Nur Islam di bumi Xinjiang


SEPERTI yang kita ketahui, salah satu teori sejarah kedatangan Islam ke Nusantara pada abad ke-7 atau ke-8 antaranya adalah dari China.

Perkembangan Islam di China juga mempunyai catatan sejarah yang panjang hingga kini. Islam telah bertapak dengan mantap di China.

China mempunyai populasi Muslim yang minoriti iaitu seramai 23 juta orang.

Mereka terdiri daripada etnik Hui, Uyghur, Kazakh, Dongxiang, Kirgiz, Salar, Tajik, Baoan, Uzbek dan Tatar.

Meskipun demikian, bilangan masjid di negara itu begitu banyak. Mereka mempunyai 35,000 buah masjid, 57,000 orang imam, 720 buah pertubuhan Islam dan 10 institut Islam.

Pada penghujung kurun ke-9 dan awal kurun ke-10, Islam telah diperkenalkan ke Xinjiang. Xinjiang ialah wilayah terbesar di China.

Pada kurun ke-16 menyaksikan Islam menjadi agama yang dominan di Xinjiang. Lebih 58 peratus penduduknya beragama Islam iaitu seramai 12.7 juta orang. Selebihnya, terdapat juga penganut agama lain iaitu Buddha, Tao dan Kristian.

Di Xinjiang, terdapat dua bandar utama iaitu Urumqi dan Kashgar. Kedua-dua bandar itu merupakan bandar bersejarah yang masih kaya dengan budaya tradisional dan warisan seni bina. Antaranya ialah bangunan masjid dan pasar besar atau grand bazar.

Wilayah yang berstatus autonomi itu bersempadan dengan beberapa negara seperti Afghanistan, Kazakhstan, Tajikistan dan Pakistan.

Oleh sebab itu, wilayah Xinjiang dihuni oleh pelbagai etnik khususnya Uyghur dan Kazakh. Masyarakat Xinjiang sangat memelihara budaya, tradisi dan adat resam warisan etnik dan bangsa.

Ia direalisasikan dalam bidang seni bina, kraf tangan, muzik tradisional, tekstil dan pelbagai jenis makanan yang lazat serta pelbagai cita rasa.

Selain itu, terdapat institusi Islam yang disediakan oleh pihak kerajaan bagi melatih para imam iaitu terletak di bandar Urumqi. Bakal imam akan diberi latihan dalam bahasa dan tulisan Uyghur, di samping bahasa Arab.


PIHAK kerajaan di China menyediakan institusi Islam untuk melatih para imam di bandar Urumqi, Xinjiang.
Bukan itu sahaja, warisan seni bina Islam pengaruh Asia Tengah masih terpelihara dan tersergam indah di lokasi-lokasi bersejarah khususnya di tengah-tengah bandar Urumqi dan Kashgar.

Tulisan Uyghur kekal dipelihara sebagai tulisan rasmi wilayah berkenaan dan digunakan secara meluas di samping tulisan Cina. Ia terpapar megah di mana-mana sahaja termasuk papan tanda jalan, bangunan, iklan-iklan di premis perniagaan.

Pertahan warisan
Dalam konteks negara kita, Malaysia, penting untuk sama-sama mempertahankan dan memelihara tulisan jawi sebagai suatu warisan umat Melayu Islam di Malaysia. Pelbagai pihak perlu mengambil insiatif yang berkesan demi untuk mempertahankan tulisan jawi di negara ini.

Malah pada masa kini, kemahiran menulis dan membaca jawi bukan sahaja dikuasai oleh etnik Melayu sahaja, bahkan ia turut diminati dan dikuasai oleh etnik dan agama selain Melayu Islam.

Sebagai contoh, pada tahun lepas, terdapat pelajar bukan Islam di Kuala Nerus, Terengganu yang bernama Por Hui Ling telah melakar keputusan yang cemerlang. Beliau mendapat 8A dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (Kelas al-Quran dan Fardu Ain).

Keunikan masyarakat Xinjiang juga dilihat dari aspek hubungan rapat antara etnik-etnik Uyghur, Kazakh, Han, Hui dan lain-lain yang mempunyai jalinan hidup yang utuh dan bermasyarakat.

Mereka saling membantu antara satu sama lain. Sejak tadika, mereka diperkenalkan dengan konsep silang budaya dan pengukuhan institusi masyarakat melalui aktiviti-aktiviti yang disediakan di pusat-pusat komuniti setempat.

Di sana, disediakan program berbentuk kebajikan, sumbangan makanan dan keperluan asas harian serta khidmat kesihatan dan kaunseling. Konsep sumbangan makanan yang disediakan hampir sama dengan konsep food bank yang sedang semakin popular di Malaysia.

Warga komuniti yang bermurah hati akan menyumbang barang-barang makanan dan pakaian yang diletakkan di bilik khas yang disediakan di pusat-pusat komuniti. Keprihatinan masyarakat setempat itu telah banyak membantu memudahkan perjalanan kehidupan golongan minoriti Muslim di negara China.

Keunikan hidup masyarakat Islam di Xinjiang mampu menjadi sumber inspirasi kepada kita rakyat Malaysia tentang betapa hebatnya golongan minoriti Muslim hidup dengan aman dan harmoni di sebuah negara yang mempunyai majoriti bukan Islam seperti China.

Namun, atas kebijaksanaan dalam bermuamalah dan bersosial, maka semua pihak dapat mengecapi kehidupan yang aman dan sentosa.

Semoga Islam yang diamalkan oleh masyarakat Islam di China meninggalkan suatu kesan positif kepada masyarakat China keseluruhannya sesuai dengan konsep dan makna Islam yang membawa rahmat buat semua.

***Datuk Mohamad Nordin Ibrahim merupakan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget