NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pembocor Rahsia Mesyuarat Kabinet Perlu Dicari Dan Dikenakan Tindakan


oleh: Dr Kamarul Yusof

Pandangan umum adalah mesyuarat kerajaan dan parti adalah bersifat rahsia yang isinya tidak boleh dibocorkan kepada mana-mana pihak luar melainkan melalui kenyataan rasmi.

Apatah lagi bila mesyuarat itu adalah mesyuarat tertinggi kerajaan yang memerintah, iaitu mesyuarat jemaah menteri, yang pastinya tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Bagaimanapun, pada pukul 8.55 malam semalam, seorang sumber, yang pastinya seorang menteri kabinet, membocorkan kepada akhbar The Star isi mesyuarat kabinet itu.

Kata sumber ini, terdapat banyak tentangan dari berbagai menteri dari semua parti ke atas tindakan Zakir melangkaui sempadan dengan melaga-lagakan rakyat Malaysia dengan rakyat Malaysia lain.

Kata sumber ini lagi, Perdana Menteri bersetuju untuk melakukan sesuatu mengenainya, beliau mengambil maklum mengenainya dan beliau akan membuat keputusan mengenainya dalam waktu terdekat.

Soal membocorkan isi mesyuarat kabinet adalah satu hal, soal ketepatan apa yang dibocorkan itu satu hal yang lain pula.

Pertamanya, benarkah tentangan ke atas Zakir dalam mesyuarat kabinet semalam disuarakan oleh "berbagai menteri dari semua parti"?

Apabila dikatakan "semua parti" maka pastilah ia melibatkan menteri-menteri dari PKR, DAP, AMANAH, BERSATU dan WARISAN yang ada dalam kabinet.

Menteri yang mengaku menyuarakannya hanyalah Menteri Komunikasi dan Multimedia dan Menteri Sumber Manusia dari DAP, Gobind Singh Deo dan M Kula Segaran, serta Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli dari PKR, Dr Xavier Jayakumar.

Berdasarkan ini, maka tidak betullah bahawa tentangan ke atas Zakir dalam mesyuarat kabinet semalam disuarakan oleh "semua parti" kerana parti yang menyuarakannya hanya DAP dan PKR.

Keduanya, benarkah Perdana Menteri bersetuju untuk melakukan sesuatu mengenai tentangan ke atas Zakir ini?

Dalam kenyataan yang mereka keluarkan pada pukul 1:54 tengahari semalam, Gobind Singh Deo dan M Kula Segaran menyatakan mereka menegaskan dalam mesyuarat kabinet itu bahawa Zakir tidak lagi boleh dibenarkan tinggal di Malaysia dan bahawa Perdana Menteri mengambil maklum mengenainya tetapi mereka menyerahkan kepada beliau untuk membuat keputusan mengenainya dalam waktu terdekat.

Dalam kenyataan yang beliau keluarkan pada pukul 2:33 petang semalam pula, Dr Xavier Jayakumar menyatakan beliau juga turut menegaskan dalam mesyuarat kabinet itu bahawa Zakir tidak lagi boleh dibenarkan tinggal di Malaysia dan bahawa Perdana Menteri mengambil maklum mengenainya dan akan mengambil kira pendirian itu dalam proses pembuatan keputusan beliau.

Berdasarkan ini, maka tidak tepatlah bahawa Perdana Menteri bersetuju untuk melakukan sesuatu mengenai tentangan ke atas Zakir ini kerana ketiga-tiga menteri ini hanya menyebut Perdana Menteri mengambil maklum mengenainya tetapi budi bicara untuk membuat keputusan adalah terserah kepada beliau.

Pada hemat saya, tindakan membocorkan isi mesyuarat kabinet, apatah lagi isi yang tidak betul dan tidak tepat, kepada pihak luar, apatah lagi kepada media, adalah satu perbuatan yang bercanggah dengan sumpah kerahsiaan menteri.

Pada hemat saya juga, pembocoran isi mesyuarat kabinet ini juga mempunyai motif tertentu untuk mempengaruhi orang ramai supaya menyokong penghalauan Zakir dengan memberi persepsi bahawa "semua parti" malah Perdana Menteri sendiri sudah dan akan bersetuju dengannya.

Oleh itu, sangatlah elok jika pembocor isi mesyuarat kabinet ini dapat segera dikenal pasti dan dikenakan tindakan keras bagi menjaga maruah dan integriti jemaah menteri.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo