NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kedah: Pemuda PAS bersolidariti awam bantah kilang haram

"Negeri Kedah ini seperti sudah tidak ada kerajaan. Sejak setahun yang lalu, saya dan ramai orang telah membuat aduan kepada banyak pihak termasuk polis dan bertemu Menteri Besar. Tetapi hingga hari ini kilang ini bebas beroperasi,"

SUNGAI PETANI: Dewan Pemuda PAS Malaysia telah bersolidariti bersama para penduduk dan NGO membantah kewujudan kilang haram yang beroperasi melupuskan sisa plastik di Taman Songket Indah, di sini sebentar tadi.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khairudin menegaskan, bantahan tersebut kerana ianya isu melibatkan keselamatan nyawa penduduk di mana wujud risiko dari kesan pencemaran udara operasi kilang itu.

"Ini bukan soal politik, tetapi kebimbangan terhadap nasib penduduk, kanak-kanak dan masa depan mereka. Ini bukan isu anak Melayu, bukan anak Cina, bukan anak India. Tapi ini mengenai kita menyedut udara yang sama," ujar beliau.

Malah peringatnya, isu ini tidak harus dipolitikkan, sebaliknya menuntut penyelesaian profesional iaitu melibatkan pakar-pakar di bidang teknologi berkaitan kerana ia banyak melibatkan prosedur dan pengendalian berkaitan.

Pun begitu, jurutera muda ini menyifatkan kewujudan kilang tersebut tidak wajar kerana sangat berdekatan radiusnya dari kediaman penduduk, selain ia sepatutnya tidak dibenarkan oleh pihak Jabatan Alam Sekitar.

Beliau turut menempelak pihak yang mempunyai kuasa kerana bersikap tidak bertanggungjawab yakni kerana mencari keuntungan sedikit tetapi rela membiarkan nyawa penduduk sekitar dalam keadaan terdedah risiko.

Ir Khairil turut menerima memorandum penduduk untuk dibawa kepada pihak kerajaan dan disuarakan di Parlimen yang disampaikan oleh Pengerusi Persatuan Tindakan Alam Sekitar Sungai Petani, Lydia Ong Kok Fooi.

Antara berucap pada himpunan itu adalah Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato' Taib Azamudden dan Pengerusi Skuad Badar, Ustaz Azhar Mohamad dan Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Nurul Amin Abdul Hamid.

Sementara itu, Lydia yang juga bekas Adun Berapit dan bekas Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang cukup kuat melahirkan kebimbangannya terhadap operasi kilang haram tersebut di mana bakal menyebabkan banyak risiko.

Beliau turut menampilkan beberapa penduduk dan anak-anak mereka yang mengalami kesan seperti kulit kemerahan, batuk-batuk, sakit mata dan gejala pernafasan lain di mana ia boleh menjadi lebih teruk bagi golongan tidak sihat.

"Negeri Kedah ini seperti sudah tidak ada kerajaan. Sejak setahun yang lalu, saya dan ramai orang telah membuat aduan kepada banyak pihak termasuk polis dan bertemu Menteri Besar. Tetapi hingga hari ini kilang ini bebas beroperasi," kesalinya.

Beliau turut menyatakan terdapat banyak kilang seperti ini diseluruh negeri Kedah dan tiada tindakan konkrit diambil untuk menanganinya, selain ia turut dilindungi oleh kumpulan gangster yang diupah pihak tertentu. - HARAKAHDAILY 16/8/2019

Sumber: http://www.harakahdaily.net.my/index.php/berita/12548-pemuda-pas-bersolidariti-awam-bantah-kilang-haram

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo