Mengembalikan populariti jawi



oleh: ZAINUL RIJAL ABU BAKAR

BARU-baru ini heboh seluruh negara mengenai tulisan jawi sama ada diajar dalam bentuk khat di sekolah-sekolah ataupun penggunaannya dalam kehidupan seharian di Malaysia.

Mungkin ramai yang tidak tahu sebenarnya orang Melayu mempunyai tulisannya sendiri sebelum pengaruh luar negara datang. Tulisan Melayu dahulu dikenali sebagai tulisan rencong. Tulisan ini berhuruf serong. Selain itu terdapat juga beberapa tulisan lain seperti tulisan kawi dan pallava. Namun kesemua tulisan ini tidak lagi dikuasai oleh orang Melayu dan boleh dikatakan hampir pupus.

Kedatangan Islam membawa pengaruh tulisan Melayu ditulis di dalam huruf jawi arab dengan beberapa penambahan seperti huruf cha dan nga yang tiada di dalam huruf Arab. Pengaruh Inggeris pula mempopularkan tulisan rumi berbanding tulisan jawi. Sehingga kini tulisan rumi lebih dikuasai di Malaysia berbanding tulisan jawi walaupun jawi masih digunakan lagi.

Tulisan jawi sudah disemai sebati dalam jiwa orang Melayu. Ia hanyalah alat kepada perantaraan Bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan kita. Ia tiada kaitan dengan agama ataupun sasaran dakwah golongan tertentu.

Saya melihat golongan yang mengatakan tulisan jawi akan menyebabkan proses pengislaman seseorang adalah sangat dangkal kerana Bahasa Melayu yang suatu ketika dahulu menjadi lingua franca di Nusantara dan ditulis dengan huruf jawi masih terdapat orang bukan Islam yang dapat menguasai Bahasa Melayu. Ia tiada kena mengena dengan proses Islamisasi.

Sebagai lingua franca di Nusantara suatu ketika dahulu yang menggunakan tulisan jawi, tulisan jawi menjadi graha ilmu, perdagangan, komunikasi antarabangsa dan pentadbiran. Tulisan jawi juga menjadi swadaya dan jati diri masyarakat Nusantara ketika itu. Mereka masih menjadi orang Melayu walaupun telah beragama Islam. Tidak sesekali mereka mengaku menjadi orang Arab.

Ada juga golongan yang pergi lebih jauh lagi menolak jawi kerana proses Arabisasi. Orang Melayu hendaklah meninggalkan kultur Arab dengan menggunakan tulisan jawi, berjubah, berserban dan sebagainya. Saya tidak berhasrat mengulas tentang isu jubah dan serban kerana terdapat banyak hadiisyang menyatakan ia Sunnah Rasulullah SAW. Tetapi jika kita mahu menolak tulis jawi kerana proses Arabisasi yang tidak berpasak dari tanah watan kita, kita harus juga menolak tulisan rumi yang juga tidak datang dari alam Melayu. Ia sudah nyata diimport semasa kedatangan penjajah. Dengan penolakan kedua-dua bentuk tulisan ini kita hanya boleh berpaling kepada tulisan rencong, kawi atau pallava.

Tulisan-tulisan tersebut pula langsung tidak dikuasai rakyat dan memerlukan kos dan masa yang panjang bagi memperkenalkan semula tulisan tersebut. Saya percaya pendekatan ini walaupun disenangi para sejarawan tetapi tidak praktikal dilakukan.

Dalam keadaan sebegini saya percaya seharusnya kedua-dua tulisan rumi dan jawi dimartabatkan. Peluang setara perlu diberikan kepada rakyat Malaysia untuk mendapat kemahiran menulis dalam kedua bentuk tulisan ini. Menyahkan salah satu bentuk tulisan ini akan hanya mendatangkan kegusaran dan ketidakpuasan hati golongan tertentu kerana kedua-dua bentuk tulisan ini telah digunapakai sejak sekian lama.

Bezanya ialah tulisan jawi makin lama makin dilupai dan jika hal ini tidak diperbetulkan dari sekarang tidak mustahil tulisan jawi dalam Bahasa Melayu juga akan mengalami nasib yang sama seperti tulis rencong, kawi dan pallava.

Kekhuatiran ini mempunyai asas yang kuat. Disebabkan itulah tulisan jawi ini perlu dipopularkan kembali agar ia tidak hanya tinggal di muzium kelak.

Ada juga kalangan yang mengatakan penggunaan tulisan jawi melanggar Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan skrip yang diiktiraf di dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963 adalah tulis rumi. Memang benar seksyen 9 Akta tersebut menyebut tulisan di dalam Bahasa Melayu adalah tulisan rumi tetapi seksyen yang sama menyatakan dengan jelas tidaklah dilarang penggunaan tulisan jawi bagi bahasa Melayu. Oleh itu isu melanggar perlembagaan ini hanyalah mainan politik golongan yang ingkar sahaja.

Mengembalikan populariti tulisan jawi sangatlah perlu dilakukan ketika ini. Malangnya saya melihat kedudukan tulisan jawi ini sangatlah diabaikan melainkan di beberapa buah negeri dan pihak berkuasa tempatan sahaja. Yang peliknya tulisan lain dalam bahasa lain dipromosi dengan bebas tanpa sekatan tetapi tulisan jawi ditentang penggunaannya.

Hidupkan kembali tulisan jawi di samping sebarkan penggunaan tulisan rumi.

Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah  Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.

Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget