NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Surat Terbuka Buat Dato Salahuddin Ayub: Jangan Lupa Rumput Dibumi!



Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor.

Saya merasa terpanggil untuk meninta warkah ini memandangkan pelbagai serangan terhadap PAS menjelang himpunan 14 September ini di PWTC. Pemimpin PH seperti tak keruan dan memuntahkan isi hati mereka akan kebimbangan akan berakhirnya tempoh sepenggal menikmati jawatan Menteri dan Timbalan Menteri. DAP memainkan sentimen kebimbangan akan wujud polarisasi kaum, manakala Tun Mahathir mengitar semula isu amanat Haji Hadi 1985. Isu amanat Tuan Guru dipanjangkan lagi oleh Menteri Pertanian, Dato Salahudin Ayub, mempersenda dan menista cuplikan ceramah Tuan Guru di Kampong Banggol Peradong dalam era semarak kebangkitan semula Islam negara ini.

Dato' Salahuddin makin galak menyerang PAS mungkin kerana bimbang akan penolakan total bangsa Melayu kepada PAN, yang dilihat tak lebih sebagai Kelab Penyokong DAP. Pemilihan PAN juga berlaku tahun ini dan menyaksikan ramai figura mereka dikalahkan di peringkat akar umbi serta Ikramisasi yang bakal menelan PAN. Dato' meremeh malah menista harakatul ummah ini seperti Dato' tak pernah bersama jamaah Islam ini, tidak pernah belajar perkara membatalkan syahadah atau batas-batas iman dan kufur. Saya mengambil sikap memerhati gelagat Dato Salahuddin Ayub agak lama, semenjak pasca Muktamar PAS ke-61. Beliau tidak terpilih semula sebagai Naib Presiden, namun Tuan Guru telah memberikan jawatan lantikan sebagai AJK PAS Pusat namun ditolak. Cita-cita beliau untuk menaiki takah kekuasaan politik dirasakan lambat jika bersama jemaah Islam maka beliau bersama elemen IRC-JIM-IKRAM telah menubuhkan PAN.

Dato' dipujuk oleh Dato Tuan Ibrahim dan Ustaz Idris Ahmad untuk terus bersama PAS, dipujuk agar kekal beristiqomah didenai perjuangan Islam yang bertatahkan mehnah dan ibtila' namun tetap ditolak dengan alasan "orang PAS buang ana". Rajuknya membawa diri sehingga ditabal sebagai Timbalan Presiden PAN.

Ironinya, Dato' Salahudin Ayub hanya kalah dalam pemilihan muktamar di mana setiap dua tahun sekali pemilihan diadakan oleh gerakan Islam ini untuk memilih barisan kepimpinan. Kalah dalam pemilihan, tidak bermakna dibuang oleh ahli-ahli. Ramai pimpinan PAS kalah dalam pemilihan sejak dahulu lagi, bahkan mereka jauh lebih berkompetensi, berilmu, pakej. Antaranya Ustaz Dato Harun Taib, Ustaz Hasan Shukri, Ustaz Dato Abu Bakar Chik, Ustaz Dato Tuan Ibrahim dan lain-lain nama besar dalam PAS. Adakah mereka merajuk, menyerang PAS atau menubuhkan wadah baru?. Tidak!, mereka tetap menjadi amilin dan abnaul harakah yang berkeringat dimedan operasi jamaah. Jawatan hanyalah wasilah dalam perjuangan untuk semakin banyak memberi.

Saya menjadi saksi bagaimana figura-figura ini terus menyemai bakti pada jamaah tanpa lelah. Almarhum Ustaz Hasan Shukri sebagai contoh tanpa segan silu, dengan penyapu dan berbaju pagoda membersihkan Markas Tarbiah Taman Melewar, dengan senyuman khasnya terus menyemangati anak-anak muda untuk berjuang memenangkan Islam. Dimalam hari almarhum hadir ke pelbagai tempat mengisi fikrah ahli-ahli PAS dengan kereta buruknya dipandu oleh amilin parti. Istiqomah almarhum sehinggalah nyawanya diambil pulang, ribuan yang menyolati jenazah mantan Ketua Pemuda PAS didikan Ikhwan Muslimin ini. Apakah lagi kesudahan yang membahagiakan dalam hidup ini, disolati dan didoakan oleh ribuan manusia?.

Almarhum Ustaz Abu Bakar Chik dan Almarhum Ustaz Harun Taib juga dengan jasa bakti yang sama kepada jamaah Islam. Mereka membina institusi pendidikan Islam, mengkaderkan amilin tanpa jemu, bergerak keseluruh negara untuk mencerdaskan ummah. Lihatlah kesudahan hidup mereka yang mulia, didoakan oleh masyarakat Islam tanpa mengenal apa latarbelakang politik. Berbaloi menghembus nafas terakhir didalam perjuangan Islam berwadahkan PAS ini.

Saya merasa agak pelik dan kehairanan dengan sikap Dato Salahuddin Ayub sebaik sahaja meninggalkan bahtera PAS, berterusan menyerang dan cuba mewajahkan PAS dengan wajah yang hodoh. PAS diratib sebagai gerakan takfiri dan terkini menyerang Amanat Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Jangan lupa, sebaik masuk PAS dalam tahun 80an daripada keluarga berdarah likat UMNO, Dato' dibawa ke tamrin panjang di Kelantan oleh Ustaz Dr Abu Bakar Abdullah. PAS dalam apa sahaja medan pengajian, para asatizahnya membuka kitab berkaitan batas-batas iman dan kufur, asatizah dan pimpinan PAS menerangkan berkaitan aqidah Islam dan betapa perlu menjaga batas-batas akidah agar tidak tergelincir.

Dato' sangat arif lekukan dan denai sejarah PAS, parti Islam tertua ini mempunyai karomahnya tersendiri,bahkan sukar untuk ditinta diatas aksara kepelikan harakatul ummah ini. Dato' sentiasa mengulangi kisah seorang dua penceramah PAS yang ghuluw dan boros berbahasa, akhirnya menyertai musuh politik PAS. Jamaah Islam ini mempunyai tapisan dan Allah memelihara jamaah ini dan itulah ratib serta tazkirah Dato' kepada kami saban waktu semasa memimpin Dewan Pemuda. Semasa abang Din menjadi ketua, kami akur dan taat, membantu program -program yang dirancang tanpa jemu. Teringat juga bagaimana sebelum Dato' menang sebagai MP Kubang Kerian, kami Exco Dewan Pemuda Pusat mencadangkan Dato' untuk bertanding di kawasan selamat agar berjaya menjadi jurubicara ummah yang berkesan. Dalam mesyuarat DPPP di Taman Melewar, Dato' dikeluarkan daripada bilik mesyuarat supaya mesyuarat tidak bias dan berkesan, seterusnya wakil DPPP dihantar menemui Tuan Guru Menteri Besar Kelantan. Mengapa saya bangkitkan isu pencalonan ini, kerana saya mahu Dato' melihat rumput dibumi apabila terpanar pada indahnya langit kekuasaan.

Kini Dato' menikmati keadaan yang selesa dan tersanjung sebagai anggota kabinet, laksanakan manifesto PH sebagaimana yang dijanjikan, bukannya menyerang amanat Tuan Guru yang telah berusia puluhan tahun.

PAS disinis memakan dedak, usaha PAS mengumpulkan ratusan ribu ahli-ahli dan rakyat ke lautan ungu H355 disindir, kini bimbang pula akan himpunan Penyatuan Ummah 14 September ini. Ironinya, seperti Dato' tak kenal sikap dan watak orang PAS dalam berkorban harta dan jiwa. Saya teringat kembali kisah-kisah yang Dato' sentiasa lontarkan dalam ceramah, bagaimana penoreh getah PAS yang menyisihkan setiap hari beberapa keping getah yang mereka perolehi untuk perjuangan. Ahli-ahli PAS mempunyai tabung khas jamaah, mereka menyimpan bukan sahaja untuk keluarga mereka, namun untuk membiayai perjuangan PAS.

Dato' pasti menyimpan kenangan paling indah bagaimana berukhuwwah dalam PAS, bagaimana ahli-ahli harakatul ummah ini saling melengkapi, membahu antara satu sama lain bagi menjayakan matlamat perjuangan. PAS digelar oleh ahli dan pimpinan PAN sebagai "parti sejarah" dan kami langsung tidak berkecil hati kerana kami tahu sejarah PAS yang ditulis dengan tinta emas. Ada yang meregang nyawa syahid, dipenjara, dikucilkan, malah dihina sepanjang masa demi menggalang perjuangan Islam.

Dato' Salahuddin Ayub, cukuplah dahulu coretan ukhuwwah untuk kali ini, kami mempunyai jadual kerja yang padat dengan medan operasi siasah, dakwah dan tarbiah yang sentiada memerlukan sentuhan. Kekalahan UMNO pada 9 Mei 2018 mempunyai sejuta hikmat, kami akhirnya bekerjasama untuk menyelamatkan tanahair ini dengan Islam. Kami menelan pahit kata-kata pimpinan PAN sebelum berkuasa, " nanti jika menang Putrajaya, maka akan mudah untuk melaksanakan Islam. Bersama DAP akan menyempurnakan strategi untuk menang".

Namun setelah 16 bulan berkuasa,apa yang kami nampak DAP begitu rakus ingin menjayakan agenda mereka dan PAN diam tak berkutik,seperti besarnya dedak direngkung. Cita-cita menjaga agama hanya ungkapan muluk-muluk dan janji manis yang memperdaya anak muda. Saya masih memegang teguh kata-kata Dato' kepada kami anak-anak muda pada suatu masa dahulu, "PAS akan terus dijaga oleh Allah selagi mana parti ini berpegang pada al Quran dan didoakan oleh manusia-manusia yang ikhlas".

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo