5 Faktor Waytha Moorthy Perlu Diganti


oleh: DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, perlu mengambil kira beberapa perkara dalam menentukan kedudukan P Waytha Moorthy sebagai Menteri Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial.

Pertama adalah kenyataan beliau sendiri akhir tahun lalu yang menyebut beliau akan menentukan kedudukan P Waytha Moorthy selepas menerima laporan penuh inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim. Kini inkues ini telah selesai di mana Muhammad Adib didapati dibunuh dalam kejadian yang P Waytha Moorthy dikatakan turut bertanggungjawab kerana gagal mengawalnya malah memanaskannya lagi.

Kedua adalah desakan parti-parti politik di mana bukan sahaja parti-parti pembangkang seperti Pemuda UMNO dan Pemuda PAS yang mendesak supaya P Waytha Moorthy dipecat malah komponen parti kerajaan seperti ARMADA BERSATU yang diketuai oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sendiri turut mengusulkan demikian melalui penyerahan memorandum kepada Tun Dr Mahathir yang membayangkan ketidakpuasan hati ke atas prestasi P Waytha Moorthy adalah merentasi parti.

Ketiga adalah desakan masyarakat sivil di mana banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berwibawa seperti the Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the Universal Periodic Review Process (Macsa) yang diwakili oleh 49 NGO seperti WAFIQ, CENTHRA, PACU, Darul Insyirah, CONCERN, CLJ dan PERTIS yang menyuarakan supaya P Waytha Moorthy bukan sahaja meletakkan jawatan malah turut didakwa di mahkamah kerana memanaskan ketegangan perkauman. Begitu juga dengan Gerakan Rakyat Malaysia (GERAS) yang mewakili lebih 100 NGO yang mahukan P Waytha Moorthy dipecat.

Keempat adalah desakan rakyat jelata yang boleh diteliti melalui petisyen yang digerakkan oleh Gerakan Pengundi Sedar (GPS) yang menuntut perlucutan jawatan P Waytha Moorty yang hingga kini telah memperolehi lebih daripada 315,000 tandatangan. Begitu juga dengan satu petisyen lain yang bertujuan sama yang dimulakan oleh Pendukung Perlembagaan yang hingga kini telah memperolehi lebih daripada 124,000 tandatangan. Bandingkan ini dengan petisyen yang menyokong beliau yang hingga kini hanya memperolehi kurang daripada 35,000 tandatangan sahaja.

Kelima adalah kematian Timbalan Menteri Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial, Datuk Wira Dr Md Farid Md Rafik, yang menyebabkan beban Menteri Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial menjadi bertambah berlipat kali ganda sedangkan lantikan Timbalan Menteri baru akan mengambil masa.

Jelas bahawa pilihan terbaik bagi kebanyakan orang adalah supaya P Waytha Moorthy digantikan dengan seorang tokoh lain yang lebih berwibawa. Penggantian ini dilihat tidak mengandungi banyak risiko kerana P Waytha Moorthy sendiri hanyalah seorang Senator yang bukan dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya, malah lebih penting lagi beliau juga tidak datang daripada mana-mana parti komponen PH.

Apa pun, segalanya adalah terletak kepada Tun Dr Mahathir yang mempunyai budi bicara mutlak ke atas kabinet beliau.


Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget