NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Respons Kula Terhadap Zakir Naik; Menteri Perlu Tarik Balik Pandangan Peribadi


oleh:YB Haji Ahmad Amzad bin Hashim
14 Ogos 2019/ 13 Zulhijjah 1440H

1. Saya merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh M Kula Segaran, Menteri Sumber Manusia pada 13 Ogos 2019 yang bertajuk “Zakir Naik’s Presence in Malaysia is embarrassing to all Malaysians”. Dalam surat tersebut, Kula telah menyatakan pandangan peribadinya agar tindakan perlu diambil terhadap kenyataan yang dikeluarkan Zakir Naik di program yang dianjurkan oleh kerajaan Negeri Kelantan dan isu tersebut kononnya akan dibawa ke mesyuarat Kabinet yang seterusnya.

2. Saya menyelar kenyataan yang dikeluarkan itu atas beberapa sebab. Pertamanya, ia jelas adalah pandangan peribadi kerana kenyataan itu dikeluarkan bukan atas kapasitinya atau tanggungjawabnya sebagai Menteri Sumber Manusia. Oleh itu, tidak wajar pendapat peribadi itu dikeluarkan di bawah kepala surat Menteri. Jika kenyataan yang dikeluarkan oleh Zakir Naik itu boleh mencetuskan ketidakstabilan dalam masyarakat, biarlah rakyat sendiri yang membuat laporan polis dan kenyataan itu boleh disiasat dengan sewajarnya. Kula tidak wajar menggunakan kedudukannya sebagai Menteri untuk mengeluarkan kenyataan politik bagi memenangi undi bangsa India.

3. Kedua, tindakan Kula yang lebih cepat melenting mengeluarkan kenyataan sebelum isu itu dibincangkan oleh Kabinet hanya memalukan dirinya dan melemahkan imej kerajaan. Hal ini kerana Perdana Menteri sendiri sudah beberapa kali menegaskan bahawa Zakir Naik tidak akan dihantar pulang ke India sebelum ini. Kula pula tanpa segan silu bersuara menyanggahi keputusan Perdana Menteri dalam keadaan isu itu masih belum dipertimbangkan semula oleh Jemaah Menteri.

4. Kula juga menyatakan bahawa Zakir Naik adalah pelarian yang tidak memahami sejarah Malaysia. Kenyataan ini sangat aneh kerana Kula sendiri pernah mengatakan bahawa bangsa Melayu adalah pendatang dan penduduk asal beragama Hindu. Kenyataan beliau telah dibidas oleh pakar sejarah kerana kenyataan berkaitan sejarah negara yang bersifat spekulasi dan faktanya yang lemah. Hal ini lebih membangkitkan kemarahan orang Melayu dan boleh melemahkan perpaduan kaum.

5. Kula juga jelas tidak memahami Perlembagaan Persekutuan dengan mengatakan bahawa undang-undang tertinggi Malaysia adalah undang-undang sekular. Walhal tiada peruntukan di dalam perlembagaan yang menyebut tentang sekular. Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan pula dengan jelas mengangkat Islam sebagai agama rasmi negara dan agama lain boleh melaksanakan ajaran mereka.

6. Sekiranya Kula dan barisan Menteri DAP yang lain ada harga diri, sila letak jawatan daripada berterusan menentang Kabinet yang dianggap membuat keputusan yang bercanggah dengan nilai dan prinsip DAP yang sememangnya tidak sesuai diamalkan di Malaysia. Dan jika benar Kula adalah rakyat Malaysia sejati, sekurang-kurangnya gunalah Bahasa Kebangsaan Malaysia iaitu Bahasa Melayu dalam kenyataan-kenyataan rasmi. Baru rakyat boleh menilai siapa pelarian dan siapa benar-benar rakyat Malaysia.

"Islam Memimpin Perpaduan"

YB Haji Ahmad Amzad bin Hashim ialah Ahli Parlimen Kuala Terengganu

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo