NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Membina negara bersama


oleh:ZAINUL RIJAL ABU BAKAR | | 18 Ogos 2019

ENAM puluh dua tahun lepas Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj mengisytiharkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Ia adalah tempoh yang singkat berbanding dengan empat ratus empat puluh enam tahun negara ditadbir kuasa asing.

Tentulah di dalam tempoh yang begitu lama kesan penjajahan itu agak sukar untuk dihapuskan.

Namun itu bukanlah alasan untuk tidak meloloskan diri kita daripada minda orang asing.

Kemajuan negara berbanding zaman pra-merdeka amatlah ketara. Untuk itu sekalung tahniah diucapkan kepada setiap rakyat Malaysia yang tidak putus-putus berusaha membangunkan negara, begitu juga pihak kerajaan yang memacu kemajuan negara sehingga disegani di setiap pelosok dunia.

Namun dalam kita menikmati kebebasan ini ada beberapa aspek yang mana kita masih terus 'dijajah'.

Sejak kebelakangan ini aspek pembinaan negara antara masyarakat semakin hari bagai diruntuhkan.

Mungkin pendekatan penjajah dahulu melalui sistem divide and rule diamalkan oleh beberapa golongan tertentu.

Acapkali kita lihat apabila berlaku sesuatu isu yang melibatkan kaum (walaupun ia sebenarnya bukan isu perkauman) masyarakat begitu marah.

Bukan sahaja golongan minoriti yang tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara malah golongan majoriti juga sering berasa dipinggirkan dan tidak mendapat keadilan.

Sesuatu perlu dilakukan pihak berkuasa bagi meredakan keadaan ini. Pihak berkuasa tidak boleh memikirkan peti undi semata-mata dalam membuat apa-apa tindakan.

Leluhur kita sudah membina negara dengan semangat toleransi yang tinggi dan inilah yang perlu dipertahankan.

Tindakan perlu diambil kepada sesiapa sahaja yang cuba menggugat semangat ini ataupun membelakangkan falsafah pembinaan negara serta sejarahnya.

Fahami sejarah

Malaysia begitu unik dan tidak sama dengan mana-mana negara yang lain di dunia.

Namun, hari ini keunikan itulah yang diperkotak-katik banyak pihak kerana mereka tidak memahami sejarah.

Malah ada juga yang mahu menulis kembali sejarah dengan mengambil kira perspektif mereka sendiri yang tersasar daripada fakta sebenar.

Sempena bulan kemerdekaan ini, marilah bersama-sama kita merenung kembali sejarah negara.

Kita perlu menoleh ke belakang melihat sejarah silam bagi melihat ke hadapan untuk membina kecemerlangan.

Tiada gunanya kita cemerlang jika jati diri anak bangsa kita sendiri sudah tiada.

Tiada manfaatnya kita mengimport nilai-nilai luar yang dikatakan baik itu sedangkan kita meminggir nilai tempatan yang sudah sebati dengan jiwa dan raga kita.

Tiada eloknya juga kita berkiblat ke luar negara sedangkan panduannya ada pada diri kita sendiri.

Malah tiada kebaikan jika kita mahu membina kekuatan bersumberkan padangan luar dalam masa yang sama kita menghancurkan swadaya watan.

Kita mesti membina negara atas aspirasi kita sendiri bukan melalui kacukan luaran.

Sesungguhnya mengisi kemerdekaan itu lebih sukar daripada mendapatkannya.

Tanggungjawab dan peranan kita sebagai warganegara untuk membawa negara ke mercu kecemerlangan di samping tidak meminggirkan nilai, sejarah dan jati diri yang sudah sebati itu.

Memang benar dalam sebuah negara berbilang bangsa dan agama kita tidak dapat lari daripada perselisihan faham tetapi menguruskan perselisihan faham itu sangat penting dan perlu diberikan perhatian.

Tiada kompromi kepada mereka yang sengaja mahu mencetuskan pergaduhan kaum.

Golongan majoriti hendaklah menghormati hak yang sah diberikan kepada golongan minoriti manakala golongan minoriti juga perlu menghormati golongan majoriti yang merupakan golongan utama dalam negara.

Perbezaan keistimewaan diberikan kepada golongan tertentu adalah sah di sisi undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan. Jangan dipertikai keabsahannya kerana sekali ia dipertikai, beribu kali perkara lain akan diungkitkan juga.

Marilah kita sama-sama membawa negara ke mercu kegemilangan.

Sifat saling hormat-menghormati yang semakin pudar dalam diri kita perlulah disinarkan kembali.

Jadikanlah Malaysia graha rujukan bagi orang luar untuk belajar daripada kita. Keunikan Malaysia sebenarnya sentiasa menjadi perhatian seluruh dunia. Kitalah yang mampu melaksanakannya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo