NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

6 parti Pemuda di Perak bentuk gabungan



IPOH - Enam parti Pemuda diketuai PAS di Perak menandatangani resolusi bersama bagi mendokong agenda piagam Muafakat Nasional yang dimeterai di peringkat Pusat pada 14 September lalu.

Permuafakatan dipersetujui barisan Pemuda PAS, UMNO, MCA, MIC, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) itu antara lain bagi membentuk gabungan anak muda baharu ke arah Perak sejahtera.

Ketua Pemuda PAS Perak, Ahmad Faisal Mohd Puait berkata, berdasarkan resolusi itu, keenam-enam parti Pemuda berkenaan bersedia menyatakan komitmen untuk menjunjung keseluruhan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin pembentukan negeri Perak.

Menurutnya, menerusi resolusi itu juga mereka sepakat terus mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan, kedaulatan Raja-raja Melayu, keistimewaan orang Melayu dan bumiputera tanpa mengetepikan kepentingan kaum lain serta bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Walaupun pada asasnya Muafakat Nasional ini antara PAS dan UMNO tetapi kehadiran anggota MCA dan MIC pada persidangan lalu menunjukkan mereka juga bersama kita.

"Atas faktor itu di peringkat Pemuda negeri kita bawa mereka bersama dan kita jemput juga Berjasa dan Ikatan untuk berbincang mencari resolusi terbaik ke arah perpaduan anak muda di negeri ini," katanya.

Resolusi bersama itu ditandatangani semalam diwakili Ahmad Faisal bagi pihak Pemuda PAS; Ketua Pemuda UMNO Perak, Mohd Ariff Abdul Majid; Ketua Pemuda MCA, Daniel Wa Wai How; Ketua Pemuda MIC, S Jayaganesh dan Ketua Pemuda Berjasa, Mohd Azizat Zainal Abidin.

Wakil Pemuda Ikatan bagaimanapun tidak dapat hadir atas masalah kesihatan.

Ahmad Faisal berkata, bagi mengukuhkan jalinan kerjasama, mereka turut bersetuju menubuhkan Sekretariat Muafakat Nasional Pemuda Perak yang dianggotai tiga ahli dari setiap parti diketuai setiausaha parti masing-masing.

Katanya, jawatankuasa itu bertanggungjawab merangka sebarang program dan aktiviti secara bersama dalam mewujudkan kestabilan politik khusus kalangan anak muda.

"Kita sebenarnya mengambil intipati daripada situasi semasa yang menunjukkan kepincangan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) untuk mewujudkan kerjasama ini.

"Ia bukan satu bentuk perjanjian tetap kerana dalam urusan pendirian parti dan soal dasar masih tertakluk kepada keputusan dibuat di peringkat Pusat.

"Usaha ini lebih kepada tautan kembali hubungan lama walaupun ada isu sebelum ini dengan keadaan sekarang kita boleh kembali bersama," katanya.

Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/49851/BERITA/Politik/Enam-parti-Pemuda-di-Perak-bentuk-gabungan

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo