NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Neelofa tawar bantuan cari kerja untuk staf Utusan


PETALING JAYA: Usahawan selebriti Noor Neelofa Mohd Noor terkejut dengan laporan yang mengatakan Utusan Melayu Berhad akan ditutup dan menawarkan bantuan mencari pekerjaan kepada kakitangan yang terlibat.

Beliau berkata Utusan banyak membantu kariernya sejak awal pembabitan awalnya dalam industri hiburan.

"Jadi, saya mahu membalas jasa dan berharap dapat bantu mereka yang memerlukan.

"Kalau korang kenal sesiapa dari HR (sumber manusia) atau mana-mana syarikat yang mencari pekerja, tinggalkan maklumat lanjut di ruangan komen," tulisnya di Facebook.

Katanya, beliau berharap dengan kerjasama semua pihak, pekerja Utusan dapat dibantu untuk mendapatkan pekerjaan secepat mungkin.

Selain kakitangan Utusan, Neelofa juga memberi peluang kepada mana-mana individu yang sedang mencari pekerjaan mengikuti komen pada kiriman Facebooknya.

Semalam dilaporkan hampir 100 pekerja Utusan mengadakan demonstrasi di luar ibu pejabat syarikat itu bagi menuntut tunggakan gaji selama 3 bulan.

Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Mohd Taufik Razak berkata dalam mesyuarat dengan pihak pengurusan Utusan di Kementerian Sumber Manusia hari ini, Pengerusi Eksekutifnya, Abd Aziz Sheikh Fadzir memaklumkan syarikat itu mungkin ditutup dalam masa beberapa minggu.

"Mereka buat keputusan Utusan memang tidak ada duit bayar gaji untuk yang tertunggak dan pada masa-masa akan datang," kata Taufik.

Sebelum ini, 769 pekerja Utusan dilaporkan hidup dalam kesukaran sehingga ada yang terpaksa meminjam wang daripada Ah Long dan menggadaikan harta.







No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo