NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Muafakat Nasional mesti bela Islam, Melayu dan Bumiputera


BANGI, 24 Zulhijjah 1440H, Ahad – Piagam Muafakat Nasional yang bakal diwujudkan mestilah berteraskan perpaduan ummah yang tidak hanya terbatas kepada parti politik, tetapi semua pihak demi membela agama Islam serta Bumiputera termasuk pribumi Sabah dan Sarawak.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Haji Aminuddin Yahaya berkata, permuafakatan itu mesti mendukung serta mempertahankan kedudukan agama Islam, orang Melayu dan Bumiputera sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Ini penting bagi menjamin kelestarian semua kaum dengan memastikan jurang ekonomi, pendidikan dan sosial antara kaum dihapuskan.

"Demi mencapai tujuan itu, Muafakat Nasional mesti mempunyai beberapa unsur penting yakni kesungguhan, keunggulan integriti, intelektualiti dan spiritualiti serta memegang kepada prinsip kemakmuran bersama.

"Kesejahteraan rakyat mestilah menjadi agenda utama dengan mengenepikan kepentingan peribadi," kata beliau merujuk kepada piagam dan memorandum persefahaman (MoU) UMNO dan PAS yang akan diadakan pada 14 September depan.

Mengulas lanjut, Haji Aminuddin yang juga Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) berkata, premis untuk melahirkan rancangan pembangunan masyarakat yang bahagia di dunia dan akhirat mestilah merangkumi perkara-perkara yang berikut:

1. Mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu sebagai payung agama dan negara;

2. Memperkasakan sistem pendidikan yang berteraskan agama Islam, integrasi kaum dan nilai budaya nasional;

3. Meletakkan asas akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah sebagai teras agama madani negara;

4. Membangunkan ekonomi mengikut agihan demografi dan keperluan asas negara;

5. Membentuk dasar sosial yang berlandaskan keharmonian dan kesejahteraan bersandarkan kepada syariat dengan merujuk kepada rukun negara; kesopanan dan kesusilaan;

6. Membabitkan peranan NGO-NGO dan tokoh-tokoh masyarakat dalam pentadbiran dan pembuatan polisi-polisi utama negara;

7. Memartabatkan institusi ulama' sebagai satu cabang kekuatan bagi mengimbangi sistem pentadbiran negara;

"Berdasarkan premis itu, setiap individu yang menjadi pemimpin yang dipilih di semua peringkat wajib mempunyai tahap integriti, intelektualiti dan spiritualiti yang tinggi serta berwawasan jauh," kata Haji Aminuddin.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo