NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Piagam Muafakat Nasional ‘under expectation’ - ISMA


Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 14 Muharram 1441H, Sabtu – Walaupun usaha ke arah penyatuan UMNO-PAS dilihat langkah positif untuk mengembalikan kuasa politik Islam dan Melayu, namun kandungan Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai hari ini terlalu umum serta masih longgar.

Amir Gerakan Islam sederhana, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman kesal lima perkara asas yang terkandung dalam piagam berkenaan ‘under expectation’, tidak seperti diharapkan melalui namanya ‘Muafakat Nasional’.

“Lima perkara yang digariskan dalam piagam yang ditandatangani kedua-dua presiden parti itu terlalu umum dan longgar.

“Bahkan ia tidak menjanjikan komitmen yang sepatutnya keluar daripada naratif retorik yang selama ini menjadi amalan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Bagaimanapun, pemimpin tertinggi gerakan Islam itu berkata, beliau mendoakan dan mengharapkan penyatuan antara kedua-dua parti berkenaan akan membawa hasil yang positif kepada kuasa politik Islam dan Melayu.

“Kita juga berharap ianya tidak hanya untuk kepentingan politik pihak tertentu semata-mata, sebaliknya ikhlas dalam membaiki semula perpaduan yang telah lama dirosakkan,” katanya.

UMNO dan PAS hari ini secara rasmi memeterai piagam kerjasama dua parti itu yang dikenali sebagai Piagam Muafakat Nasional.

Piagam itu ditandatangani oleh kedua-dua presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi UMNO dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS) pada satu majlis bersempena Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini.

Piagam itu adalah satu tatakelola kerja bagaimana kedua-dua parti harus bergerak dari sekarang hingga ke pilihan raya umum yang akan datang.

Berikut adalah kandungan Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai UMNO-PAS:

1.Menjunjung dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin pembentukan Negara, Islam sebagai Agama Persekutuan, Kedaulatan Raja-Raja Melayu, Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta Menjamin Kepentingan Masyarakat Majmuk Terpelihara;

2. Memperkukuhkan Muafakat Nasional melalui amalan musyawarah yang melibatkan pelbagai latar agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara.

3. Memperkasakan agenda Islam, Melayu dan Bumiputera secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan demi membangunkan watan yang sejahtera.

4. Membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif (Islam dan bangsa Melayu) tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara.

5. Mengikhtiarkan secara kolektif satu citra dan tawaran baharu untuk negara dalam meningkatkan tadbir urus yang baik, dasar pembangunan yang inklusif dan sejahtera serta pengagihan yang menyuburkan keadilan sosial merentasi batas warna kulit dan anutan.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2019/09/14/piagam-muafakat-nasional-under-expectation/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo