NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

144 kanak-kanak Kashmir ditahan sejak status khas dibatal




KASHMIR, 3 Safar 1440H, Rabu – Polis Kashmir – yang ditadbir kerajaan India – telah menahan seramai 144 kanak-kanak sejak awal bulan Ogos, ketika pemerintah New Delhi membatalkan hak autonomi daerah yang dipertikaikan itu dan mengenakan sekatan.

Empat anggota Jawatankuasa Keadilan Juvana Mahkamah Tinggi Jammu dan Kashmir dalam laporan berkata, beberapa kanak-kanak telah ditahan sebagai langkah pencegahan, sementara yang lain telah ditahan untuk pelbagai kesalahan jenayah.

Sebilangan besar kanak-kanak itu ditangkap dari bandar utama Srinagar di rantau ini. Kanak-kanak seawal usia sembilan tahun antara yang menjadi mangsa tahanan.

Polis mendakwa beberapa kanak-kanak terbabit membaling batu, rusuhan dan menyebabkan kerosakan kepada harta awam serta swasta.

Menurut polis, semua yang ditahan dan diserahkan di balai polis dikeluarkan pada hari yang sama. Sehingga 25 September, hanya dua kanak-kanak, kedua-dua berumur 17 tahun, telah ditempatkan di pusat juvana.

Laporan terdahulu, yang diketuai oleh Persekutuan Wanita India, mendapati bahawa sekitar 13,000 lelaki telah ditahan sejak status autonomi Kashmir dibatalkan pada awal bulan Ogos. 

Laporan itu mendedahkan bahawa kanak-kanak lelaki – sesetengah yang berusia 14 tahun – telah dipenjarakan sehingga 45 hari.

5 Ogos lalu, Perdana Menteri India, Narendra Modi membatalkan hak autonomi Jammu dan Kashmir. Berikutan langkah itu, India mengerahkan tentera ke rantau berkenaan untuk mengawal protes yang dilakukan rakyat Kashmir. 

Kerajaan di New Delhi juga mengenakan sekatan yang teruk terhadap pergerakan masyarakat, dan memotong semua talian telefon, telefon bimbit, dan sambungan internet.

Pihak berkuasa juga menangkap ribuan individu, termasuk ahli politik, pemimpin kelompok pemisah, dan anggota masyarakat yang lain di seluruh lembah.

Tindakan kontroversi itu menimbulkan kemarahan Pakistan, yang menguasai sebahagian Kashmir dan juga penduduk setempat.

Wilayah majoriti Muslim di Kashmir telah berpecah antara India dan Pakistan sejak partisyen mereka pada tahun 1947. – Agensi

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo