NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ulasan Buku | Menuju Malaya Baru (Ahmad Azzam, 1956)


šŸ“š ULASAN BUKU šŸ“š
šŸ“– Siri 0⃣3⃣

oleh: Fadhil Ghani
Institut al-Balaghul Mubin
1 Zulhijjah 1440H / 2 Ogos 2019

Facebook: https://www.facebook.com/mohdfadlighani
Telegram: https://t.me/drmohdfadlighani

PERJUANGAN menuntut kemerdekaan dan membentuk negara baru yang bebas adalah aspirasi terbesar orang Melayu, terutama selepas Perang Dunia Kedua. Bangsa Melayu dahulunya adalah sebuah bangsa yang memiliki tamadun yang besar sebelum dijajah oleh barat mulai 1511. Empayar Melayu seperti Funan, Champa, Langkasuka, Sriwijaya, Majapahit, Melaka dan Aceh adalah antara bukti bahawa bumi Nusantara adalah milik bangsa Melayu dan orang Melayu pernah menjadi kuasa politik yang sangat berpengaruh di tenggara Asia. Setelah dijajah lebih 400 tahun, Alam Melayu telah dipecah-pecahkan oleh kuasa-kuasa penjajah barat sehingga ia menjadi lemah. Selepas Perang Dunia Kedua, bangsa Melayu telah bangkit menuntut kemerdekaan sehingga memunculkan beberapa buah negara baru seperti Indonesia, Filipina dan Persekutuan Tanah Melayu (PTM). Dalam proses menuntut kemerdekaan inilah, British berusaha menukar PTM menjadi sebuah Malaya yang baru, yang bukan lagi milik orang Melayu. Oleh sebab itu, orang Melayu di semenanjung ini berjuang dengan begitu gigih dalam mempertahankan hak mereka.

Dalam mengungkapkan perjuangan inilah, Ahmad Azzam Hanapiah, seorang tokoh politik Islam berketurunan Banjar dari Perak telah menuliskan beberapa sisi penting tentang perjuangan bangsa Melayu untuk mempertahankan hak-hak mereka. Sebahagian besar isu-isu politik semasa hari ini berkait penyatuan bangsa Melayu Islam, kerakusan politik orang Cina dan mencipta "Malaysia Baru" mempunyai asal mula daripada persaingan, rebutan dan tuntutan bangsa pendatang, Cina ke atas hak-hak orang Melayu sebagai tuan punya negeri. Oleh sebab rencana jahat yang disusun oleh British bagi melemahkan bangsa Melayu Islam dan kelemahan pemimpin Melayu Umno dalam menghadapi tuntutan orang Cina pada kala itu, orang Melayu keseluruhannya seperti sedang menggali kubur sendiri. Untuk memahami keseluruhan konflik tentang "Malaysia Baru" ini, buku "Menuju Malaya Baru" telah menjelaskan kerangka sebenar konflik ini menjelang kemerdekaan.

Ahmad Azzam Hanapiah (m. 2008), yang berasal dari Perak pada asalnya adalah pemimpin Persatuan Anak-anak Kalimantan Malaya, sebelum beliau aktif dalam gerakan politik Melayu melalui Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Hizbul Muslimin. Beliau jugak aktif menulis risalah-risalah perjuangan termasuklah buku Kenapa Kita Berjuang (1955). Pada 1954, beliau menyertai PAS dan pernah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Pesuruhjaya PAS Terengganu dan Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS. Nama beliau terkenal kerana menjadi watak utama dalam krisis politik Terengganu pada 1961 yang membawa kepada kejatuhan Kerajaan PAS Terengganu pada 30 Oktober 1961. Bekas ADUN Jeram merangkap anggota Exco Kerajaan Terengganu ini pada akhir hayatnya aktif dalam Persatuan Ulamak Malaysia (PUM). Beliau meninggal dunia di Jalan Teluk Gadung Kecil, Kelang pada 31 Julai 2008. Balunya, Ustazah Zabidah Ali adalah bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat yang pertama.

Menuju Malaya Baru (Pustaka Semenanjung, Bukit Mertajam) telah dicetak pertama kali pada 1956 oleh The United Press, Pulau Pinang setebal 108 muka surat. Secara umumnya, buku ini membahaskan perubahan-perubahan politik yang berlaku dalam proses menuntut kemerdekaan, terutama perkara yang menjadi punca kelemahan bangsa Melayu hari ini. Beliau menyentuh soal kesan Pilihan Raya 1955 dan Persidangan London ke atas masa depan politik Melayu. Isu-isu kritikal seperti peranan kaum liberal dan pemodal di Malaya, tekanan komunis Bintang Tiga, kedudukan Pulau Pinang dan Melaka, peranan Suruhanjaya Reid, konsep rupa bangsa Melayu, hak-hak istimewa orang Melayu, tuntutan-tuntutan orang Melayu dan Cina kepada Suruhanjaya Reid, soal kerakyatan jus soli dan lain-lain. Seluruh proses ini dianggap oleh beliau bertujuan untuk melemahkan orang Melayu dan membawa PTM menuju Malaya Baru.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo