yang telah disediakan kerajaan jadi dengan adanya PeKa B40 ini memudahkan mereka mendapat rawatan terbaik,” katanya.

Beliau turut memuji cadangan untuk memperuntukkan RM59 juta bagi menambah bilangan ambulan melalui kerjasama dengan perkhidmatan ambulan badan bukan kerajaan bagi memastikan perkhidmatan kecemasan dan tauma lebih responsif.

Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta) Malaysia
Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) digesa untuk memanfaatkan 50 peratus geran padanan yang disediakan iaitu sehingga RM5,000 bagi setiap syarikat bagi langganan perkhidmatan digital.

Matlamat geran itu adalah untuk menggalakkan perniagaan kecil untuk mengguna pakai sistem tempat jualan elektronik (e-POS), penyelesaian perancangan penyumberan perusahaan (ERP) dan pembayaran elektronik.

“Ini akan membantu mengurangkan kos peralihan digital, dan kami menggalakkan semua PKS untuk mengambil geran ini,” kata Pengerusi Dasar dan Hubungan Kerajaan Datuk William Ng dalam satu kenyataan.

Dalam Belanjawan 2020, kerajaan menyediakan geran padanan RM500 juta, yang diperuntukkan bagi tempoh lima tahun dan ia terhad kepada 100,000 perusahaan kecil dan sederhana yang memohon untuk menaik taraf sistem mereka.

Ng berkata persatuan itu juga menyambut baik pelepasan cukai pendapatan bagi syarikat elektrik dan elektronik (E&E) untuk beralih kepada ekonomi digital.

“Ini bukan sahaja menggalakkan syarikat E&E sedia ada kita untuk meningkatkan rantaian nilai, tetapi juga menarik dan mengekalkan pemain global untuk terus melabur di Malaysia,” katanya.

Lazada
Belanjawan 2020 dilihat mampu membangunkan ekosistem yang holistik untuk semua rakyat Malaysia dalam menghadapi penerimaan ekonomi digital, kata Lazada Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Leo Chow berkata syarikatnya mengalu-alukan pembangunan infrastruktur untuk memperbaiki penyambungan dan akses bagi meningkatkan penggunaan e-dagang serta memudahkan penghantaran sesuatu barangan.

"Inisiatif seperti Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) memainkan peranan yang besar dalam pertumbuhan e-dagang, memandangkan sambungan yang boleh dipercayai, mampu memperkasakan generasi usahawan akan datang yang lahir dari kawasan yang tidak ada liputan sebelum ini.

"Kami telah melihat pertumbuhan yang ketara dalam angka pedagang dari kawasan luar bandar utama sejak 12 bulan lepas, kami percaya pembangunan seperti Lebuhraya Pan Borneo akan mengembangkan lagi keusahawanan digital di kawasan yang kurang mendapat liputan serta meningkatkan ketersediaan logistik dalam kawasan yang luas seperti Sabah dan Sarawak," katanya.

Lazada juga menyokong inisiatif kerajaan untuk meningkatkan penggunaan e-dompet melalui rangsangan digital sekali sahaja sebanyak RM30, berdasarkan kepada pertambahan bilangan pelanggan yang memilih kaedah pembayaran tanpa tunai.

"Semasa jualan 9.9 Lazada baru-baru ini, kami melihat Lazada Wallet dipakai sebanyak 14 kali lebih banyak berbanding tempoh yang sama pada 2018," tambah beliau.

Hospitaliti OYO Malaysia
Ketua negara syarikat hospitaliti OYO Malaysia, Tan Ming Luk berkata syarikat itu menyambut baik Tahun Melawat Malaysia 2020, yang merupakan usaha utama kerajaan untuk mengangkat jenama Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan, dengan sasaran 30 juta pelancong.

OYO Malaysia telah bekerja rapat dengan pemilik aset kecil serta bebas di Malaysia dan memperkasakan mereka dengan keupayaan OYO merentasi reka bentuk, hospitaliti, kepakaran teknologi, kewangan serta kecemerlangan operasi untuk memastikan pelancong dapat menikmati pengalaman yang terbaik.

"Kami sudah bersedia bagi memenuhi permintaan daripada 30 juta pelancong yang disasarkan untuk melawat Malaysia pada 2020 dengan penyediaan lebih daripada 14,000 francais dan bilik sewa di lebih 450 hotel merangkumi 50 bandar dan kota-kota di Malaysia," tambahnya.

E-Dompet Boost
Rancangan kerajaan untuk memperkenalkan langkah-langkah yang dapat membantu inklusi sosial dan kewangan untuk semua rakyat Malaysia seperti yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2020 disambut baik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd khairil Abdullah berkata syarikat itu berharap untuk menyokong inisiatif berkaitan yang akan mendorong ke arah pembangunan ekonomi digital Malaysia yang kukuh, terutamanya cadangan rangsangan e-dompet oleh kerajaan dalam Belanjawan 2020.

“Ketika negara sedang mengintegrasi ke dalam ekonomi digital global yang sedanh meningkat, kami merancang untuk memainkan peranan kami dalam membina komuniti tanpa tunai dan menyediakan akses bayaran digital dan perkhidmatan kewangan, yang akan menyumbang ke arah mempercepatkan pembangunan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lebih 60 peratus daripada 113,000 peniaga Boost adalah daripada kategori perusahaan kecil dan mikro, katanya.

Japan Tobacco International
"Penjualan rokok di Malaysia melangkaui tahap krisis dan ia boleh ditangani dengan penguatkuasaan yang menyeluruh dan tegas.

"Semasa kami menyambut baik peruntukan kerajaan RM235 juta untuk membeli tambahan 20 lagi pengimbas kargo yang akan ditempatkan di pintu masuk negara yang strategik, apa yang perlu difahamkan adalah pembanterasan penyeludupan sepenuhnya tidak akan dicapai selagi ada unsur campur tangan manusia dalam penguatkuasaan undang-undang yang tersusun,” kata Pengarah Urusan JTI Malaysia, Cormac O'Rourke.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo