Penjualan Kad Pengenalan Adalah Pengkhianatan Buat Pertiwi.

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Tanahair ini sentiasa membahang panas dengan pelbagai isu yang menunjal-nunjal nurani kita. Seolah hilang keberkatan dan berselimut kerapuhan kasih sayang antara rakyat dan pemimpin, masa seolah lambat bergerak untuk kita menghabiskan penggal pemerintahan PH. Geger apabila isu kerakyatan mula timbul pada apungan apabila orang kuat Jabatan Pendaftran Negara ditahan pihak keselamatan kerana sindiket menjual kad pengenalan.

Ironinya pula , semasa medsos menggelegak dengan isu-isu sebegini, seolah rakyat diugut agar tidak sewenang-wenang bercakap isu lambakan pelancong asing yang tidak muncul setelah tamat tempoh visa. Puluhan ribu pelancong daripada Tanah Besar China 'menghilang' dengan visa sementara mereka. Rakyat wajar untuk bertanya dan perlu tahu apa yang terjadi kepada warga asing ini, apatah lagi permohonan menjadi warga negara Malaysia meningkat dengan mendadak. Menteri Perumahan pula mengumumkan 22 billion ringgit nilai rumah mewah tidak terjual dan alan dibuka belian kepada warga asing. Ini semua menimbulkan kesangsian rakyat terutama warga Bumiputera yang sebahagian masih lagi berada dalam lingkaran ganas kemiskinan.

Dalam sejarah tanahair ini, Tanah Melayu yang digelar " Semenanjung Emas", Subvanabbumi dan pelbagai gelaran lain sentiasa memicu perhatian pelbagai bangsa daripada pelbagai penjuru dunia untuk datang menghirup udara segar serta memugar rezeki . Kemasukan migran asing secara besar-besaran bermula dipenghujung abad kesembilan belas kerana penjajah British ingin menggerakkan ekonomi komersial.

Kemerdekaan negara kita pada tahun 1957 mengheret satu isu yang besar berkaitan kewarganegaraan tanah leluhur ini. Dasar Jus Soli yang diperkenalkan oleh Bristish seperti menyimbah api pada bara perkauman. Orang Melayu sangat tidak berpuashati, malah kemarahan ini juga diletakkan dalam peti undi protes Pilihanraya Umum tahun 1959. Ramai cendekiawan Melayu saat itu berpihak kepada PAS, sehingga UMNO menerima tempias kemarahan orang Melayu. Parti PERIKATAN boleh menang selesa dikawasan campuran,namun tidak menang di dua buah negeri jantung hati orang Melayu (Kelantan,Terengganu) pada tahun 1959.

Kini isu kewarganegaraan muncul kembali pasca 9 Mei 2018, sangat menjolok mata dan membimbangkan. Parti DAP yang menunjangi kerajaan PH dilihat paling kehadapan dalam isu kewarganegaraan. Apakah perancangan mereka sebenarnya?, apakah agenda sulit dalam pertemuan pimpinan utama DAP dengan Menteri Dalam Negeri? . Rakyat perlu tahu dan wajar untuk bimbang memandangkan politik komunal semakin membarah pasca Mei 2018.
18 Julai 2019, dengan penubuhan "backbenchers citizenship committee" dengan keahlian 10 orang pimpinan DAP (Ahli Parlimen) adalah berbau etnosentrisme dan wajar dicurigai oleh kaum Peribumi. Mengapa tiada anggota parti lain?, apa agenda besar DAP dalam isu membuka kewarganegaraan?. Apatah lagi pertemuan tertutup pada 22 Julai 2019 dengan Menteri Dalam Negeri berkaitan isu kewarganegaraan.

Sebagai pengamat sosio politik,wajar penulis merasa bimbang dan bersalut kecurigaan. Adakah usaha pimpinan etnosentrism dalam kerajaan PH untuk menambah bilangan sesuatu kaum secara sistematik adalah bertujuan untuk menguasai politik negara ini pada masa akan datang?

Rakyat wajar juga merasa bimbang dengan Teori konspirasi bidak catur musuh Islam untuk membawa masuk bangsa- bangsa luar demi mengucar-kacirkan sosiobudaya negara ini yang dilihat mempunyai peranan dalam komuniti dunia Islam. Dunia Islam tidak lagi memandang negara Arab sebagai sumber rujukan politik dan kebaikan. Negara bukan Arab seperti Turki dan Malaysia diintai sebagai kuasa semak dan imbang dalam komuniti Islam sedunia.

Di wilayah Asia Tenggara ini, hanya negara Malaysia, Indonesia dan Brunei sahaja mempunyai majoriti umat Islam, kaum peribumi masih teguh memegang akidah Islam walau digoda untuk murtad. Tanah Jawi ini sepanjang sejarahnya diidamkan oleh bangsa-bangsa asing sehingga berlaku penjajahan dalam tempoh yang panjang. Kepada pemimpin PH,kalian sedang diperhatikan dan jangan menganggap kaum peribumi bodoh dan tak peduli akan kepelikan dalam isu kewarganegaraan ini. Pengkhianat negara yang terlibat dengan isu sindiket penjualan kad pengenalan sehingga nilainya ratusan ribu ringgit wajar dihukum dengan seberat hukuman, ubatlah sebelum negara ini berantakan!.

( Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget