#HPU914: Malaysia bukan tempat perjuangan komunis



Oleh Fazleen Safina

KUALA LUMPUR, 14 Muharram 1441H, Sabtu – Teori 'Malaysian Malaysia' ke arah menghapuskan hak bangsa Melayu dan Bumiputera serta kedudukan agama Islam, adalah ajaran salah yang melanggar sempadan konsep negara ini yang wajib dipertahankan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, slogan 'Malaysian Malaysia' kerana diskriminasi terhadap kaum lain juga adalah tidak benar, bahkan Melayu dan Bumiputera menjadi mangsa pertama di zaman penjajahan sejak beratus tahun dahulu.

Berbeza dengan kedudukan kaum lain yang datang kemudian, beliau berkata, kesan peninggalan penjajah terhadap orang Melayu dan Bumiputera tidak boleh di atasi dengan mudah dalam masa yang cepat.

"Namun sikap kemanusiaan yang diajar oleh Islam masuk ke dalam hati orang Melayu yang beragama Islam sehingga disebut "Islam itu Melayu, Melayu itu Islam", namun membolehkan hidup bertoleransi bersama kaum lain.

"Perjuangan Komunis yang menolak agama dan bangsa bukan tempatnya di sini, maka perjuangan Komunis juga adalah suatu bentuk penjajahan untuk mengambil tempat penjajah," katanya berucap pada Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, walaupun PAS dan UMNO adalah dua parti yang berlainan, namun kerana banyak titik persamaan mendorong kedua-duanya memulakan pendekatan baharu melalui 'taawun siyasi' yang dimeterai secara rasmi hari ini.

Beliau berkata, PAS dan UMNO menjadi parti yang paling awal dalam perjuangan kemerdekaan dan ketika negara mencapai kemerdekaan.

Katanya, titik persamaan itu berjaya meletakkan asas penting dalam Perlembagaan Malaysia iaitu kedudukan Islam, hak agama lain, hak Bumiputera, bahasa kebangsaan dan hak bermasyarakat majmuk.

"Pertembungan hanya dalam perbezaan pendekatan dan salah faham dalam perkara cabang yang bersifat teknikal.

"Maka dalam menghadapi cabaran yang lebih besar, kita wajib bersatu dalam perkara dasar dan asas, dan boleh bertolak ansur dalam perbezaan, serta bermaaf-maafan dalam pertembungan," katanya.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2019/09/14/hpu914-malaysia-bukan-tempat-perjuangan-komunis/

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post