NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dr M terkejut kematian Farid, sempat solat Jumaat bersama semalam

Mahathir Mohamad meninggalkan program Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Gerakan koperasi Sempena 100 Tahun di Cyberjaya kerana bergegas ke Pontian bagi menghadiri pengebumian Md Farid Md Rafik.

CYBERJAYA: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dikhabarkan terkejut dengan berita kematian Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Md Farid Md Rafik kerana baru semalam mereka sama-sama menunaikan solat Jumaat di Surau Utama Istana Negara.

Pengerusi PPBM itu tidak menyertai sidang media yang dijadualkan selepas Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Gerakan Koperasi Sempena 100 Tahun pada 2022 kerana bergegas ke Pontian bagi menghadiri pengebumian Farid.

"Baru semalam mereka solat Jumaat bersama. Beliau agak sedih. Dia (Farid) ialah salah seorang pemimpin Bersatu yang berpotensi," kata seorang pegawai di Jabatan Perdana Menteri ketika memaklumkan tentang perkara itu kepada pemberita.

Mahathir tiba untuk menyertai acara itu kira-kira jam 11 pagi dan beredar jam 11.55 pagi selepas menyampaikan mandat dan menyempurnakan gimik perasmian.

Beliau juga membatalkan lawatan ke Pameran Coop Trade City yang sepatutnya dihadiri beliau di majlis sama.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof yang hadir sama, turut meminta hadirin menyedekahkan Al-Fatihah ketika menyampaikan ucapannya dalam majlis sama.

"Semoga Allah mencucuri rahmat kepada beliau," katanya.

Farid merupakan ahli Parlimen Tanjug Piai dan Naib Ketua Bahagian PPBM di kawasannya.

Md Farid (dua dari kiri) menghadiri Majlis Bacaan Yassin dan Khutbah Jumaat Khas Sempena Hari Pahlawan 2019 di Istana Negara semalam. (Gambar Facebook)

Beliau yang merupakan lulusan perubatan adalah timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang diamanahkan untuk menjaga portfolio perpaduan negara dan kesejahteraan sosial.

Beliau memenangi kawasan Tanjung Piai, Johor dengan menewaskan penyandangnya, Wee Jeck Seng (Barisan Nasional) dan Nordin Othman (PAS) pada pilihan raya umum tahun lalu. Farid memperoleh 21,255 undi, Wee (20,731) dan Nordin (2,962).

Semalam, dalam posting terakhir Facebook antara lain mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada anggota keselamatan dan pahlawan dalam menjaga keamanan negara.

Posting itu dimuat naik kira-kira 15 jam lalu iaitu selepas menghadiri Majlis Bacaan Yassin dan Khutbah Jumaat Khas Sempena Hari Pahlawan 2019 di Surau Utama Istana Negara.

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/09/21/dr-m-terkejut-kematian-farid-sempat-solat-jumaat-bersama-semalam/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo