Politik Itu Akidah? Antara Teori Ilmu (Nazari) & Praktikal (Amali)


oleh: Al-Faqir Nik Bakri Nik Mat (Penulisan Peribadi)

"POLITIK ITU ADALAH AKIDAH, SYARIAT & AKHLAK SECARA AMALI"

1. Rasa terpanggil untuk menulis secara santai agar masyarakat tidak terkeliru dengan fitnah baru yang dibawa oleh sesetengah pihak yang berbicara dan berfikir atas dasar teori ilmu tanpa praktikal ilmu (amal) dalam bentuk dan realiti hidup dengan Islam Yang Tulin yang dibawa oleh para ulamak.

2. Sewajibnya Islam difahami secara konsep pewarisan daripada para ulamak pewaris Nabi SAW yang mana pemahaman Islam yang sahih mesti dilihat secara teori ilmu dan praktikal (amal) dalam seluruh lapangan hidup. Secara teori Islam dibahagikan kepada 3 perkara asas: Akidah, Syariat & Akhlak. Akan tetapi secara praktikal (amali) hidup dengan Islam mesti bergerak serentak tanpa terpisah antara ketiga-tiga asas tersebut.

3. Tadabbur ayat ini semoga diberi kefahaman yang benar tentang hidup dengan Islam dari sudut teori ilmu dan amal.

Firman Allah:

وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَىٰ ۗ وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksudnya:

"Dan Al-Quran menjadikan kalimah orang-orang kafir itulah yang rendah. dan kalimah Allah itulah yang Tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.
(Surah Taubah: 40)

4. Maksud kalimah Allah: Imam Ibnu Kathir mengatakan kalimah Allah bermaksud kalimah La ilaha illa Llah. Adapaun Imam At-Tobari mengatakan kalimah Allah bermaksud Din Allah (Islam). Di sini dapat difahami bahawa Islam yang yang terdiri daripada akidah, syariat dan akhlak itu disebut ‘kalimah’ dengan perkataan mufrad (singular). Bermakna Islam ini tidak terpisah dan berjuzuk-juzuk tanpa berkait satu sama lain.

5. Al-Marhum TGNA pernah menyebut bahawa Al-Quran tidak disusun mengikut bab-bab tertentu. Dalam satu surah al-Baqarah contohnya terdapat bicara berkaitan iman, ibadah, muamalat, nikah kahwin, ekonomi dan banyak lagi. Walau banyak perkara ianya disebut ‘Kalimah Allah’. (Bilangan mufrad atau tunggal) Kenapa? Maka beliau mengatakan: 
Ini kerana ajaran Islam yang terkandung dalam Al-Quran yang ribuan ayat itu hakikatnya satu sahaja tidak terpisah-pisah”. Ini menunjukkan bahawa seluruh perkara dalam agama baik atas sifat akidah, sifat syariat mahupun akhlak adalah satu sahaja.

PERTAMA: SETIAP PERKARA HENDAKLAH DIBAHAS ATAS KONSEP ISLAM
ISLAM DI ASASKAN ATAS KALIMAH TAUHID SECARA AMALI

1. Islam terbina di atas asas kalimah Allah atau kalimah Tauhid atau kalimah Syahadah iaitu kalimah La Ilaha illa Lah Muhammad Rasulullah. Dalam kalimah inilah terbit dan terhimpun akidah, syariat dan akhlak. Dengan kalimah ini seorang muslim melalui kehidupan mereka dalam beribadah, bermuamalah, berekonomi, bermasyarakat dan termasuklah ‘Berpolitik’.

2. Maka pada akidah itu ada syariat dan akhlak. Adapun pada syariat itu ada akhlak dan akidah. Juga pada akhlak itu ada akidah dan syariat. Itulah hakikat hidup dengan Islam secara amali atau secara praktikal. Tidak akan terpisah di antara satu dengan yang lain. Bersama politik itu adanya akidah syariat dan akhlak sama ada secara teori umumnya dan secara amali khususnya.

KEDUA: KESYUMULAN ISLAM SECARA AMALI TIDAK TERPISAH-PISAH ANTARA AKIDAH DAN SYARIAT MAUPUN AKHLAK

1. Semua meyakini bahawa Islam itu lengkap atau syumul dalam semua lapangan hidup. Ibadah, muamalah, jenayah, ekonomi dan juga politik. Sebagai contoh Ibadah walaupun ianya adalah syariat ianya tidak terpisah sama sekali dengan akidah dan akhlak. Begitulah juga berlaku kepada muamalah, jenayah dan lain-lain.

2. Maksudnya sebagai umat Islam hendaklah melihat kesyumulan Islam itu salah satu pada politik. Dengan kata lain politik itu sendiri berada dalam juzuk yang membuktikan kesyumulan Islam. Bilamana politik itu dari Islam dan Islam itu pula adalah ilmu dan amal secara jelasnya politik tidak terpisah dengan akidah atau iman. Kerana politik itu adalah amal yang beserta dengan iman. Atau Islam itu adalah akidah, syariat dan akhlak maka maka pada politik itu terdapat unsur akidah, syariat dan akhlak. Ini adalah bahasan secara amali dalam kehidupan umat Islam.

KETIGA: MEMAHAMI POLITIK DARI SUDUT KONSEP AT-THAWABIT & AL-MUTAGHAYYIRAT DALAM ISLAM

1. Islam bergerak dengan konsep at-thawabit dan al-mutaghayyirat. Maka begitu juga politik yang menjadi sebahagian daripada Islam tidak akan telepas daripada konsep tersebut.
2. Maka dalam politik terdapat perkara-perkara yang at-thawabit (tidak berubah) seperti mana yang disebut dengan istilah ‘dasar-dasar akidah perjuangan’. Dalam politik juga ada perkara al-mutaghayyirat (yang berubah) seperti strategi, tahaluf siasi dan lain-lain.

KEEMPAT: AKIDAH DALAM AL-QURAN DISEBUT IMAN

1. Perkataan akidah dalam Al-Quran disebut IMAN. Iman tidak terpisah daripada amal. Dengan sebab itu ‘Iman’ tanpa ‘Amal adalah tidak sempurna dan ‘Amal’ tanpa ‘Iman’ tidak diterima. Politik itu mesti bergerak dengan iman atau akidah sekiranya tidak bergerak dengan iman dan mengeluarkan politik dari batas iman atau batas akidah maka semua perkara berkait politik itu tidak diterima. Jika telah dikeluarkan politik daripada akidah dan hanya berkisar syariat sahaja persoalannya adakah syariat bergerak sendiri tanpa iman atau tanpa akidah?

2. Maka politik itu walaupun mungkin kita bersetuju ianya bukan dari usul akidah yang tiga seperti soal Uluhiyyah, Nubuwwah & Ghaibiyyat namun ianya masih dalam batas akidah secara amali dan akan juga dilihat sudut usul dan furu’ akidah.

KELIMA: POLITIK ADALAH AKIDAH ANTARA USUL DAN FURU’

1. Dalam perkara akidah terdapat usul dan furu’. Antara contoh isu furu’ ialah perbezaan ta’rif Qada’ dan Qadar di antara Imam Abu Hasan Asy’ari dengan Imam Abu Mansur Al-Maturidi. Contoh lain perbezaan pandangan antara ulamak sama ada ‘Iman’ adalah perkara yang boleh bertambah dan berkurang. Bilamana berkait dengan furu’ akidah ianya tidak membawa kepada kekufuran.

2. Maka terlalu salah faham dan amat sempit pemikiran apabila ada pihak mengaitkan bilamana politik itu dalam perkara usul akidah hanya atas satu alasan iaitu bertujuan untuk ‘takfir’ semata-mata. Politik adalah berkait dengan akidah secara amali atas tujuan untuk menjaga batas-batas politik agar tidak memisahkan politik dari soal dosa dan pahala, soal halal dan haram serta soal kemana berakhirnya setelah berpolitik adakah ke syurga atau ke neraka, berada dalam batas redha atau murka?

3. Bilamana dibahaskan politik adalah akidah secara amali dengan sendirinya dilihat dari sudut usul dan furu’ contohnya: Dasar dan prinsip politik sebagai contoh menegakkan Islam, mendaulatkan hukum-hukum syariah, menjadikan Al-Quran sebagai perlembagaan adalah usul akidah secara amali. Adapun perkara berkait dengan syarat menjadi pemimpin, tugas dan tanggungjawab pemimpin dan lain-lain itu adalah furu’ dan berkait dengan ijtihadiyah.

KEENAM: IMAN ATAU AKIDAH DAN AMAL TIDAK BERPISAH

Kaitan Iman atau akidah dengan seluruh kehidupan manusia sama ada dalam melaksanakan syariat atau dalam berakhlak dan segalanya begitu jelas disebut oleh Allah dan RasulNya. Di sini akan dibawa contoh yang mudah bahawa setiap lapangan hidup tidak terlepas dari iman atau akidah.

1. Apabila Allah memerintahkan agar beribadah dengan mendirikan solat Jumaat yang mana ianya termasuk dalam perkara syariat atau ibadah maka ayat tersebut dimulai dengan seruan atau akidah. Rujuk (Surah Al-Jumuah: 9)

2. Apabila Allah memerintahkan bersabar yang mana ianya termasuk dalam perkara akhlak maka ayat tersebut dimulai dengan seruan atau akidah. Rujuk (Surah Ali Imran: 200)

3. Apabila Allah memerintahkan agar mentaati Allah, Rasul dan pemimpin yang mana ianya termasuk dalam perkara politik maka ayat tersebut dimulai dengan seruan atau akidah. Rujuk (Surah An-Nisa’: 59)

4. Apabila Allah melarang agar tidak memilih orang-orang kafir sebagai pemimpin yang mana ianya termasuk dalam perkara pemerintahan atau politik maka ayat tersebut dimulai dengan seruan atau akidah. Rujuk (Surah An-Nisa’: 144)

5. Apabila Allah melarang agar tidak memakan harta secara batil yang mana ianya termasuk dalam perkara muamalat maka ayat tersebut dimulai dengan seruan atau akidah. Rujuk (Surah An-Nisa’: 29)

6. Apabila Allah melarang agar tidak memakan riba secara batil yang mana ianya termasuk dalam perkara ekonomi maka ayat tersebut dimulai dengan seruan atau akidah. Rujuk (Surah Ali Imran: 130)

7. Apabila Allah melarang agar tidak merendahkan orang yang lain yang mana ianya termasuk dalam perkara hidup bermasyarakat maka ayat tersebut dimulai dengan seruanatau akidah. Rujuk (Surah Al-Hujurat: 11)

8. Apabila Allah menyuruh agar menjadi pembantu atau pejuang agama Allah yang mana ianya termasuk dalam perkara hidup berjuang menegakkan agama maka ayat tersebut dimulai dengan seruan iman atau akidah. Rujuk (Surah As-Saf: 14)
Terdapat 89 ayat yang mana Allah memerintah dan melarang manusia dalam setiap lapangan hidup namun permulaan firman Allah itu dimulai dengan iman atau akidah.
Begitu juga Rasulullah SAW mengaitkan dengan perkara iman atau akidah walau sekalipun berbicara dalam soal hidup berjiran, memuliakan tetamu, mengasihi saudara seislam dan lain-lain.

KESIMPULAN
1. Inilah yang mesti difahami oleh setiap muslim yang beriman bahawa tidak ada satu perkara dalam Islam dari sekeil-kecil atau sebesar-besar perkara terasing dari akidah atau dikatakan ianya bukan akidah.

2. Maka atas tujuan apa sebenarnya dikatakan sesuatu itu bukan akidah atau bukan usul akidah kerana perbahasan usul akidah, furu’ akidah, syariat dan akhlak sudah maklum di sisi ilmuan-ilmuan Islam. Atau sememangnya ingin mengelirukan masyarakat awam atau bertujuan untuk memberi keuntungan kepada pihak tertentu antaranya golongan pendokong fahaman liberal yang sememangnya menjadi agenda mereka untuk memisahkan unsur-unsur akidah Islam dalam kehidupan.

3. Maka selaku umat Islam yang pernah memahami Islam pada perbahasan teori Ilmu semata-mata kerana Islam itu pada hakikatnya adalah ilmu dan amal yang tidak pernah terpisah antara akidah, syariat dan akhlak. Bahkan setiap saat, setiap keadaan, setiap tempat, setiap lapangan, apa yang kita lakukan, keputusan apa yang kita buat, dalam kumpulan mana kita berada, siapa yang menjadi rakan dan pakatan kita hari ini semua itu adalah berkait dengan iman dan akidah atau bahasa yang mudah semua itu adalah akidah. Kerana setiap yang dilalui oleh orang muslim dan mu’min tidak ada satu saat pun terlepas dan tidak berkait dengan Allah, Rasul, Al-Quran, Hari Akhirat dan lain-lain.

Inilah yang difahami daripada para alim ulamak pewaris Nabi SAW bahawa Islam itu adalah ‘ILMU & AMAL ATAU TEORI DAN PRAKTIKAL’.


Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget