CAP gesa tubuh RCI siasat skandal kemiskinan




PETALING JAYA: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan bagi memberi gambaran tepat berhubung kemiskinan di negara, susulan laporan bahawa Malaysia memalsukan ukuran kemiskinan, kata Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Pemangku Presiden Mohideen Abdul Kader berkata, di sebalik kadar kemiskinan rasmi 0.4% dikeluarkan Putrajaya, kadar kemiskinan ditunjukkan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula dianggarkan sebanyak 15%.

"Kita tertipu dengan kejayaan kita sendiri, kita terus melaksanakan dasar sama yang gagal. Ini merupakan satu skandal yang amat besar dan perlu diberikan perhatian segera oleh kerajaan.

"Penemuan utama PBB bukti kegagalan institusi kerajaan mengembangkan dasar lebih jujur, telus dan berkesan bagi mengurangkan kemiskinan dan pembangunan inklusif dalam membuat dasar kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, PBB mendakwa situasi kemiskinan jauh lebih buruk daripada digambarkan kerajaan. Pelapor Khas Kemiskinan dan Hak Asasi Manusia PBB, Philip Alston menyifatkan kadar kemiskinan negara 0.4% pada 2016 tidak realistik kerana penanda aras rendah.

Sebaliknya, kata Philip, kadar kemiskinan yang sebenar kira-kira 15%. Putrajaya bagaimanapun tidak bersetuju dengan laporan pelapor khas PBB itu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun berkata, Putrajaya akan mengambil tindakan berhubung laporan garis kemiskinan.

Mohideen berkata CAP banyak kali mengemukakan isu kemiskinan untuk perhatian Putrajaya namun kerajaan persekutuan seolah-olah tidak memandang penduduk miskin.

"Putrajaya melaksanakan projek pembangunan yang bukan hanya gagal untuk mencapai sasaran golongan miskin tetapi mendorong kumpulan yang terjejas ke arah lebih miskin," katanya.

Mohideen memberi contoh projek tebus guna mega seperti projek Forest City di Johor dan Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang, yang menurutnya projek pembangunan yang negatif.

"Ia memberi kesan kepada komuniti pantai, yang mudah terjejas dengan risiko menekan mereka ke arah lebih miskin. Kerajaan terus buta kepada perkembangan ini.

"Pada masa sama turut mengekalkan inisiatif pembangunan yang gagal, mewujudkan lebih banyak kemiskinan, penganguran dan kesengsaraan," katanya.

Bagi Mohideen, sekiranya RCI ditubuhkan, anggota suruhanjaya boleh mengenal pasti kelemahan institusi dalam membangunkan pembangunan berkesan dan dasar mengurangkan kemiskinan.

"Mereka boleh menyarankan pembaharuan segera sistem penyampaian kerajaan untuk memastikan bahawa ia memberikan tumpuan kepada kemiskinan," katanya.

Tambah Mohideen, kita perlu mengakui institusi kita gagal dan perlukan pembaharuan segera.

"Sebelum kita lakukan pembaharuan, sama seperti seorang yang menghadapi masalah alkohol, kita perlu terlebih dulu mengakui masalah kita," katanya. - FMT
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget