NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Siapa lebih berkuasa Kementerian Pendidikan atau Dong Zong?


Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 18 Zulhijjah 1440H, Isnin – Berdasarkan sifir dan kronologi isu jawi, sudah boleh jangka UEC akan tetap diiktiraf walaupun menjejaskan sistem pendidikan nasional, kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) sebuah pertubuhan Islam dan Melayu, Haji Aminuddin Yahaya.

Beliau berkata demikian susulan kronologi pelaksanaan tulisan khat di sekolah vernakular yang semakin 'dilonggarkan' setiap kali dibincangkan oleh pihak berkuasa.

Terdahulu, jemaah menteri memutuskan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid Tahun 4 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) akan diteruskan mulai tahun depan.

Bagaimanapun, ia hanya dilakukan jika dipersetujui oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa dan murid SJK manakala di Sekolah Kebangsaan akan diteruskan seperti biasa.

Berikutan itu, Aminuddin yang juga Pengerusi UMMAH berkata, timbul keraguan samada tulisan khat akan diajar di sekolah vernakular ataupun tidak, kerana hakikatnya, PIBG turut dikawal oleh puak yang keras menentang pelaksanaannya.

"Rakyat melihat drama-drama penentangan yang begitu kuat daripada komuniti Cina dan India selepas dihasut oleh pihak-pihak seperti Dong Zong, agak-agaknya PIBG dikuasai oleh mereka akan bersetuju atau tidak?

"Saya rasa agak sukar untuk mereka bersetuju. Jadi akhirnya isu tulisan jawi akan jadi apa? Adakah hanya menjadi sandiwara?

"Jadi, bukankah ini satu usaha yang tak berfaedah, membuang masa dan wang kementerian? Maka timbul persoalannya di sini; siapakah yang lebih berkuasa sebenarnya? Kementerian atau Dong Zong?," soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kontroversi pelaksanaan tulisan khat dilihat lebih memihak kepada Persekutuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah-Sekolah Cina (Dong Zong), maka kini rakyat ingin melihat pula samada Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC)akan diiktiraf atau tidak.

Ini kerana, orang Melayu sudah lama menyatakan pendirian mereka iaitu tidak bersetuju tetapi Dong Zong bermati-matian memperjuangkannya, kata Aminuddin.

"Berdasarkan sifir dan kronologi isu jawi, maknanya kita boleh jangka bahawa UEC akan tetap diiktiraf walaupun akan menjejaskan sistem pendidikan nasional, bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan sebagainya.

"Jika UEC diiktiraf sebagai sistem alternatif untuk ke universiti awam, maka saya cadang agar kita tutup sahaja sekolah nasional ini dan kita masukkan semua pelajar ke sekolah vernakular. Sekurang-kuranya mereka belajar dan bergaul di bawah satu bumbung.

"Dalam konteks perpaduan kaum, saya tak nampak apa-apa kebaikan yang boleh dibawa oleh polisi dan sistem kita sekarang kerana rakyat akan lagi berpecah. Bersedialah untuk menghadapi UEC," katanya.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2019/08/19/siapa-lebih-berkuasa-kementerian-pendidikan-atau-dong-zong/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo