Menuju pertarungan PRU15


oleh:  Abdul Muein Abadi
SARJANA Profesor Patricia Weitsman dari Ohio University, Amerika Syarikat meninggal dunia pada 2014, namun beliau sempat memformulasikan kerangka teoretikal yang cukup kritikal dalam memahami proses dan keberkesanan pembentukan kerjasama politik.

Bekas Pengarah War and Peace Studies di Ohio itu mengajukan kerangka yang dikenali sebagai ‘Realist Institutionalism’ setahun sebelum beliau meninggal dunia iaitu melalui karya pada 2013 berjudul Waging War: Alliances, Coalitions, and Institutions of Interstate Violence terbitan Stanford University Press.

Meskipun konteks pembinaan teori beliau adalah dalam disiplin geopolitik, namun ia turut boleh diaplikasi dalam konteks politik domestik, khususnya dalam membandingkan struktur antara Pakatan Harapan dengan Muafakat Nasional di Malaysia.

Benar, sememangnya masih awal untuk dibuat sebarang perbandingan antara Pakatan dengan Muafakat Nasional – khususnya PAS dan UMNO – yang baru sahaja memeterai Piagam Penyatuan Ummah sewaktu Himpunan Penyatuan Ummah di PWTC, Kuala Lumpur minggu lalu.

Namun begitu, dari segi strukturnya, UMNO ialah pemimpin Barisan Nasional (BN) iaitu gabungan parti yang lama berpengalaman sebagai kerajaan pusat manakala PAS pula ialah ‘primus inter pares’ dalam Gagasan Sejahtera yang turut dianggotai parti Berjasa dan Parti Ikatan.

Maka tiada masalah untuk dilakukan analisis komparatif awal antara Pakatan Harapan dengan Muafakat Nasional ini.

Dalam karya beliau pada 2013 itu, Prof Weitsman menyentuh mengenai kepentingan dua aspek dalam menilai kekuatan dan keberkesanan sesuatu kerjasama politik iaitu ‘struktur pembuatan keputusan’ dan ‘saiz’ kerjasama.

Dari segi struktur pembuatan keputusan, terdapat dua pola yang berbeza iaitu bersifat hierarki yakni unity in command (kesatuan dalam rantaian arahan) dan bersifat ‘egalitarian’ (decision authority diffuse).

Dalam aspek ‘saiz’ pula, ia boleh dilihat dari segi besar kecilnya jumlah parti yang terlibat dalam sesuatu kerjasama politik.

KonsensusDari segi pembuatan keputusan, struktur yang bersifat hierarki bakal membawa kepada ‘keberkesanan, kecekapan, dan kesepaduan’.

Sebaliknya, struktur ‘egalitarian’ yang menekankan aspek konsensus bakal membawa kepada masalah dari segi kesepaduan, melemahkan keberkesanan, serta mengurangkan kecekapan.

Dalam aspek ini, Pengerusi Pakatan Harapan iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri mengakui bahawa Pakatan Harapan yang dipimpin beliau adalah bersifat konsensus – berbeza sama sekali dengan Barisan Nasional yang menyaksikan dominasi UMNO berbanding parti komponen yang lain seperti MCA atau MIC mahupun parti komponen di Sabah dan Sarawak.

Dengan kata lain, parti Bersatu pimpinan Dr Mahathir tidak memiliki kuasa veto (kata putus) berbanding parti DAP, PKR, Amanah, mahupun Warisan.

Implikasi ini cukup besar di mana dalam proses pembuatan keputusan sama ada di peringkat parti mahupun di peringkat kabinet kerajaan, Pakatan Harapan jelas berdepan cabaran untuk menghadirkan polisi yang jitu dan konkrit.

Antaranya ialah isu 'U-Turn' dalam projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), pertembungan Anwar Ibrahim Presiden PKR yang mendesak agar ECRL disemak semula dengan Menteri Pengangkutan Anthony Loke daripada DAP bahawa langkah sedemikian tidak perlu, ‘U-Turn’ pembatalan Melaka Gateway, pemisahan antara Kementerian Kewangan dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, ketidaksepakatan dalam isu tambakan laut Pulau Pinang, percanggahan pendirian berkenaan silibus jawi dan khat antara Bersatu dengan DAP, percanggahan tentang isu Dr Zakir Naik antara Bersatu dengan PKR, DAP, dan Amanah, dan pelbagai isu lagi.

Hal sebegini kritikal tidak terjadi ketika era BN dahulu dan juga kini – jika ada pun tentangan dari MCA dan MIC, mereka tidak dominan sama sekali. Begitu juga dengan Pas yang mendominasi Gagasan Sejahtera.

Keselarian pendirian pegangan Islam dan Melayu antara PAS dengan UMNO menyaksikan kesepakatan dalam hal-hal yang menyentuh mengenai tiang seri negara ini.

Bagi mengimbangi ‘saiz’ Pakatan pula, usaha PAS mengajak Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) agar bersama Muafakat Nasional boleh menjanjikan senario yang cukup berpotensi.

Pilihan Raya Negeri Sarawak yang akan diadakan nanti bakal menentukan adakah Pakatan bakal berdepan gabungan Pas-Gagasan dengan UMNO-BN dan PBB-GPS Sarawak, lalu munculnya sistem dwi-parti menjelang PRU15 kelak.

* Abdul Muein Abadi ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget