5 Sebab Tolak Tambak Laut!

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) membantah sekeras-kerasnya projek mega Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP yang mahu menambak laut di perairan Selatan, Pulau Pinang. Projek Tambak Selatan Pulau Pinang (Penang South Reclaimation - PSR) yang berkeluasan 4,500 ekar (dianggarkan seluas Johor Forest City) sangat dangkal kerana ia memberikan dampak buruk terhadap masyarakat dan alam sekitar.

Sekurang-kurangnya terdapat lima (5) sebab utama mengapa PSR ini wajib dibantah dan ditolak sekeras-kerasnya;

Pertama, PSR dijadikan sebagai bank tanah (land bank) untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang masih banyak dipertikaikan samada daripada aspek kos (RM46 bilion), keberkesanan dan kerelevanannya. Tambahan pula, banyak projek yang mahu dilaksanakan termasuk projek terowong bawah laut sepanjang 7.2km bukan satu keperluan mendesak dan terpalit dengan pelbagai isu integriti.

Kedua, PSR akan mengulangi kesan lebih dahsyat seperti yang pernah berlaku ke atas masyarakat nelayan di Tanjung Tokong dan Tanjung Bungah setelah projek tambakan pantai utara dilakukan untuk memberi laluan kepada projek Seri Tanjung Pinang 2 (STP2). PSR akan menjejaskan rezeki kira-kira 5,000 orang nelayan yang bergantung sepenuhnya kepada hasil laut untuk menyara kehidupan harian mereka.

Ketiga, PSR akan memusnahkan kehidupan laut terutamanya ikan. Sekiranya PSR ini diteruskan, maka jaminan bekalan ikan akan terjejas dan menyebabkan harganya akan melambung tinggi. Ia bukan isu mikro tapi melibatkan juga industri makanan mentah dan pemprosesan makanan serta pelancongan domestik. Tidak mustahil, usahawan kecil dan sederhana akan terus lumpuh.

Keempat, PSR dianggap sebagai usaha secara halus meminggirkan penempatan rakyat khususnya golongan bawahan. Dianggarkan sekitar 20% sahaja rumah mampu milik yang disediakan. Maka, siapakah pemilik sebenar majoriti 80% lagi? Tidak keterlaluan jika diandaikan penempatan di kawasan tambak laut tersebut akan dihuni oleh golongan kaya dan orang asing.

Kelima, PSR mengabaikan konsep pelestarian alam sekitar. Kawasan laut khususnya di sekitar Permatang Damar Laut dan Teluk Kumbar akan rosak dan menjejaskan eko pelancongan. Tambahan lagi, projek penambakan laut akan memusnahkan habitat haiwan laut terutama spesies terancam. PSR juga akan menyebabkan kerja-kerja pengorekan dasar laut dan juga perlombongan pasir hingga di negeri Perak.

Lima sebab utama mengapa rakyat mesti bantah projek penambakan laut di Selatan Pulau Pinang. PAS berharap agar rakyat dapat turun beramai-ramai dan membantah secara tegas dalam Himpunan Selamatkan Pulau Pinang pada 8 September (Ahad) ini di Padang Bola Permatang Damar Laut, Bayan Baru. Tunjukkan solidariti rakyat terhadap kerajaan yang sombong pimpinan DAP.

Sekian, terima kasih.

TUAN IBRAHIM BIN TUAN MAN ialah Timbalan Presiden PAS merangkap Ahli Parlimen Malaysia (Kubang Kerian)

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget