NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tulisan ‘Jawi’ Bagi Bahasa Cina Dan Bahasa Tamil


oleh: Hasanuddin Yusof
Maktab Penyelidikan
Tamadun Alam Melayu dan Islam

Dua gambar yang saya lampirkan ini iaitu sebongkah batu nisan dan senaskah manuskrip terkandung tulisan seperti tulisan Arab. Namun kedua-duanya bukanlah catatan dalam bahasa Arab melainkan catatan dalam bahasa Cina (Hua Yi) dan bahasa Tamil.


Jika tulisan berasaskan tulisan Arab bagi bahasa Melayu dinamakan tulisan Jawi, tulisan berasaskan tulisan Arab bagi bahasa Cina pula dinamakan sebagai Xiao Er Jing dan tulisan bahasa Tamil pula dinamakan sebagai tulisan Arwi.



Manuskrip bertulisan Xiao Er Jing ini adalah tentang riwayat seorang ulama tarekat Naqsyabandiyah al-Jahriyah yang bernama Ma Ming Xing Wiqayatullah (wafat 1781) yang juga terkenal dengan gelaran Syeikh Ping Liang di Wilayah Gangsu, China. Ia menceritakan kisah dialog antara Syeikh Ping Liang dengan seorang sami Taoism. Manuskrip ini ditulis oleh Syeikh Mansur Ma Xue Zhi (wafat 1923).

Tulisan Xiao Er Jing digunakan secara meluas ketika zaman pemerintahan dinasti Ming iaitu ketika zaman institusi madrasah berkembang pesat di China. Ini bermakna orang-orang Hui di China pernah menjadikan tulisan Xiao Er Jing sebagai tulisan utama mereka.

Manakala batu nisan bertulisan Arwi ini terdapat di salah sebuah masjid yang tertua di Wilayah Tamil Nadu, India iaitu Masjid Jamek Kilakarai yang dibina sekitar tahun 630 Masihi. Tulisan Arwi yang bemula digunakan di selatan India dan Sri Lanka seawal abad ke-8 Masihi kemudiannya digunakan secara meluas hingga abad ke-19. Malah tulisan Arwi pernah menjadi tulisan penting di selatan India terutama sebelum era kedatangan Portugis.



Orang-orang di China dan India suatu ketika dahulu sudah biasa dengan tulisan-tulisan yang berasaskan tulisan Arab (Xiao Er Jing dan Arwi). Jadi kenapa pula sebahagian orang-orang Cina dan India di Malaysia merasa elergik dengan tulisan Jawi? Sedangkan tulisan Jawi dahulu adalah tulisan rasmi tanah air ini.



Sumber: https://www.facebook.com/hasan.yusof.5/posts/10211911847030255

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo