NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

‘Tak ada seorang pun mati di tangan Zakir Naik’




BANGI, 19 Zulhijjah 1440H, Isnin – Pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik bukan ancaman buat negara, sebaliknya beliau adalah pakar yang berhujah dengan ilmu perbandingan agama, kata Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh. 

Beliau berkata, pemimpin Malaysia khususnya pemimpin Islam wajar menerima baik kehadiran Dr Zakir Naik kerana ilmu dan kehebatannya berhujah berlandaskan fakta dan dalil.

Katanya, Presiden PAS sebelum ini telah menegur sebahagian pemimpin kerajaan dan mengingatkan orang Islam yang bertindak berlebih-lebihan menanam kebencian terhadap Dr Zakir Naik.

"Kita menyokong kenyataan Presiden PAS agar semua pihak tidak bertindak di luar batasan dan menganggap keberadaan Dr Zakir Naik sebagai pencetus kepada suasana tidak harmoni," katanya.

Justeru, Ustazah Nuridah yang juga Ahli Dewan Negara menggesa pemimpin kerajaan menarik-balik kenyataan-kenyataan berbaur sentimen negatif yang dilemparkan kepada Dr Zakir Naik.

"Selagi mana tidak ada seorang pun yang pernah mati di tangan Zakir, bererti beliau bukan satu ancaman besar yang mesti ditakuti oleh rakyat Malaysia terutama yang bukan Islam. 

"Sesungguhnya Islam datang membawa rahmat dan kesejahteraan kepada seluruh alam," katanya.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan melarang pendakwah terkenal itu daripada menyampaikan ceramah awam di seluruh negara.

Perkara itu disahkan Ketua Komunikasi Korporatnya, Datuk Asmawati Ahmad yang menyatakan ia dilakukan demi keselamatan negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir turut memaklumkan bahawa status penduduk tetap (PR) yang diberikan kepada pendakwah itu juga sedang dalam pemerhatian.

Dr Zakir kini sedang disiasat polis di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan.

Sumber:https://www.ismaweb.net/2019/08/20/tak-ada-seorang-pun-mati-di-tangan-zakir-naik/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo