NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terengganu Sedia Terima Kembali UniSZA


KUALA TERENGGANU, 12 September- Kerajaan negeri sedia menerima kembali Universiti Sultan Zainal Abidn (UniSZA) jika pihak kerajaan pusat meneruskan hasrat menggabungkan institut pengajian tinggi itu dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, walau bagaimanapun pihaknya belum mendapat maklumat lengkap berkenaan isu berkenaan.

"Kita tiada maklumat kenapa UMT dan UniSZA hendak digabungkan.

"Tapi, pihak kerajaan negeri bersedia untuk menerima kembali UniSZA jika kerajaan pusat nak serahkan," ujarnya ketika dihubungi pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman.

Terdahulu, Pejabat Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan kenyataan bahawa Jemaah Menteri pada 4 September lalu telah bersetuju secara prinsip dengan penggabungan UMT dan UniSZA.

Kenyataan itu menyebut, penggabungan itu merupakan satu langkah yang wajar dilaksanakan bagi mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dan memberi lebih nilai tambah kepada pelajar, fakulti serta komuniti setempat.

Malah, penggabungan UMT dan UniSZA dilihat sebagai salah satu transformasi penyampaian pendidikan tinggi terutamanya dalam memantapkan keupayaan universiti untuk mempertingkat kedudukan sosioekonomi, selaras dengan lonjakan 10 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025.

Lantaran itu katanya, kementerian amat positif dengan cadangan penggabungan ini dan kini sedang menyediakan kerangka bagi pelaksanaannya.

"Sebuah jawatankuasa khas sedang dibentuk yang dianggotai oleh wakil dari kalangan pegawai pentadbir, pensyarah, pelajar, serta juga wakil dari pelbagai agensi dan pihak berkepentingan bagi menggerakkan penggabungan ini yang dijangka mengambil masa enam bulan," ujarnya.

Sumber:https://www.teganukita.net/2019/09/terengganu-sedia-terima-kembali-unisza.html

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo