NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Muafakat Nasional: PAS dan Umno berdua, kata Subky


Di sebalik kejayaan Muafakat Nasional yang dimeterai dua parti Melayu Islam di negara ini, seorang veteran PAS menceritakan bagaimana parti itu bersungguh-sungguh mahu kerjasama itu dijayakan.

Pengerusi Assabiqun PAS, Subky Latif, memberi gambaran keperluan parti itu bekerjasama dengan Umno begitu mendesak.

Beliau yang juga bekas anggota Jawatankuasa Pusat PAS memberitahu anggota veteran parti itu bertanya kepadanya mengenai cadangan kerjasama tersebut serta untung dan rugi jika ia dimeterai.

"Saya kata begini: PAS yang nak (berkehendak). Kalau Umno tak nak, PAS nak.

"Saya kata (lagi), kalau Umno tak nak, PAS ambil satu sikap, (kalau) gunung tak datang pada (Nabi) Muhammad, biar Muhammad datang kepada gunung.

"Maknanya kita yang nak, tapi memanglah Umno (pun) nak. Tapi pada PAS saya kata, PAS lebih nak," katanya pada sidang media sempena pengumuman Hari Assabiqun Kebangsaan di Pejabat Timbalan Menteri Besar Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Assabiqun ialah salah satu sayap dalam PAS yang menghimpunkan pemimpin veteran parti itu.

PAS ada, Umno pun ada

Subky berkata demikian ketika ditanya sama ada wujud bantahan anggota veteran PAS susulan termeterainya Muafakat Nasional di Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Subky, dengan penjelasan demikian anggota veteran PAS akan bersama dan menyokong usaha tersebut.

Tambah beliau, Muafakat Nasional itu juga membawa hikmah tersendiri kerana ia berjaya menamatkan isu kafir-mengkafir melibatkan penyokong kedua-dua parti suatu ketika dulu.


"Yang paling menggembirakan kita dengan perkembangan itu (ialah) isu kafir-mengkafir tamat," katanya.

Subky yang juga bekas wartawan menjelaskan, Muafakat Nasional itu bukan bermakna PAS dan Umno bersatu, sebaliknya kedua-dua parti terbabit tetap berdua.

"Sekarang ini kedudukannya, kita bukan bersatu dengan Umno, tetapi kita berdua. PAS dan Umno berdua.

"Ke mana-mana pun berdua. (Di mana) PAS ada, Umno ada," jelasnya.

Baca 'Ada orang PAS kafirkan ibu bapa mereka'

Sementara itu mengulas mengenai Hari Assabiqun Kebangsaan Subky berkata, program yang menghimpunkan veteran PAS itu akan berlangsung pada 5 Oktober ini di dewan Majlis Daerah Ketereh, Kota Bharu.

"Ia bagi mengumpulkan ahli dan pemimpin dari pelbagai peringkat PAS yang banyak berjasa kepada parti.

"Mereka mungkin berumur lebih 55 tahun dan jumlah sebenar saya masih belum dapat pastikan lagi. Ramai antara mereka yang tidak lagi pegang sebarang jawatan.

"Perjumpaan ini juga untuk menghargai mereka supaya mereka rasa jasa mereka dikenang dan terus bersama PAS sehingga akhir hayat.

"Kita ambil kesempatan buat pelancaran di Kelantan dan selepas ini diadakan di setiap negeri. Semua ahli dijemput hadir untuk meraikan orang lama ini," kata Subky.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo