NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Respon Cadangan Tingkat Had Umur Persaraan Kepada 65 Tahun : Pemuda PAS Saran Kerajaan Utamakan Anak Muda



1. Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meneliti sepenuhnya saranan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berhubung cadangan meningkatkan had umur bersara kepada 65 tahun. DPPM melihat cadangan ini tidak menyelesaikan masalah pengangguran semasa dalam kalangan anak muda di negara ini yang kini pada kadar 10.8 peratus, lebih tinggi berbanding Singapura (4.6 peratus), Thailand (5.9 peratus), Vietnam (7.9 peratus) dan India (10.5 pertus).Berdasarkan kepada Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG), dianggarkan seramai 238,187 orang siswazah menamatkan pengajian tahun 2018. Akan tetapi, 54,103 orang siswazah direkodkan masih menganggur selepas tamat pengajian selepas 6 bulan mengikut data bagi tahun 2017.

2. Dewan Pemuda PAS Malaysia tidak menolak keupayaan dan kepakaran seseorang pekerja diukur melalui pengalaman kerja dalam sesuatu bidang. Oleh hal yang demikian, DPPM menyarankan agar kerajaan memperhalusi semula cadangan meningkatkan had umur persaraan kepada bidang-bidang kritikal sahaja. Kerajaan tidak wajar membandingkan realiti negara kita dengan negara maju seperti Singapura yang telah melaksanakan had umur persaraan ini memandangkan Singapura terlebih dahulu melihat faktor-faktor seperti kadar kelahiran, pengambilan buruh asing dan kadar jangka hayat penduduk di negara tersebut.

3. DPPM juga ingin menyentuh berkaitan janji manifesto Pakatan Harapan untuk memberikan 1 juta peluang pekerjaan kepada anak muda yang sehingga kini tidak memperlihatkan perkembangan positif malahan statistik pengangguran semakin meningkat saban tahun. Malah, anak muda telah dinafikan hak-hak yang telah dijanjikan oleh Pakatan Harapan seperti PTPTN yang kini masih tidak menemui jalan penyelesaian.

4. Oleh sebab itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia menyeru kepada kerajaan dan agensi terlibat untuk mengutamakan anak muda dalam meneliti cadangan ini. Cadangan ini tidak boleh dibuat secara tergopoh-gapah seperti manifesto 1 juta peluang pekerjaan oleh Pakatan Harapan dan memerlukan kajian yang mendalam.

Yb. Ust. Ahmad Fadhli Shaari ialah Timbalan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo