NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Peranan ulama pra dan pasca merdeka



TIDAK lama lagi kita akan menyambut hari kemerdekaan negara. Ia adalah salah satu nikmat daripada jutaan nikmat Allah yang kita kecapi. Ramai pihak terbabit di dalam usaha memerdekakan negara ini daripada penjajahan. Ada yang dijulang serta dinobatkan dan ramai juga hero-hero negara yang tidak didendangkan. Semoga Allah membalas jasa mereka dengan balasan yang setimpal.

Bagi umat Islam, membebaskan negara daripada penjajahan adalah satu kefarduan. Ramai umat Islam terinspirasi untuk menghalau penjajah disebabkan bimbingan ulama. Ulama mengajar bahawa memerdekakan negara itu adalah kewajipan agama. Sayangkan negara itu adalah satu kewajipan.

Perjuangan golongan ulama dalam membebaskan negara daripada belenggu penjajahan mungkin tidak begitu didendangkan. Skrip sejarah yang ditulis oleh penjajah melabelkan mereka sebagai penderhaka dan pemberontak. Terbukti fakta sejarah menuturkan betapa ulama-ulama tanah air adalah golongan terpenting dalam meniupkan semangat jihad dan Perang Sabil sehingga masyarakat bangkit menentang penjajahan dan kezaliman.

Haji Mat Hassan bin Panglima Mat Munas atau sebagai Tok Janggut salah seorang tokoh ulama yang berjihad melawan penjajah di Kelantan. Campur tangan British di Kelantan bermula berikutan Perjanjian Bangkok pada 1909. Beliau syahid di dalam perjuangan suci ini.

Di Terengganu pula, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong adalah tokoh ulama yang terbabit secara langsung dalam gerakan menentang penjajahan British. Ini bermula apabila Penasihat British di Terengganu mengenakan pelbagai cukai yang membebankan rakyat. Hal ini menimbulkan perasaan tidak puas hati, seterusnya mencetuskan kebangkitan menentang British pada 1919. Akibatnya beliau dibuang negeri ke Mekah bagi meredakan penentangan terhadap British dan meninggal dunia di Mekah.

Di negeri Perak telah lahir ramai insan-insan hebat yang memartabatkan agama dan bangsa. Salah seorang daripadanya ialah Syeikh Abu Bakar Al-Baqir. Suara dan sikapnya yang lantang menuntut kemerdekaan sangat digeruni oleh pihak berkuasa, terutama penjajah British. Maka dilemparkanlah kepadanya tuduhan dan tomahan-tomahan. Ia juga dituduh sebagai parti "merah" (komunis). Peranan beliau dalam mempengaruhi pemikiran umat Islam di Malaya sesungguhnya amat ketara. Ketakutan pihak berkuasa British terhadap perkembangan cita-cita Islam dalam politik memuncak ketika pada 29 Julai 1948, jam 12 tengah hari apabila beliau ditangkap oleh British.

Peranan golongan ulama tetap relevan walaupun penjajah telah keluar daripada negara ini. Ini disebabkan penjajahan berlaku bukan sahaja dalam bentuk penjajahan ketenteraan bahkan ia juga berlaku dalam bentuk penjajahan pemikiran.

Tokoh ulama Kelantan tersohor iaitu Tok Kenali atau Haji Muhammad Yusof bin Ahmad adalah contoh ulama yang berusaha membebaskan umat daripada penjajahan pemikiran penjajah. Walaupun tidak terbabit secara langsung mengangkat senjata menentang penjajah British, sebagai Tok Guru beliau berjaya meniupkan semangat jihad dan perjuangan demi mempertahankan agama dan bangsa Melayu melalui aktiviti penulisan dalam majalah Pengasuh dan majalah al-Hikmah selain berjaya mendidik ramai tokoh ulama dan ilmuwan Islam yang bertebaran di seluruh tanah air.

Masyarakat masih memerlukan bimbingan dan nasihat ulama untuk memerdekakan pemikiran umat Islam daripada masih terkesan dengan pemikiran penjajah. Kesan penjajahan pemikiran adalah lebih dahsyat dan lebih kekal lama berbanding daripada penjajahan ketenteraan. Banyak negara umat Islam telah merdeka sejak sekian lama namun belum merdeka sepenuhnya dalam erti kata hanya mengabdikan diri kepada Allah kerana masih terikat dengan sistem sosial, ekonomi, perundangan tinggalan penjajah.

Para ulama yang jujur tidak akan jemu untuk menyeru kepada kemerdekaan sebenar seperti yang diungkap oleh Panglima Islam Rab'I bin 'Amir.

Al Tabari meriwayatkan apabila Rab'i bin 'Amir masuk ke balai pemerintahan Rustum, Panglima Parsi, Rustum bertanya: "Apa yang bawa kamu ke sini?" Rab'i menjawab: "Allah telah mengutus kami untuk mengeluarkan manusia dari penyembahan sesama manusia kepada penyembahan kepada Tuhan manusia, daripada kesempitan dunia kepada kelapangan akhirat, daripada kezaliman agama-agama lain kepada keadilan Islam."

Ulama yang jujur akan terus membimbing masyarakat dan menasihati pemerintah agar mendaulatkan Islam di dalam kehidupan walaupun kadang-kadang terpaksa membayar harga yang mahal. Golongan ini sangat takut menjadi golongan yang "mengilmiyyah" pembohongan dan pendustaan yang dilakukan oleh masyarakat dan pemerintah zamannya.

Ustaz Zamri Hashim ialah Timbalan Mufti Perak merangkap YDP Isma Ipoh

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo