NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Konflik Kashmir: Mana pendirian Ahli Parlimen Malaysia?


Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 4 Muharram 1441H, Rabu – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa semua Ahli Parlimen Malaysia supaya bersatu dan bangkit untuk menyatakan pendirian menyokong perjuangan Kashmir.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, satu memorandum khas daripada pihak anggota Parlimen perlu dihantar kepada Pesuruhjaya Tinggi India di Kuala Lumpur, bagi menyatakan ketegasan negara terhadap kes pelanggaran hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa oleh New Delhi terhadap Kashmir. 

"Kami menggesa Parlimen Malaysia mengambil inisiatif untuk membincangkan isu Kashmir dan bertindak menyelamat warga Kashmir yang sedang parah ditindas.

"Ahli Parlimen perlu mengguna semua saluran antarabangsa untuk menghentikan penindasan terhadap Kashmir. Saluran diplomatik, kempen antarabangsa, menganjur perhimpunan solidariti untuk Kashmir, menghantar surat menyokong perjuangan kepada Kashmir adalah antara tindakan yang boleh dilakukan oleh Ahli Parlimen," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bahkan, katanya, beberapa orang Ahli Parlimen di United Kingdom (UK) telah pun menyatakan pendirian mendesak Perdana Menteri India, Narendra Modi menghenti polisi ganasnya terhadap warga Kashmir. 

Bukan itu sahaja, beliau berkata, agensi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Amnesty International serta Human Rights Watch (HRW) juga telah menyatakan kecaman terhadap India serta situasi terkini yang tegang di Kashmir.

"Adalah sangat mengecewakan jika Ahli Parlimen Malaysia mendiamkan diri dan tidak bertindak untuk menyelamatkan Kashmir dan potensi perang nuklear yang boleh berlaku jika penyelesaian sepatutnya tidak dicapai segera," katanya.

Mengulas situasi terkini di Kashmir, beliau berkata, pihak India di bawah kerajaan BJP kini sedang melakukan penindasan yang sangat parah ke atas enam juta warga Kashmir. 

Selain itu, hampir sejuta tentera dihantar ke Kashmir untuk melaksanakan operasi mengambil alih Kashmir.

"Dalam operasi itu, ratusan warga Kashmir terbunuh dan cedera. Kini Kashmir sedang berisiko berdepan dengan operasi pembunuhan besar-besaran atau Holocaust terbesar di abad ini.

"Warga Kashmir kini berada dalam kepungan tentera India. Arahan berkurung (curfew) 24 jam telah berjalan hampir sebulan. Semua komunikasi ditutup oleh India termasuk internet dan telefon bimbit. Akibatnya warga Kashmir terputus bekalan makanan dan ubat kerana tentera India mengepung Kashmir secara total," katanya.

Justeru, beliau sekali lagi menyeru kepada semua 222 orang Ahli Parlimen Malaysia supaya menunjukkan sikap dan pendirian yang sepatutnya dalam menegakkan kebenaran dan keadilan dalam isu konflik Kashmir.

"Ahli Parlimen tidak harus bersikap sepi dan tidak peduli terhadap apa yang sedang berlaku di Kashmir sekarang," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo