Walimatulurus Perdana, Inisiatif Terengganu Galak Anak Muda Tepati Syarak




KUALA TERENGGANU, 17 Ogos - Kerajaan negeri melaksanakan program Walimatulurus Perdana sebagai inisiatif bagi golongan muda agar dapat meneruskan proses semulajadi yang ditetapkan Allah SWT dengan mengikut syariat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, tiada lagi alasan buat anak muda untuk memilih jalan-jalan yang tidak menepati syarak dalam perhubungan.

"Memahami suasana ekonomi masa kini, kerajaan ambil inisiatif memudahkan serta meringankan beban yang ditanggung para belia untuk melangsungkan perkahwinan.



"Sepatutnya tiada alasan lagi bagi belia kita mengatakan sukar untuk berkahwin kerana kerajaan telah menyediakan segala-galanya," katanya ketika ditemui media dalam program Walimatulurus Perdana 2019 bagi peringkat Parlimen Kuala Terengganu di Masjid Al- Mukhtafi Billah Shah, hari ini.

Seramai 27 pasangan telah menyelesaikan acara akad nikah dan majlis resepsi mereka berlangsung di Stadium Negeri dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, YM Dato' Tengku Hassan Tengku Omar.

Wan Sukairi turut menyatakan keyakinan bahawa perkahwinan adalah salah satu penyelesaian kepada masalah sosial dikalangan rakyat terutama golongan belia disamping program-program lain.

"Selaras tema Maju, Berkat dan Sejahtera, kita harap belia dan beliawanis dapat bersama-sama kerajaan negeri menjadi negeri yang bebas dari gejala maksiat dan dengan itu rahmat Allah SWT akan datang kepada kita," katanya.

Dalam pada itu, Wakil Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu, Haslina Ismail memaklumkan, kerajaan negeri menaja dan memberikan pelbagai kelebihan kepada pasangan yang menyertai program berkenaan.

"Kerajaan menyediakan pelamin, cenderahati dan majlis resepsi dianggarkan berjumlah sekitar RM3,500 bagi setiap pasangan.

"Lebih menarik, jika ada pasangan yang berniaga kita sedia membantu melalui skim Pinjaman Jaya Diri daripada YPK," katanya.

Bagi majlis Walimatulurus Perdana tahun ini, seramai 1167 pasangan diraikan dalam majlis yang berlangsung serentak hari ini di seluruh kawasan parlimen negeri Terengganu.

Untuk rekod, selain Walimatulurus, kerajaan negeri turut mengemukakan insentif kelahiran bagi setiap anak yang lahir di negeri ini.
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget