NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

MP: Serah UMT, UniSZA kepada kerajaan negeri jika tak mampu urus


PETALING JAYA: Cadangan penggabungan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) tidak wajar menggunakan "jalan singat", sebaliknya perlu diserahkan kepada kerajaan negeri jika tidak mampu menguruskan sebagai entiti sedia ada.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri berkata, kaedah penggabungan dengan justifikasi dan unjuran yang tidak jelas adalah pendekatan "jalan singkat".

Katanya, kerajaan menghadapi masalah dan cabaran dalam menguruskan kedua-dua universiti itu tanpa menghiraukan implikasi yang lebih besar pada masa hadapan.

"Ia juga menunjukkan kerajaan seperti tidak mempunyai sebarang harapan besar terhadap kedua-dua universiti ini," kata beliau dalam kenyataannya hari ini.

Beliau berkata, kerajaan pusat perlu menyerahkan kedua-dua universiti itu kepada kerajaan negeri Terengganu atau memilikinya secara bersama dengan kerajaan negeri Terengganu atau agensi.

"Ia lebih baik daripada menggabungkannya," kata beliau sambil menambah, "saya membantah penggabungan UMT dan UniSZA."

"Kedua-dua universiti dengan fokus berbeza ini mesti dikekalkan sebagai institusi yang tersendiri dengan matlamat dan falsafahnya masing-masing."

Beliau yang juga ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, kedua-dua universiti yang ditransformasikan sejak 2007 itu sepatutnya dipacu prestasinya dengan lebih berkesan oleh kerajaan menerusi pelbagai inisiatif dan insentif.

"Saya juga mahu mempersoalkan, mengapa kedua-dua universiti di negeri penduduknya majoriti Melayu ini dijadikan sasaran pertama? Mungkinkah selepas ini Universiti Teknologi MARA turut digabungkan dengan universiti-universiti lain dengan alasan yang sama seperti yang diberikan ketua pengarah pendidikan tinggi?" kata beliau.

Kenyataan Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi semalam mengesahkan laporan FMT baru-baru ini dengan berkata, laporan mengenai cadangan penggabungan itu dijangka selesai dalam tempoh 6 bulan akan datang.

Kabinet pada 4 Sept dilaporkan bersetuju pada dasarnya terhadap langkah itu yang akan mengukuhkan keupayaan kedua-dua universiti sejajar dengan 10 perpindahan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar pada awal hari ini berkata, kerajaan pusat wajar melibatkan kerajaan negeri Terengganu dalam perbincangan sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung syor penggabungan UMT dan UniSZA.

Malah kata beliau, isu penggabungan itu perlu berlandaskan dengan kajian terperinci dan menyeluruh dalam pelbagai aspek sebelum apa-apa keputusan dibuat.

Katanya, langkah itu bertujuan membolehkan semua pihak termasuk pemegang taruh, kakitangan dan juga pelajar di kedua-dua institusi berkenaan mendapat maklumat jelas mengenai matlamat sebenar dan juga keperluan ke arah penggabungan tersebut. - FMT

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo