Hak dilindungi Perlembagaan


oleh: Dr.Zainul Rijal

SEJAK kebelakangan ini rakyat Malaysia lebih peka kepada hak-hak yang diperuntukkan kepada mereka melalui undang-undang tertinggi di Malaysia iaitu Perlembagaan Persekutuan. Perkembangan ini adalah baik kerana rakyat yang celik undang-undang merupakan aset kepada perkembangan negara di samping tidak mudah diperkotak-katik oleh individu yang ingin mengambil kesempatan.

Shad Saleem Faruqi telah mengkategorikan hak-hak yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan ini kepada beberapa kategori antaranya:-

1. Hak yang dianugerahkan kepada semua orang tanpa mengira sama ada mereka adalah warganegara Malaysia ataupun tidak.

2. Hak yang hanya diberikan kepada warganegara seperti hak bersuara dan berhimpun seperti dalam Perkara 10 dan hak mendapatkan pelajaran Perkara 12.

3. Hak yang dilindungi walaupun dalam darurat. Perkara 150(6A) menegaskan terdapat enam hak yang tidak boleh digugat walaupun negara di dalam keadaan darurat. Hak-hak tersebut adalah berkait dengan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan dengan bahasa.

4. Hak yang tidak boleh dihakis pada masa biasa seperti Perkara 7 hak untuk mendapat gantirugi sekiranya tanah diambil dan Perkara 13 hak kepada orang yang ditangkap diberitahu alasan penangkapan dan menghubungi peguam. Dalam ertikata lain hak-hak yang termasuk dalam kategori ini boleh dihapuskan, digantung ataupun diketepikan ketika berlaku darurat dalam negara sahaja. Dalam situasi lain Perlembagaan menjamin hak ini dilindungi.

5. Hak yang dihadkan atas alasan tertentu seperti hak kebebasan bersuara dan berhimpun dibataskan selagi ia tidak menggugat ketenteraman awam, keselamatan negara, menggalakkan perlakuan jenayah dan sebagainya.

Perkara yang menarik perhatian penulis ialah tentang kedudukan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan dengan bahasa yang tidak terjejas walaupun negara dalam keadaan darurat.

Tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa undang-undang Islam adalah lebih tinggi dan mendahului undang-undang lain dari sudut keutamaannya. Natijah daripada kedudukan yang tinggi ini, sudah sewajarnyalah jika terdapat pertelingkahan atau percanggahan antara undang-undang Islam dan undang-undang lain maka tafsiran yang memihak undang-undang Islam (yang dari segi kedudukannya lebih tinggi daripada undang-undang lain) hendaklah dipakai.

Fenomena

Tafsiran secara tuntas bagi memberhentikan keabnormalan fenomena yang mempertikaikan undang-undang Islam hendaklah dibuat segera bagi menamatkan cabaran terhadap undang-undang Islam di Malaysia. Janganlah kita melengos terhadap undang-undang Islam tanpa mengkaji susur galur sejarah, kedudukan dan juga kehendak majoriti umat Islam di Malaysia.

Undang-undang Islam seharusnya menjadi sauh yang menambat undang-undang lain. Ini adalah kerana kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang terkandung di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan hakikat bahawa walaupun dalam keadaan darurat undang-undang Islam tidak langsung terjejas.

Secara hipotesisnya, jika negara diisytiharkan darurat, semua undang-undang digantung pelaksanaannya, namun undang-undang Islam termasuk undang-undang keluarga Islam masih berkuatkuasa. Ini bermakna Mahkamah Syariah masih boleh beroperasi dan inilah keistimewaan yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada undang-undang Islam.

Sebenarnya keistimewaan ini bukan hanya diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan. Sebelum Perlembagaan Persekutuan digubal kedudukan Islam sudah memang gah di sisi masyarakat dan bukanlah perkara asing bagi penduduk Malaysia. Malah keistimewaan undang-undang Islam ini tidak pernah berganjak walaupun negara telah dijajah oleh beberapa penjajah selama beratus tahun. Jika penjajah pun tidak berani menyentuh ketinggian undang-undang Islam takkan lah setelah lebih lima dasawarsa negara merdeka dan diperintah oleh anak watan, keutuhan undang-undang Islam ini diperlekehkan.
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget