NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Teknologi 5G: Ujian diperluas ke seluruh negara Oktober ini - Gobind


KUALA LUMPUR: Ujian Teknologi Generasi Kelima (5G) yang dilancarkan di Putrajaya dan Cyberjaya pada April lalu akan diperluaskan ke seluruh negara menerusi projek demonstrasi 5G bermula Oktober ini.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dengan komitmen awal Malaysia, ia akan meletakkan negara ini sebagai salah satu peneraju pengguna 5G di dunia.

Gobind berkata kementeriannya juga sedang mempertingkatkan kebersediaan dan akses kepada infrastruktur digital yang menjadi asas kepada Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

“Kementerian saya sedang mempertingkatkan kebersediaan dan akses kepada infrastruktur digital dan ini telah menjadi asas kepada NFCP, yang telah dilancarkan baru-baru ini.

“Kos pelaksanaan NFCP ini dianggarkan berjumlah RM21.6 bilion untuk tempoh 5 tahun bermula tahun ini dan kerajaan menganggarkan inisiatif ini boleh mewujudkan sebanyak 20,000 peluang pekerjaan termasuk kepada mereka yang berada di luar bandar.

“Peluang pekerjaan ini merangkumi aktiviti pembinaan, operasi serta penyelenggaraan infrastruktur digital,” katanya ketika memberikan ucapan pada Persidangan GSMA Mobile 360 Digital Societies di Hotel JW Marriot pada Selasa.

Katanya lagi, pelbagai inisiatif yang diambil dapat membantu mengurangkan jurang digital dan sekali gus menaik taraf kehidupan rakyat Malaysia.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa kementeriannya melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menjalankan kajian berkenaan ID Digital Nasional bagi memastikan rakyat Malaysia yakin berhadapan dengan aktiviti ekonomi digital serta memantapkan lagi keselamatan Internet.

"Kajian tersebut akan mengenal pasti rangka kerja yang sesuai untuk melaksanakan ID Digital Nasional.

“Kerajaan berharap pelaksanaan inisiatif baharu ini dapat melindungi data peribadi pengguna menerusi perkhidmatan dalam talian pada bila-bila masa," tambahnya.

Inisiatif ini diambil bagi meningkatkan kepercayaan rakyat untuk melaksanakan transaksi menerusi perkhidmatan dalam talian dengan kaedah pengesahan yang terkini, selamat dan melindungi privasi.

Sumber:http://www.astroawani.com/berita-malaysia/teknologi-5g-ujian-diperluas-ke-seluruh-negara-oktober-ini-gobind-218353


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo