NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pertembungan 2 calon Muslim di Tanjung Piai?


oleh: AZAM MEKTAR

Jangkaan awal pelbagai pihak kira-kira 15,000 pengunjung akan membanjiri Tanjung Piai, penghujung benua Asia, lokasi pelancongan pada 26 Disember bagi menyaksikan gerhana matahari cincin (anulus).

Fenomena berkenaan khabarnya hanya berlaku setiap 23 tahun sekali, apabila bulan melalui antara bumi dan matahari. Ia dapat disaksikan secara jelas di kawasan ini.

Saya jangka sebelum 26 Disember, Tanjung Piai akan menjadi tumpuan seluruh negara selepas pihak SPR mengumumkan tarikh penamaan calon dan tarikh pilihan raya.

Himpunan Penyatuan Ummah memiliki medan terbaik untuk menguji dan membawa aura PWTC serta kesepakatannya di situ.

Pasca Himpunan Penyatuan Ummah dengan Kempen Vote Muslim First undi calon Muslim Berwibawa telah dimulakan antara faktor yang tidak boleh dipandang enteng oleh BN atau PH dalam mendepani PRK P165 Tanjung Piai kali ini, Jika mahu menang.

Menariknya komposisi pengundi P165 Tanjung Piai ialah Melayu 56.7 peratus, Cina 41.6 peratus, India 1 peratus dan lain- lain 0.7 peratus.

Dengan jumlah undi MCA (BN) 20,731 dicampur undi PAS 2,962 (calon Berjasa) pada PRU14, undi mereka (BN + PAS) perolehi melebihi undi PKR (PH) 21,255.

Pada PRU15, PH hanya menang dengan majoriti tipis 524 undi.

Antara kemungkinan pertembungan calon MCA lawan DAP? MCA lawan Bersatu? Umno lawan Bersatu? Umno vs Amanah?

Rekod PRU sejak 2004

Mari kita lihat sejarah keputusan pilihan raya P165 Tanjung Piai yang lepas, dari tahun 2004 kerusi ini dimenangi selesa oleh Ong Ka Ting (MCA/BN) pada PRU11 ketika berhadapan calon DAP Tan Hang Meng dengan majoriti 23,615 undi.

Selepas PRU12 pihak pembangkang menampilkan calon Melayu, senior DAP Ahmad Ton berjaya meningkatkan undi DAP dari 4,431 undi kepada 10,931 undi lebih sekali ganda.

Tetapi tidak cukup dan keputusan PRU12 tahun 2008, Wee Jeck Seng (MCA/BN) di isytihar menang dengan majoriti 12,371 undi, sekali gus mengekalkan kemenangan BN.

PRU13 calon Pakatan Rakyat, DAP menampilkan anak muda Mahdzir Ibrahim berjaya mengumpul 19,581 undi berbanding 10,931 undi diperolehi Ahmad Ton pada PRU11.

Peningkatan undi kepada calon Melayu ini menunjukkan calon bangsa Melayu sangat signifikan. BN mengekalkan kemenangan tetapi dengan majoriti terus merosot kepada 5457 undi.

Akhirnya calon Berjasa (logo PAS) yang bermula PRU13 bertanding di kawasan majoriti Melayu tetapi calon tradisi bukan Islam, bagi menyampaikan mesej bahawa Umat Islam perlu sepakat bagi menjaga dominasi kuasa politik telah membantu secara tidak langsung kepada kemenangan calon melayu di Tanjung Piai pada PRU14 lalu.

Allahyarham Dr Md Farid Md Rafik diumumkan sebagai pemenang. Selepas dua kali calon Melayu kalah kepada calon berbangsa Cina di Parlimen Tanjung Piai.

Pecahan undi kepada PAS 2,962 bukan kepada calon MCA/BN, ketika itu yang mengumpul undi 20,731 akhirnya memberi kemenangan kepada calon Pakatan Harapan dengan majoriti 524 undi.

"Saya jangka kerusi parlimen Tanjung Piai tetap diserahkan kepada MCA meskipun majoriti pengundi 51 peratus ialah Melayu.

“Meskipun selepas Umno dan PAS bersatu, mereka akan buktikan bahawa Umno dan PAS tidak rasis, masih beri peluang kepada MCA meskipun 90 peratus Cina menyokong PH pada PRU lepas," kata Penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi

Siapa calon ‘heavyweight’?

Pengerusi BN Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan berkenaan hasrat meletakkan calon BN di PRK Parlimen Tanjung Piai pada kali ini.

“Pasti kita rebut semula kerusi itu untuk diwakilkan oleh BN pada PRK Tanjung Piai nanti. Kita yakin ahli PAS akan mengundi calon BN pada PRK nanti memandangkan Umno kini telah bekerjasama secara taawun dengan Pas.

“Kita juga akan adakan perbincangan dengan rakan dalam Muafakat Nasional sebab undi PAS pada PRU14 lalu memperlihatkan mereka telah berikan kira-kira 2,900 undi.”

PRK ini juga akan menjadi medan menguji kesatuan kerjasama dan kesepakatan PH Negeri Johor selepas menguasai kerajaan dan telah memiliki dua menteri besar semenjak 9 Mei 2018

“PH Johor tidak lagi seteguh dulu kerjasamanya, mesyuarat tidak diadakan, konvensyen pun tak ada macam dulu sejak dah berkuasa,” ujar Hassan Abd Karim, ahli parlimen Pasir Gudang.

Tambah beliau lagi, “Masing-masing bawa hal masing-masing, teguran ikhlas ini beliau nyatakan kerana sayangkan PH Johor kerana beliau adalah antara pengasah kesatuan PH Johor memandangkan beliau sebelum ini pengerusi PKR Negeri Johor.”

Akhirnya kenyataan-kenyataan pemimpin di kedua-dua belah pihak. Menjadikan PRK kali ini medan muhasabah dan ujian atas kesatuan dan kemuafakan masing-masing.

Ini meyakinkan saya bahawa akhirnya pertembungan dua calon berbangsa Melayu, tidak mustahil akan berlaku di PRK Tanjung Piai kali ini.

Soalnya sekarang siapakan calon heavyweight yang dilihat boleh memenangkan kedua-dua belah pihak? Sama-sama kita nantikan.

AZAM MEKTAR ialah Setiausaha Pemuda Pakatan Harapan Johor merangkap pengarah pilihan raya Pemuda Amanah Johor.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo