Isu Uyghur: Malaysia perlu berunding dengan China



BANGI, 24 Muharram 1441H, Selasa – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa kerajaan mengambil inisiatif untuk berunding dan mengetengahkan penyelesaian terhadap penindasan agama Islam yang sedang berlaku di China.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Malaysia perlu menyatakan bahawa agenda komunis China yang menolak agama tidak boleh lagi menjadi dasar negara seiring perubahan dunia yang melaksanakan hak kebebasan beragama.

"China perlu diyakinkan akan keperluan untuk memahami bahawa penindasan berterusan mereka terhadap Uyghur tidak akan menjamin hubungan baik dengan komuniti umat Islam dunia kerana ikatan agama ini melampaui sempadan terutama apabila etnik Uyghur Islam ditindas oleh kerajaan China.

"China juga tidak seharusnya mengimplikasikan kuasa Barat yang dengan mudah menyasarkan umat Islam sebagai pengganas dan menggunakan dasar Islamofobia terhadap Islam," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata, jika China mahu menjadikan negara-negara Islam sebagai rakan kongsi untuk pertumbuhan ekonomi, maka kelakuan buruk terhadap umat Islam mesti dihentikan.

Justeru, beliau menggesa semua Ahli Parlimen Malaysia untuk memberikan sokongan terhadap perjuangan Uyghur, dan menggerakkan usul di Dewan Rakyat dengan menyatakan pendirian Malaysia menuntut China membebaskan umat Islam Uyghur dari kem tahanan dan mengembalikan hak beragama mereka.

"Kami juga menggesa semua mufti di Malaysia untuk menyuarakan keprihatinan mereka terhadap nasib umat Islam Uyghur dan semua minoriti Islam di China dan menuntut kerajaan China untuk menamatkan dasar keagamaan mereka.

"Mufti Malaysia mesti sedar bahawa penindasan serius umat Islam di China dan penCinaan Islam mesti dikutuk kerana ia melibatkan penafian kesucian Islam, melarang simbol-simbol Islam termasuk logo halal, penutupan dan pemusnahan masjid, memaksa Islam dihapuskan, tidak membenarkan pendidikan keagamaan, pengabaian guru agama Islam dan halangan amalan agama walaupun di rumah persendirian," katanya.

Terdahulu, terdapat laporan rakaman penahanan lelaki dengan kepala mereka dicukur dan tangan terikat di belakang, dipaksa duduk di lantai oleh pengawal di sebuah stesen kereta api di kota Korla di Xinjiang.

Laporan rakaman menunjukkan sehingga 600 tahanan dipindahkan; diikat bersama, kepala dicukur, ditutup mata dan tangannya diikat di belakang mereka. – Agensi

Sumber: https://www.ismaweb.net/2019/09/24/isu-uyghur-malaysia-perlu-berunding-dengan-china/

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post