NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu Cadangan Penggabungan UniSZA - UMT: Ini ulasan Mantan Menteri Pendidikan

Sebagai mantan Menteri Pendidikan Tinggi saya ingin memberi sedikit pandangan terhadap isu cadangan penggabungan UniSZA dan UMT. Secara peribadi saya anggap tindakan ini lahir dari sikap ambil mudah kementerian dengan alasan penjimatan, tanpa menghargai sejarah penubuhan dan implikasi kepada masa depan kedua-dua buah universiti tersohor tanahair ini.

UniSZA dan UMT terbina dengan tujuan, sejarah dan falsafah mereka tersendiri. UniSZA yang terkenal dengan motto ‘Ilmu Demi Faedah Insan’ bermula dengan nama KUSZA, iaitu sebuah kolej yang berpaksikan kepada Agama Islam dengan mengintegrasikan ilmu-ilmu konvensional untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, tetapi mempunyai nilai-nilai akhlak yang tinggi. Ia berakar-umbikan sistem pendidikan Islam tradisi Terengganu yang secara tidak langsung menjadi satu kebanggaan buat Rakyat Terengganu keseluruhannya. Apatah lagi namanya diambil sempena nama seorang Sultan yang terkenal dengan peribadi yang wara’ dan berilmu pengetahuan yang tinggi iaitu Almarhum Sultan Zainal Abidin. Oleh itu apabila KUSZA dinaik taraf sebagai universiti, terdapat kesinambungan daripada falsafah ilmu dan penawaran kursus dengan penyesuaian ilmu semasa di bidang pengurusan, digital, perubatan, keusahawanan dan lain-lain.

Penubuhan UMT juga berasaskan kepada faktor unik Negeri Terengganu yang sinonim dalam bidang maritim dan sumber-sumber yang berkaitan dengannya. Bermulanya sejarah UMT dari Fakulti Sains Samudera, seterusnya kepada KUSTEM dan akhirnya UMT; universiti ini terus diberi mandat menerajui bidang Sains Marin dan Oseonografi hingga mendapat pengiktirafan antarabangsa. Tak dinafikan, UMT sememangnya berpotensi memainkan peranan yang penting ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maritim yang disegani dunia.

Melihat kepada signifikan sejarah ini, semasa menjadi Menteri Besar Terengganu; saya berusaha agar kedua-dua institusi ini dinaiktaraf sebagai dua buah universiti yang berasingan, walaupun ketika itu telah wujud cadangan agar kedua-duanya disatukan menjadi hanya sebuah universiti.

Saya maklum adanya tuduhan pihak-pihak tertentu bahawa idea penggabungan ini telah dimulakan oleh kerajaan terdahulu tetapi takut untuk melaksanakannya. Pandangan saya, tuduhan sebegini merupakan sikap orang yang pengecut memandangkan semasa menjadi Menteri Pendidikan Tinggi, kami telah berusaha merangka strategi peningkatan daya saing universiti dalam pelbagai bidang ( Soaring Upwards ) dengan pengurusan perbelanjaan yang cekap ( cost efficient ). Kami memperkenalkan konsep collegiality dan commonality (permuafakatan) antara universiti. Konsep ini menggalakkan semangat guna sama, kolaborasi, kerjasama dan persaingan sihat antara universiti untuk memberi pendidikan terbaik kepada mahasiswa.

Oleh itu saya berpandangan cadangan penggabungan ini sememangnya langkah yang amat mudah, namun ia bukanlah satu-satunya langkah terbaik untuk berjimat. Janganlah hanya kerana ingin berjimat sedikit; sejarah dan keunikan kedua-dua universiti ini terpaksa dikorbankan. Ternyata ia telah mula membangkitkan keresahan di kalangan kakitangan dan mahasiswa. Jangan dilupakan bahawa core business universiti adalah untuk melahirkan graduan yang beridentiti. Oleh yang demikian saya menggesa agar pihak kementerian perlu berfikir panjang dan merancang dengan sempurna demi masa depan kedua-dua universiti tersebut.

Sekian, Wassalam

Idris Jusoh

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo