NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Reinkarnasi Komunisme Dan Pelencongan Sejarah Tanahair . (Siri 1)



Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Gegak gempita rakyat dengan pelbagai isu yang menekan kehidupan pasca PRU 14 turut mengheret kepada pelbagai isu komunal yang semakin menjarakkan keharmonian kaum. Negara ini sangat rapuh hubungan kaum, dengan sedikit kesilapan menggores perasaan antara kaum maka boleh meledak menjadi pergaduhan kaum. Antara perbalahan antara kaum dan agama yang pernah berlaku di tanahair ini, seperti pergaduhan kaum 14 hari pengosongan kuasa pasca kekalahan Jepun 1945, tragedi 13 Mei 1969, tragedi Kampong Rawa, perbalahan kampong Medan, dan lain-lain lagi.

Bulan Ogos dengan euforia keterujaan memperingati kemerdekaan tanahair, maka kelihatan satu usaha untuk mengangkat sejarah pejuang kemerdekaan. Segelintir daripada kalangan kelompok penguasa juga antara yang cuba-cuba berani untuk menukar naratif perjuangan kemerdekaan seperti usaha mengiktiraf perjuangan Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA). Elit penguasa berfikrah sosialis ini mahukan rakyat percaya bahawa MPAJA juga adalah pejuang Perang Dunia II, menentang penjajahan Negara matahari terbit selama tiga tahun lapan bulan di tanahair ini.

Sejarah perkembangan Partai Komunis Malaya di negara ini berkait rapat dengan perkembangan komunisme di luar negara seperti di Tanah Besar China (PKC ). Ideologi komunis disebarkan melalui kesatuan buruh, kesatuan sekerja serta melalui sekolah-sekolah persendirian Cina sehingga British memantau dengan ketat ketiga elemen yang disebutkan tadi.

Partai Komunis Malaya ditubuhkan pada tahun 1930 dengan mendapat bantuan dan pengarahan antarabangsa. Terdapat juga segelintir orang Melayu yang berjaya dikaderkan oleh mereka seperti Mokhtaruddin Lasso serta kader komunis Melayu yang datang ke Tanah Melayu untuk merekrut anak watan,namun mereka kurang berjaya . Masyarakat Cina di negara ini agak terdedah dengan pengaruh komunis kerana kemenangan PKC di Tanah Besar China menubuhkan kerajaan republik komunis serta era penjajahan Jepun yang menindas etnik ini.

Pembantaian Sook Ching adalah kemuncak pertembungan tajam tentera Jepun keatas masyarakat Cina. Sejarah etnik Cina di Tanah Melayu yang menentang Jepun disebabkan Jepun mula-mula menakluki Manchuria, bahagian Timur Laut China sebelum meletusnya Perang Dunia II sekitar tahun 1939. Etnik Cina yang sebahagian besar dilahirkan di Tanah Besar China mempunyai semangat patriotik yang tinggi,menurut Dr Cheah Boon Ken, generasi kedua migran Cina di Malaya mula berpartipasi dengan fahaman komunis.

Di Tanah Melayu, segelintir orang-orang Cina yg datang sebagai imigran ini ada yg telah kembali ke China utk bersama rakyat menentang Imperialis Jepun. Kekejaman tentera Jepun terhadap bangsa Cina dan Korea telah menjadi api yang membakar kemarahan etnik Cina di Malaya. Mereka juga telah bertindak, membentuk solidariti dengan menghantar bantuan kewangan untuk menentang imperialisme Jepun.

Kedatangan penjajah Jepun ke Tanah Melayu membuka pintu pembalasan dendam tentera Jepun kepada etnik Cina, ribuan yang mati dibunuh, disiksa, diperkosa. Di Tanah Melayu PKM telah membuka satu front perlawanan rakyat, militia awam atau dikenali pasukan bersenjata Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA). Kolaborasi PKM dengan British telah berlaku dalam era penindasan Jepun ini, termasuk bantuan risikan, juga sebahagian persenjataan MPAJA telah dibekalkan oleh British sebagai pasukan gerila.

Jepun telah menyerah kalah akibat ledakan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki pada tahun 1945, maka pemerintah tentera Jepun di Tanah Melayu juga telah menyerah kalah dengan acara penyerahan kuasa telah diadakan di perkarangan Victoria Institution Kuala Lumpur. Sebaik saja Jepun menyerah kalah, agen-agen komunis telah berpesta pora meraikan kemenangan, masa untuk membalas dendam terutama apa yang disifatkan sebagai talibarut Jepun. Anggota MPAJA, juga disebut anggota Bintang Tiga telah mengambil kesempatan dalam keadaan "vacum power" atau kekosongan kuasa di Malaya. Reaksi balas akhirnya berlaku dan menyebabkan pergaduhan kaum di Batu Pahat Johor, Sungai Manik Perak dan tempat-tempat lain di Malaya.

Situasi balas dendam, pertembungan kaum, mahkamah rakyat tanpa hak bela diri ini ini adalah gambaran kerakusan pejuang MPAJA atau bintang tiga apabila mendapat segenggam kuasa. Tempoh kekacauan massa ini berlaku Tanah Melayu selama 14 hari. Kegawatan ini kembali reda apabila Malayan British Army (MBA) kembali ke Tanah Melayu, mereka cuba membetulkan kondisi kekacauan awam. Tempoh untuk menenangkan orang Melayu seperti yang berlaku di Batu Pahat Johor akibat kebangkitan gerakan Selempang Merah (Gerakan Kiai Haji Salleh).

MBA mahukan supaya MPAJA dilucutkan senjata yang dibekalkan kepada mereka diera perlawanan dengan Jepun. Namun MPAJA enggan tunduk kepada British dengan hanya menyerahkan sedikit alatan peperangan dan merasakan agenda mereka untuk menegakkan republik komunis belum berakhir, sehinggalah PKM akhirnya menerima arahan komunis antarabangsa untuk melancarkan pemberontakan bersenjata pada tahun 1948. Apa yang berlaku antara 1948 sehingga 1960? siapakah Lai Teck.? Bagaimana Ong Boon Hwa atau Chin Peng menaiki takah kekuasaan dalam PKM?, siapa figura-figura Regimen kesepuluh?, bagaimana pengaruh komunisme mula memunculkan diri dengan pelencongan sejarah tanahair, ikuti siri-siri penulisan ini sepanjang ogos ini.

(Penulis ialah Pengerusi LESTARI, Pendakwah, Penulis 59 buah buku)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo