NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penghakiman kes SIS: Kronologi, polemik dan kesan



Disediakan oleh:
Datuk Haji Zainul Rijal Abu Bakar

PENZAHIRAN KEPENTINGAN

Sebelum mengajak pembaca membaca nukilan ini saya ingin zahirkan terlebih dahulu bahawa saya dan firma saya Tetuan Zainul Rijal Talha & Amir adalah peguam cara yang mewakili Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor iaitu Responden Pertama setelah diberikan fiat oleh Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor. Saya juga berterima kasih kepada pembantu saya Azman Marsalleh kerana memberi input mengenai kronologi kes ini.

Kes ini adalah permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh SIS Forum (Malaysia) Berhad, Zainah Mahfuzah Anwar dan Datuk Zaid Ibrahim sebagai Pemohon-Pemohon dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor sebagai Responden-Responden.

LATAR BELAKANG KES

Pada 31 Julai 2014, Jawatan Kuasa Fatwa Negeri Selangor ("Responden Pertama") telah mengeluarkan fatwa, di bawah seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 ("EPAI 2003"), terhadap SIS Forum (Malaysia) ("Pemohon Pertama"). Sighah fatwa tersebut adalah seperti berikut:

"Fatwa Pemikiran Liberalisme Dan Pluralisme Agama

SIS Forum (Malaysia) dan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Mana-mana bahan terbitan yang berunsur pemikiran-pemikiran fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah diharamkan dan boleh dirampas.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hendaklah menyekat laman-laman sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam dan Hukum Syarak.

Mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam."

Fatwa tersebut telah diwartakan oleh Majlis Agama Islam Selangor ("Responden Kedua") pada 17 Julai 2014 di bawah subseksyen 48(6) EPAI 2003.

Memandangkan fatwa tersebut ditujukan kepada Pemohon Pertama, maka Pemohon Pertama telah menghantar surat bertarikh 28 Oktober 2014 kepada Responden Kedua dan surat bertarikh 30 Oktober 2014 kepada Responden Pertama untuk mendapatkan penjelasan mengenai:

(1) alasan di sebalik fatwa tersebut yang melabelkan Pemohon Pertama sebagai "sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam";

(2) tafsiran kepada ungkapan "fahaman liberal dan pluralisme"; dan

(3) sama ada fatwa tersebut dikeluarkan setelah mengambil kira prosedur yang ditetapkan di bawah seksyen 51 EPAI 2003 memandangkan fatwa tersebut ada hubungan dengan kepentingan nasional.

Kedua-dua Responden tidak menjawab surat yang dihantar oleh Pemohon Pertama tersebut. Surat tersebut diterima oleh pihak Responden namun ianya tidak mempunyai sebarang kesan undang-undang serta tidak mengikat Responden-responden kerana kedua-dua surat tersebut dibuat tanpa menepati kehendak Seksyen 48, 50 dan 50 EPAI 2003. Tambahan pula, Pemohon Pertama gagal mengambil sebarang tindakan untuk membuat rayuan kepada Jawatankuasa Fatwa supaya membatalkan Fatwa tersebut menurut Seksyen 50 EPAI 2003. Dengan ketiadaan tindakan sedemikian, tuntutan Pemohon Pertama untuk kajian semula di Mahkamah Sivil mahupun Mahkamah Syariah adalah pramatang.

Menurut MAIS, Fatwa yang telah diwarta tersebut dibuat setelah beberapa kajian dibuat di mana Responden Kedua telah, pada sekitar 19hb April 2011, melalui satu Mesyuarat MAIS Bil 2/2011, meminitkan di dalam mesyuarat agar satu Laporan lengkap berkaitan Pemohon Pertama disediakan untuk perbincangan. Sehinggalah menerusi sekitar Mesyuarat MAIS Bil 3/2011, pihak Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan JAIS membentangkan satu Kertas Laporan berhubung kajian awalan bertarikh 14 Jun 2011 mengandungi siri-siri perbahasan, penyelidikan perbincangan serta simposium khusus mengenai Pemohon Pertama serta pemahaman yang didukung oleh Pemohon Pertama yang tergolong dalam kategori Pemikiran Liberalisme dan Pluralisme Agama. Siri-siri perbahasan tersebut, penyelidikan serta perbincangan khusus tersebut berlangsung atas inisiatif Responden Pertama melalui Yang Berbahagia Mufti dan juga Responden Kedua melalui Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan JAIS.

KRONOLOGI KES

PROSIDING DI MAHKAMAH TINGGI (SIVIL) KUALA LUMPUR

(1) Di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi YA Datuk Asmabi binti Mohamad

Pada 31 Oktober 2014, Pemohon Pertama, Zainah Mahfoozah binti Anwar ("Pemohon Kedua") dan Datuk Mohd Zaid Bin Ibrahim ("Pemohon Ketiga") telah memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman untuk mengisytiharkan bahawa fatwa tersebut bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Aturan 53 Kaeedah 3(3) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, suatu permohonan kebenaran untuk Semakan Kehakiman tidak perlu diserahkan kepada pihak-pihak tetapi mesti diserahkan kepada Peguam Negara.

Setelah diserahkan, Peguam Negara telah membangkitkan bantahan awal atas alasan bahawa Mahkamah Tinggi (Sivil) tidak berbidang kuasa untuk mendengar hal perkara ini kerana hal perkara dan proses membuat fatwa berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Pada 10 Disember 2014, Hakim YA Datuk Asmabi binti Mohamad telah menolak bantahan awal tersebut dan memberi kebenaran untuk semakan kehakiman kepada Pemohon-Pemohon serta memerintahkan agar kes tersebut didengar berdasarkan merit. Sebelum permohonan substantif berdasarkan merit didengar oleh Hakim YA Datuk Asmabi binti Mohamad, pengendalian kes telah diambil alih oleh Hakim YA Datuk Hanipah binti Farikullah.

(2) Di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi YA Datuk Hanipah binti Farikullah

Di hadapan Hakim Hanipah binti Farikullah, Responden-Responden yang telah diserahkan permohonan Semakan Kehakiman kali ini membangkitkan bantahan awal atas alasan yang sama iaitu mahkamah sivil tiada bidang kuasa. Pada 24 Jun 2016, Hakim Hanipah binti Farikullah telah membenarkan bantahan awal tersebut atas alasan antara lain:

(a) doktrin res judicata tidak terpakai terhadap Responden-Responden kerana mereka tidak diwakili semasa prosiding di hadapan Hakim Asmabi binti
Mohamad;

(b) Mahkamah Persekutuan, dalam kes KIJAL RESORT SDN BHD v. PENTADBIR TANAH KEMAMAN & 1 LAGI ("Kes Kijal Resort"), memutuskan bahawa responden-responden dalam prosiding semakan kehakiman, boleh membangkitkan bantahan awal semasa perbicaraan sebenar; dan

(c) mahkamah sivil tidak berbidang kuasa mendengar permohonan tersebut kerana hal perkaranya adalah fatwa.

PROSIDING DI MAHKAMAH RAYUAN (SIVIL)

Pada 4 Julai 2016, Pemohon-Pemohon, yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang dibuat oleh YA Hakim Hanipah binti Farikullah tersebut, telah merayu ke Mahkamah Rayuan.

Pada 2 Mac 2017, Mahkamah Rayuan telah membenarkan rayuan PemohonPemohon dan telah memerintahkan agar kes dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk didengar berdasarkan merit oleh Hakim Mahkamah Tinggi yang lain atas alasan-alasan antaranya seperti berikut:

(a) sandaran pada Kes Kijal Resort adalah satu salah tanggapan. Kes tersebut bukanlah nas bagi Hakim Hanipah Farikullah untuk jadikan alasan membuka semula isu bidang kuasa, yang telah diputuskan oleh Hakim Asmabi binti Mohamad, terhadap responden-responden pada peringkat pendengaran permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman. Isu tersebut adalah res judicata;

(b) Mahkamah Tinggi telah mengeluarkan dua keputusan yang bercanggah dan bertentangan tentang hal perkara yang sama dalam prosiding yang sama melibatkan pihak-pihak yang sama; dan

(c) mahkamah dengan bidang kuasa setara tidak mempunyai kuasa menolak keputusan satu lagi mahkamah yang mempunyai bidang kuasa setara.

PROSIDING DI MAHKAMAH PERSEKUTUAN (SIVIL)

Sebelum kes ini dibicara semula di Mahkamah Tinggi pada 29 Mac 2017, Perayu-perayu, yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan tersebut, telah memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu dan pada 11 Julai 2017, Mahkamah Persekutuan telah membenarkan permohonan tersebut.

Pada 2 April 2018, Pemohon-Pemohon telah memfailkan permohonan untuk membatalkan rayuan Responden-Responden berdasarkan prinsip undang-undang yang telah diputuskan dalam kes Indira Gandhi.

Pada 25 September 2018, atas persetujuan kedua-dua pihak, Mahkamah Persekutuan telah membuat satu penghakiman persetujuan berdasarkan terma-terma berikut:

(a) kes ini dikembalikan ke Mahkamah Tinggi bagi pendengaran dan penentuan permohonan semakan kehakiman berdasarkan merit;

(b) Responden-Responden bebas untuk membangkitkan sebarang isu termasuk, tetapi tidak terhad, isu bahawa Mahkamah Tinggi (Sivil) tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan untuk semakan kehakiman berdasarkan peruntukan-peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan. Hujahan-hujahan mengenai isu ini hendaklah didengar bersama dengan hujahan-hujahan berdasarkan merit dalam permohonan untuk semakan kehakiman. PemohonPemohon dihalang daripada membangkitkan bantahan yang bersandarkan kepada alasan res judicata;

(c) Mahkamah Tinggi diarahkan untuk memutuskan semua isu yang dibangkitkan oleh kedua-dua pihak dalam pendengaran permohonan untuk semakan kehakiman; dan

(d) keputusan Mahkamah Rayuan yang bertarikh 2 Mac 2017 diketepikan.

PROSIDING DI MAHKAMAH TINGGI (SIVIL) KUALA LUMPUR

Di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi YA Datuk Nordin bin Hasan

Antara isu utama yang dibangkitkan dan dihujahkan oleh kedua-dua pihak di hadapan Hakim Nordin bin Hasan adalah seperti berikut:

(a) sama ada Mahkamah Sivil mempunyai bidang kuasa mendengar perkara berkaitan keesahan sesuatu fatwa;

(b) sama ada fatwa yang dikeluarkan terhadap Pemohon Pertama tidak beperlembagaan kerana ia bertentangan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan (kebebasan bercakap), Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan (kebebasan beragama), seksyen 7 Akta Penerbitan dan Percetakan 1984 dan seksyen 3 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998;

(c) sama ada syarikat yang menggunakan jenama Islam dan ditadbir urus oleh mereka yang beragama Islam boleh ditafsirkan sebagai termasuk dalam maksud "orang Islam" di bawah seksyen 2 EPAI 2003; dan

(d) sama ada pemakaian seksyen 66A EPAI 2003, iaitu peruntukan berkenaan bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk untuk memberi kebenaran dan mendengar permohonan bagi semakan kehakiman ke atas keputusan yang dibuat oleh Majlis Agama Islam Selangor atau jawatankuasa-jawatankuasa yang menjalankan fungsi di bawah EPAI 2003, mempunyai kesan retrospektif atau sebaliknya.

Pada 27 Ogos 2019, Hakim Nordin bin Hasan telah menolak permohonan Pemohon-Pemohon untuk semakan kehakiman berdasarkan alasan penghakiman lisan (alasan penghakiman bertulis belum dikeluarkan), antara lain, seperti berikut:

(a) fatwa liberalisme dan pluralisme agama tersebut telah dibuat dan diwartakan mengikut prosedur dan kehendak EPAI 2003 dan ia adalah mengikat dan boleh dikuatkuasakan kepada semua umat Islam di Negeri Selangor termasuk
Pemohon-Pemohon;

(b) fatwa tersebut juga tidak bertentangan dengan Perkara 10 dan 11 Perlembagaan Persekutuan;

(c) segala pertikaian berhubung fatwa adalah perkara di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah di mana Mahkamah Sivil tidak berbidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan isu tersebut selaras dengan peruntukan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan;

(d) fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah tertakluk di bawah bidang kuasa pihak yang pakar dan berautoriti dan seseorang yang beragama Islam tidak boleh menjadikan hak kebebasan bercakap dan kebebasan beragama sebagai perisai apatah lagi apabila segala prosedur telah dipatuhi sebelum fatwa itu dikeluarkan;

(e) syarikat yang ditadbir urus oleh orang Islam boleh terkesan dengan fatwa yang dikeluarkan dan diwartakan dan tidak boleh berselindung di sebalik tirai korporat dan doktrin separate legal entity; dan

(f) mengambil kira kesan retrospektif seksyen 66A EPAI 2003 kerana ia adalah undang-undang mengenai prosedur, maka Pemohon-Pemohon tidak terhalang daripada memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman di Mahkamah Syariah untuk meminda atau membatalkan fatwa tersebut. Malah seksyen 66A EPAI 2003 tidak menetapkan tempoh untuk memfailkan Permohonan Semakan Kehakiman di Mahkamah Syariah sebagaimana peruntukan di dalam Aturan 59 Kaedah Mahkamah 2012 di Mahkamah Sivil.

(g) Pemohonan Ketiga Datuk Zaid Ibrahim walaupun bukan ahli kepada SIS Forum Berhad mempunyai locus standi untuk memfailkan permohonan ini kerana beliau mendakwa beliau sering kali bercakap mengenai undang-undang Islam dan mempunyai minat mendalam mengenai penyebaran agama Islam yang sebenar.

POLEMIK DITONJOLKAN

Polemik yang cuba ditimbulkan pasca penghakiman Mahkamah Tinggi pada 27 Ogos 2019

1. Jawatankuasa Fatwa boleh membuat Fatwa kepada sesiapa sahaja dan termasuk syarikat jika terdapat orang Islam yang menganggotainya;

2. Kuasa terlalu luas kepada Jawatankuasa Fatwa.

Kenyataan ini adalah jauh dari kebenaran sebenar. Jawatankuasa Fatwa tidak boleh dengan semena-mena atau tidak munasabah membuat Fatwa kepada sesiapa dan/atau mana-mana syarikat yang mempunyai anggota orang Islam. Merujuk kepada kes Mahkamah Persekutuan Sulaiman Takrib v Kerajaan Negeri Terengganu; Kerajaan Malaysia (Intervener) & Other Cases [2009] 6 MLJ 354, ia menyatakan kuasa Jawatankuasa Fatwa untuk membuat fatwa:

[33] …The power given to the Fatwa Committee is to 'prepare a fatwa on any unsettled of controversial question of or relating the Hukum Syarak'. The term 'Hukum Syarak' used in the section has the same meaning as 'Islamic law' used in item 1 of List II, State List. In other words, the Fatwa Committee may prepare a fatwa on any question of or relating to Islamic law.
The only exception is if it is an ascertainment of Islamic law for purposes of federal law.

Ini bermaksud Jawatankuasa Fatwa hanya boleh membuat fatwa mengenai hal-hal hukum syarak dan/atau undang-undang Islam dalam menentukan isu-isu yang bercanggah dengan hukum syarak dan/atau undang-undang Islam. Juga, kesan fatwa mengikat keseluruhan orang Islam di kawasan tertentu. Menurut Seksyen 49 EPAI 2003, fatwa yang telah digazet akan mengikat setiap orang Islam di negeri Selangor dan ianya adalah tugas sebagai seorang Muslim untuk patuh terhadap fatwa tersebut. Pengecualian hanya di mana seseorang tersebut dapat membuktikan bahawa Hukum Syarak membenarkan seseorang untuk terkecuali daripada amalan fatwa tersebut atau dalam menentukan Undang-Undang Islam untuk tujuan undang-undang persekutuan.

Berhubung dengan SIS Forum sebagai syarikat, Mahkamah telah menganggap syarikat tersebut sebagai 'Islam' oleh kerana 'directing mind' atau orang dibelakang tabir dan misi serta visi syarikat tersebut berpandukan dan berasaskan agama Islam.

Jika kita lihat di laman web Sisters In Islam bahagian Mission Statement and Objectives:

"Organizational Vision
To be recognized as the national and global leader for gender equality and justice in Islam.

Mission
To promote the principles of gender equality, justice, freedom and dignity in Islam and empower women to be advocates for change."

Seperti yang dapatan oleh Mahkamah, SIS Forum adalah syarikat yang dianggap sebagai 'Islam' oleh kerana misi dan visi syarikat tersebut bertujuan untuk membawa keadilan kepada nama Islam beserta direktor dan kebanyakan orang atasannya juga adalah orang Islam. Mahkamah tidak akan 'lift the corporate veil' semata-mata sesuatu syarikat mempunyai anggota orang Islam.

KESAN PENGHAKIMAN

1. Kedudukan fatwa dan mahkamah Syariah dipelihara;

2. Orang Islam adalah tertakluk kepada undang-undang dan peraturan Islam dalam isu yang melibatkan hal ehwal agama;

3. Helah tidak boleh digunakan untuk berselindung di sebalik wadah syarikat di dalam melaksanakan sesuatu perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam;

4. Syarikat yang tidak ada kaitan secara langsung dengan pegangan agama Islam tetapi mempunyai pemilik atau pekerja Islam tidak tertakluk kepada fatwa sebegini;

5. Jika terdapat sebarang isu berkaitan dengan keputusan mengenai agama Islam, maka hendaklah menggunakan semakan kehakiman melalui Seksyen 66A EPAI di Mahkamah Syariah.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo