Airmata Di #HPU914: Lakonan Atau Keinsafan?


oleh: NIK MUHAMMAD NASRI BIN NIK MALEK

PWTC yang biasanya dipenuhi dengan warna merah, kali ini bercampur hijau dan putih. Merah melambangkan keberanian. Hijau menandakan keindahan dan kesuburan. Putih bermakna kembali kepada fitrah. Warna tema Himpunan Penyatuan Ummah 914 adalah putih. Ia menggambarkan hasrat 2 parti Melayu terbesar dan teramai pengikutnya di tanahair kembali kepada sifat asal manusia, seperti yang disebut oleh Allah:

ان هذه امتكم أمة واحدة وانا ربكم فاتقون

"Sesungguhnya umat ini adalah umat yang satu, dan Aku (Allah) ialah Tuhan kamu, maka bertaqwalah kepadaKu."

Umat yang satu dan disatukan mestilah berada di dalam acuan yang benar, seperti firman Allah:

واعتصموا بحبل الله جميعا ولا تفرقوا

" Dan berpegang teguhlah kamu semua dengan tali Allah, dan janganlah kamu berpecah-belah"

Ayat اعتصام berbentuk suruhan. Asal suruh dalam Al-Quran adalah wajib. Justeru, wajib berpegang dengan 'tali' Allah, sama ada 'tali' itu bermaksud Quran, kumpulan orang Islam teramai, Islam dan pelbagai tafsiran ulama. Kalau semua berpegang dengan Islam sebenar, tentulah tidak akan berlaku تفرق (perpecahan). Kalimah 'perpecahan' pula datang kemudian dalam bentuk larangan. Asal 'larang' ialah wajib tinggal. Justeru, makna ayat ialah kamu wajib tinggalkan perpecahan.

Saya teringat, semenjak lama pimpinan PAS membaca ayat di atas dalam ceramah mereka, mengajak pemimpin Umno bersatu di atas nama Islam. Menteri-menteri PAN mungkin ketika itu masih budak hingusan yang sedang bermain pondok-pondok. Namun, ajakan itu hanya berlalu di angin lalu. Maklumlah, mereka sedang berkuasa. Ya, kuasa menjadikan manusia hilang punca dan gila.

Puluhan tahun tidak pernah berhentinya dakwah. Begitu lama ajakan tidak mengenal lelah. Biar ribut dan tsunami politik melanda, tidak terjejas istiqamah. Hingga kuasa pemerintahan hilang ditakdirkan Allah. Lalu ketika itu mereka sedar, terdongak lalu tengadah. Akhirnya sama-sama bersedia membuat Himpunan Penyatuan Ummah.

Di saat Ustaz Tarmizi Ali membacakan ayat Al-Quran di atas dalam pembukaan Himpunan, dengan alunan suara yang mendayu, saya perhati dalam skrin besar dalam Dewan Merdeka itu wajah 2 orang pimpinan di belakang Ustaz Tarmizi seperti sayu dan sedang menghayati ayat tersebut. Mereka bukan sahaja sangat hampir kedudukannya dengan Ustaz Tarmizi, bahkan tentunya sangat dekat dan lekat dengan ayat yang dibaca.

Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa agak sebak ketika membacakan kandungan piagam yang ditandatangani bersama oleh Presiden PAS dan Umno.

Ucapan Setiausaha Agung PAS, Umno serta Presiden PAS dan Umno menggambarkan hasrat kedua-dua parti untuk berdamai dan bersatu untuk kepentingan umat, bangsa, agama dan negara. Ucapan yang insaf tentulah datang dari hati yang insaf, dan tentulah airmata keinsafan juga yang mengalir.


Gambar-gambar mata yang bergenang yang ditunjuk di media sosial, insyaAllah bukannya sebuah lakonan, tetapi datang dari sebuah ketulusan hati untuk melihat bangsa Melayu seagama ini bersatu dan bertaut, setelah sekian lama bercakaran dan bermusuhan, apatah lagi dengan suasana politik, ekonomi semasa yang mencabar Islam, hak Melayu dan Perlembagaan Persekutuan.

Namun, secara peribadi, saya nasihatkan, penyatuan ini biarlah bersungguh. Sifat lama yang tamakkan harta, projek dan kuasa semata mesti dibuang. Sifat sombong dan ego terhadap perintah Allah mesti dicampak. Seperti kata Presiden PAS: 'Kita bina sejarah baru' , maka biarlah akhlak yang buruk, perangai yang keji dan integriti yang tercalar menjadi sejarah yang tidak patut diulang. Ada Melayu lain yang sinis, tetapi saya optimis dengan penyatuan ini, dengan syarat mesti kembali kepada akar agama ini, dan layaklah dengan tema putih hari ini.

Penulis ialah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post