NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Utusan: 'Maafkanlah kesalahan dahulu '


Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad (Utusan Melayu) Abd Aziz Sheikh Fadzir meminta orang ramai memaafkan akhbar itu atas apa yang disifatkannya sebagai "kesalahan dahulu".

Dalam wawancara yang disiarkan Mingguan Malaysia hari ini, Abd Aziz menyifatkan kemelut yang dihadapi akhbar bahasa Melayu tertua negara itu sebagai peluang kepada mereka untuk bangkit semula dan berharap orang ramai dapat menyokong usaha berkenaan.

"Kepada semua rakyat Malaysia maafkanlah kesalahan kami dahulu, berikanlah kami peluang untuk meneruskan agenda Utusan dengan terus menyokong dan membeli akhbar ini.

"Kita akan terus menjadi akhbar yang memperjuangkan bahasa Melayu, hak-hak orang Melayu dan rakyat Malaysia amnya berlandaskan perlembagaan bagi menjadikan Malaysia terus menjadi negara maju," katanya.
Iklan

Sehingga beberapa hari lalu, nasib Utusan Melayu - yang menerbitkan Utusan Malaysia dan Kosmo! - dilihat dalam keadaan tidak menentu akibat masalah kewangan.

Pada suatu ketika, beredar khabar yang menjangkakan operasi pengeluaran akhbar itu dalam versi cetak akan dihentikan.

Namun pada 20 Ogos lalu Utusan Melayu mengumumkan Utusan Malaysia dan Kosmo! itu akan terus dicetak dengan harga jualan naik 50 sen. Utusan Malaysia kini dijual pada harga RM2, manakala Kosmo! menjadi RM1.50.

Sebelum ini Utusan Melayu dilihat menjadi suara Umno dalam menyerang parti-parti pembangkang.

Baca Utusan perlu kembali jadi lidah rakyat, bukan lidah Umno

Namun ekoran kemenangan PH dalam PRU ke-14 pada Mei tahun lalu nasib syarikat itu merudum dengan ketara dan Umno sudah pun melepaskan kepentingan sahamnya dalam syarikat berkenaan.

Abd Aziz berpesan kepada warga Utusan Melayu agar berani menerima hakikat mereka sudah gagal, tetapi pada masa sama menganggap episod itu sebagai peluang untuk "bangkit dengan sikap baru" yang selari dengan perkembangan semasa.

"Rasailah denyut nadi rakyat bagi menjadikan kita terus relevan sampai bila-bila."

Mengulas lanjut, bekas anggota parlimen Kulim Bandar Baru itu mengakui pihak pengurusan memang menimbang kemungkinan untuk menghentikan cetakan dua akhar itu bagi mengurangkan kos operasi.

"...Kita melihat pelbagai opsyen demi masa depan syarikat. Opsyen-opsyen ini kita bincang dengan ketua-ketua jabatan bagi membuat keputusan terbaik untuk syarikat," katanya.

Menurut Abd Aziz, syarikat ada dua pilihan iaitu "mengaku kalah" dengan berhenti operasi dan mencairkan harta, atau meneruskan penerbitan "walaupun dalam keadaan serba kekurangan" sehingga masalah aliran tunai dapat diselesaikan.

"Kita akan berhadapan dalam keadaan begini agak lama, tak boleh selesai esok atau bulan depan," katanya lagi.

Pada 30 Jun 2019, kerugian terkumpul Utusan Melayu berjumlah RM261.61 juta.

Selain gagal membayar gaji kakitangannya, syarikat itu juga berdepan masalah menjelaskan pampasan peserta skim pemberhentian kerja sukarela (VSS) yang dibuat secara beransur-ansur sejak Disember tahun lalu.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo